PENGEMBARA yang inginkan kelainan dalam pengalaman penginapan dan pada masa sama inginkan keseimbangan antara tujuan perniagaan dan bersosial, Hotel Impiana KLCC adalah jawapannya.
Lokasi yang strategik menjadi kelebihan bagi hotel ini. Pengalaman beli-belah yang diinginkan hanya terletak dalam jarak pendek berjalan kaki.
Justeru, hotel ini bukan sahaja sesuai untuk sebarang seminar dan persidangan malah untuk majlis peribadi dan parti.
Selepas mesyuarat yang memenatkan dan memberi tekanan atau selepas rundingan perniagaan mencapai persetujuan, Hotel Impiana KLCC menjanjikan peluang untuk beristirehat dan berhibur.
Hotel ini bukan sahaja mempunyai tarikan hiasan dalamannya yang mencerminkan identiti elegan dan moden yang menjadi cita rasa masa kini, malah turut menawarkan pelbagai perkhidmatan lain yang menjadi signatur utamanya.
Dengan jumlah keseluruhan 335 buah bilik penginapan, tetamu hotel ini boleh memilih sama ada untuk menginap di bilik Superior, Deluxe atau Junior Suite yang berkeluasan 30 meter persegi hingga 60 meter persegi, mengikut bajet masing-masing.
Setiap bilik turut dilengkapi kemudahan Internet dan kemudahan kelas pertama serta terkini.
Acara resepsi
Dewan bankuetnya mampu menampung kapasiti berjumlah 250 orang untuk makan malam dan 420 untuk majlis resepsi seperti majlis makan malam, pelancaran produk atau majlis perkahwinan.
Ia turut dilengkapi perkakasan teknologi terkini yang bersesuaian mengikut majlis seperti slaid dan projektor LCD.
Bilik mesyuarat yang disediakan terdapat dalam pelbagai saiz mengikut keperluan dan jumlah peserta iaitu antara 25 hingga 80 orang, malah bilik-bilik itu juga boleh digabungkan untuk memenuhi keperluan tetamu yang lebih ramai.
Untuk menikmati sarapan, minum pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam dan lewat malam, Tonka Bean Cafe & Deli pasti tidak mengecewakan. Restoran yang terletak di aras bawah hotel dibuka 24 jam bagi memenuhi keperluan tetamu.
Rekaan dalaman restoran ini diinspirasikan oleh tema hip dan kontemporari serta mempunyai sentuhan rekaan korporat moden dalam rona pastel dan zaitun hijau tropika. Dalam keselesaan suasana itu, tetamu boleh menikmati hidangan dan juga mengadakan majlis sama ada di bahagian dalam atau terbuka.
Terdapat sebanyak 180 tempat duduk dalam kawasan tempat makan utama dan 24 tempat duduk luaran. Kawasan capaian Internet bagi mereka yang sentiasa sibuk turut disediakan.
Selain itu, Bohemian Tobacco Bar yang terletak dekat lobi utama amat sesuai bagi mereka yang ingin bersantai sepanjang hari bersama teman sambil menikmati pilihan cerut terbaik.
Puas mengikuti rentak kota metropolitan, pasti tubuh meminta dimanja dan dibelai. Bagi mereka yang gemarkan rawatan spa yang menenangkan bolehlah berkunjung ke Swasana Spa yang terletak di tingkat empat yang menyediakan tujuh rawatan urutan badan seperti rawatan ala Bali, Thailand dan Melayu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: