Saturday, April 7, 2012

Kembara 48 jam di Helsinki


BANGUNAN Helsinki Cathedral menjadi simbol dan tarikan utama pengunjung ke Helsinki.


IBU negara Finland, Helsinki, kini hidup kembali selepas seluruh Eropah dilanda musim sejuk luar biasa baru-baru ini.

Salji yang mula mencair menyebabkan penduduknya kembali melakukan rutin harian mereka. Kafe-kafe mula beroperasi di tepi jalan sekali gus mengembalikan kemeriahan bandar raya yang dibentuk daripada seni bina moden dan futuristik itu.

Biarpun sebelum ini pengunjung terhibur dengan acara merentas desa dengan ski dan sauna, namun masa terbaik untuk melihat bandar raya itu dengan lebih dekat adalah selepas musim sejuk berakhir.

Misalnya, dalam tempoh beberapa bulan lagi, Helsinki yang menerima gelaran World Design Capital 2012 bakal menjadi tuan rumah beberapa acara utama berkaitan dengan rekaan dan fesyen.

Salah satu daripadanya ialah Design Capital yang melibatkan pembukaan sauna awam baharu di Merihaka. Sebuah astaka kayu yang dibuat daripada bahan-bahan kitar semula dan boleh diperbaharui akan dibina berhampiran Design Museum bagi mengetengahkan karya artis-artis generasi baharu di negara itu.

Musim panas yang panjang di Helsinki juga menjadi latar belakang sempurna untuk beberapa acara seperti Helsinki Festival yang menggabungkan persembahan teater, muzik, sarkas dan tarian. Festival selama dua minggu itu bermula pada 17 Ogos nanti.

Di samping itu, terdapat juga Flow Festival yang juga berlangsung pada bulan yang sama menampilkan persembahan artis-artis bertaraf dunia seperti Bjork, Bon Iver, The Black Keys dan Feist.

Koresponden Reuters, Eero Vassinen mencadangkan beberapa destinasi pelancongan yang boleh dilawati di bandar itu.

Hujung minggu

Jika memulakan penjelajahan pada petang Jumaat, amat baik jika anda menikmati minum petang di Ateljee Bar di tingkat atas Hotel Torni yang penuh bersejarah sambil menikmati panorama 360 darjah di sekitar bandar raya.


MENJEJAK sejarah silam di Suomenlinna yang kini diiktiraf sebagai kawasan bersejarah oleh pihak UNESCO.


Bagi menikmati sajian tradisional tempatan yang enak dan menyelerakan, ramai yang menuju ke Restaurant Sea Horse di Ullalinna. Seleksi makanan laut seperti ikan hering goreng dan Vorschmack (hidangan daging hancur masin) disajikan dalam ruang makan yang sama sejak ia mula-mula dibuka sekitar tahun 30-an dahulu.

Dari lokasi itu, rencana pada waktu malam boleh dirancang dan tentu sekali bermula dengan sesi makan malam yang panjang sambil menikmati hidangan tempatan.

Jika masih mahu bersantai sambil menikmati suasana malam, halakan langkah kaki ke Kafe Moskva di Eerikinkatu. Kafe milik penerbit filem dan pasangan adik-beradik, Aki dan Mika Kaurismaki itu menawarkan dekorasi berlatarbelakangkan era Soviet.

Sementara itu, Iso Roobertinkatu merupakan lokasi yang sarat dengan bar dan kelab malam untuk pengunjung berhibur. Salah satu yang baru dibuka ialah Adams, yang menawarkan hiburan yang lebih kontemporari dan sensasi bunyi eklektik dalam suasana Helsinki yang penuh gaya.

Renang pagi

Mulakan aktiviti pagi dengan berenang atau sauna di dewan renang Yrjonkatu, yang direka indah dan dibina pada sekitar tahun 20-an. Pengunjung lelaki dan wanita diasingkan mengikut hari-hari tertentu manakala dewan itu ditutup pada kemuncak musim panas.

Selepas puas bermandi-manda, nikmatilah sarapan yang terletak di balkoni aras kedua.

Seterusnya, anda boleh menuju ke Stockman yang terkenal dengan gedung-gedung menjual aneka barangan berkualiti tinggi bermula daripada barangan runcit sehingga ke fesyen.

Bagi ulat buku pula, jangan lupa singgah ke Akateeminen, salah sebuah kedai buku terbaik di Eropah atau ke National Library yang terletak hanya beberapa blok dari situ.

Sementara itu, Esplanadi merupakan lokasi sesuai bagi mereka yang mahu mendapatkan barangan mewah dan berjenama di Helsinki seperti Marimekko, Artek, and Iittala. Bagi yang mahu mendapatkan rekaan pereka-pereka tempatan, bolehlah ke Helsinki Design District yang terletak berhampiran rangkaian jalan Uudenmaankatu dan Erottaja.

Pasar terbuka Kauppatori dibuka setiap hari kecuali musim panas. Nikmati sesi makan tengah hari di restoran berbentuk gereja seperti Kappeli yang menjadi lokasi beberapa artis seperti Jean Sibelius 'melepak' kira-kira sedekad yang lalu. Di situ, hidangan sup krim salmon amat popular dalam menunya.


KOLAM renang di Yrjonkatu menjadi tumpuan pengunjung yang mahu bermandi-manda sambil bersantai di sauna.


Waktu berkelah

Dari Kauppatori, ambil feri untuk ke Suomenlinna. Kubu yang dibina di atas pulau pada abad ke-18 itu turut tersenarai sebagai kawasan bersejarah oleh pihak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ia sememangnya lokasi perkelahan popular dalam kalangan penduduk tempatan. Di situ juga terdapat beberapa restoran mewah dan kilang bir.

Selepas pulang dari Kauppatori, ambil trem No. 3 menuju ke Kaivopuisto untuk satu lagi sesi lawatan.

Bandar itu sememangnya berbangga dengan sistem pengangkutan awam terutama trem, yang melambangkan kecekapan dan budaya egalitarianisme (konsep kesamarataan) di Finland.

Sementara itu, mereka yang membawa bayi pula berpeluang menaikinya secara percuma.

Selepas tertawan melihat landskap bandar itu, terutama keunikan bangunan-bangunan di Ullanlinna, anda boleh pergi ke Stesen Kereta Api Central untuk menuju ke Helsinki Music Center di Mannerheimintie.

Beberapa mercu tanda yang terkenal di Finland tertumpu di kawasan kejiranan itu. Antaranya ialah gereja ukiran batu Temppeliauki, bangunan Parlimen dan Finland Hall, serta karya agung pereka dan arkitek terkemuka Finland, Alvar Aalto.

Tidak jauh dari situ juga terletak muzium seni kontemporari, Kiasma dan National Museum yang direka oleh Eliel Saarinen, bapa kepada salah seorang arkitek terkemuka Finland, Eero Saarinen.

Selepas penat berjalan, rehatkan diri sebentar di Storyville yang terletak bersebelahan bangunan Parlimen sambil menikmati persembahan muzik jazz.

Bagi yang mahu mencuba hidangan moden Nordic untuk makan malam, singgahlah ke restoran Oslo. Bertaraf lima bintang, chef Pekka Terava pasti mengejutkan pengunjung dengan hidangan inovatif seperti salmon Finland dan likoris.

Pengunjung juga boleh mencuba beberapa hidangan mewah jika berkunjung ke restoran-restoran seperti Chez Dominique, Demo, Luomo atau Postres. Sementara itu, hidangan yang lebih kasual pula boleh dinikmati jika berkunjung ke Lupolo dan Muru.

Malam yang semakin larut mungkin tidak membuatkan sebahagian daripada anda tidur awal. Maka, untuk tujuan berhibur dan bersantai selepas tengah malam, anda boleh berkaraoke di Yokyopeli berhampiran dataran Kasaritori. Sementara itu, bagi yang mahu menikmati persembahan kumpulan-kumpulan pemuzik tempatan, Tavastia pastinya berbaloi untuk dikunjungi.


KAFE-KAFE yang beroperasi di tepi jalan menghidupkan suasana harian di sekitar Helsinki.


Bersiar-siar

Pada pagi hari Ahad iaitu hari penutup tempoh libur hujung minggu, kembalikan tenaga dengan menikmati secawan kopi panas dan ban kayu manis di pasar-pasar terbuka di sekeliling bandar itu.

Seterusnya, ambil trem No. 3 sekali lagi untuk menikmati perjalanan yang agak panjang. Dikenali sebagai trem pelancongan, perjalanan menaiki trem selama hampir satu jam itu merupakan cara yang ideal untuk melihat tempat-tempat popular di bandar itu.

Bagaimanapun, pelancong dinasihatkan untuk memuat turun panduan audio terlebih dahulu di www.dewhurstdesigns.co.uk/helsinki/ sebelum menaikinya.

Teruskan perjalanan ke Helsinki Opera House dan berjalan ke arah Olympic Stadium yang menjadi lokasi perasmian sukan itu pada tahun 1952.

Jika berminat, pengunjung boleh menyertai penduduk tempatan berenang atau mencuba sauna di Swimming Stadium, yang dibina khas bagi tujuan itu.

Pada waktu tengah hari, nikmati makan tengah hari di Elite, sebuah restoran Finland yang popular di bandar itu. Menurut ceritanya, legenda penulis buku Finland, Mika Waltari, dan pelakon terkenal Tauno Palo sering berkunjung ke situ.

Banyak yang boleh disaksikan ketika melalui siar kaki di sekitar kawasan berdekatan. Jika mahu sesuatu yang agak manis sebagai tenaga tambahan, Karl Fazer Cafe di Kluuvikatumenyediakan aneka kek yang lazat!

Menjelang petang, naik trem untuk ke Arabia iaitu lokasi kilang seramik yang terkenal kerana menghasilkan rekaan seramik Finland yang unik dan tersendiri.

Sepanjang berada di situ, pengunjung boleh membeli beberapa cenderamata seperti cawan Moomin dan pasu Aalto yang ditawarkan pada harga harga diskaun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: