Bagi empunya nama Sherson Lian ini, tidak dinafikan, jadual masa yang padat sememangnya menghalang dirinya untuk melakukan aktiviti kegemarannya itu.
Namun semua perkara tersebut tidak langsung menghalang pengacara rancangan masakan 5 Rencah 5 Rasa ini untuk meneruskan aktiviti kesukaannya itu.
"Saya pasti akan melakukan aktiviti selam skuba setiap tahun. Sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
"Biasanya, saya akan pergi melakukan aktiviti ini bersama keluarga saya atau pun dengan rakan-rakan.
"Bagi saya, aktiviti ini merupakan salah satu aktiviti yang dapat menenangkan diri dan merupakan salah satu cara untuk melupakan kepenatan bekerja buat seketika.
"Dapat melihat keindahan di dasar laut merupakan salah satu perkara yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," ujarnya yang sudah memiliki lesen untuk melakukan aktiviti tersebut seawal usia 17 tahun.
Pengalaman Sherson
Kerap memilih Pulau Perhentian, Terengganu sebagai destinasi selam skubanya, Sherson juga sempat berkongsi pengalaman sepanjang terlibat dalam aktiviti tersebut.
Menurut Sherson, antara perkara yang paling manis yang pernah dilalui sepanjang melakukan aktiviti tersebut adalah apabila dikelilingi oleh ikan alu-alu ( baracudda).
"Pengalaman dikelilingi ikan berkenaan merupakan salah satu perkara yang saya tidak dapat lupakan.
"Seingat saya, ketika itu saya pergi ke Pulau Sipadan yang terletak di Sabah bersama dengan seorang rakan pada tahun 2010.
"Aktiviti menyelam kami itu kemudiannya turut disertai oleh beberapa individu lain.
"Tanpa kami sedari, ketika kami sedang asyik menikmati keindahan bawah laut tersebut, sekumpulan besar ikan alu-alu yang masing-masing berukuran satu meter panjang telah datang dekat dengan kami.
"Kami kemudiannya merapatkan badan antara satu sama lain dan melihat mereka terus mengelilingi kami. Memang itu pengalaman pertama saya dikelilingi ikan dalam satu kumpulan yang cukup besar," cerita anak kelahiran Kuala Lumpur yang berusia 27 tahun itu.
Namun di sebalik kegembiraannya melakukan aktiviti tersebut, Sherson juga pernah melalui pengalaman yang nyaris meragut nyawanya.
"Dalam kejadian itu, alat kelengkapan selam saya telah mengalami sedikit masalah. Masalah itu menyebabkan saya naik dengan mengejut ke permukaan air.
"Perkara itu sangat bahaya kerana boleh mengakibatkan tekanan melampau sekali gus akan membuatkan hidung atau telinga berdarah malah jantung juga boleh meletup!
"Ada di antara individu yang terlibat dalam kejadian seperti yang saya hadapi itu, tidak dapat diselamatkan. Ketika itu, saya memang cuba sedaya upaya untuk kembali berenang.
"Memang semua perkara terbayang-bayang dalam fikiran saya ketika itu. Tetapi syukurlah kerana ada pengawal pantai yang berada berhampiran sempat menyelamatkan saya," cerita Sherson yang kini menetap di Melaka.
Namun walau apa pun kejadian yang menimpanya, kata Sherson, selagi termampu aktiviti selam skuba tidak dapat dipisahkan daripada dirinya, apatah lagi ia adalah impiannya sejak kecil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: