Monday, January 24, 2011
TV AlHijrah segalanya bermula di sini
Lari daripadakonsep stesen televisyen yang lain, kehadiran TV AlHijrah membawa nafas baru dalam bidang penyiaran.
Menekankan kandungan Islam dalam setiap programnya, TV AlHijrah memberi pilihan kepada penonton yang ingin mendapatkan hiburan mengikut landasan agama.
Usaha stesen TV berkenaan ialah menyampaikan mesej yang mengangkat nilai Islam secara universal dan kontemporari terus kepada penonton setia mereka.
Bersiaran secara rasmi 1 Disember lalu, stesen televisyen percuma ini dapat ditonton di beberapa negeri iaitu kawasan Lembah Klang, Terengganu, Johor Utara, Johor Timur, Sabah dan Sarawak.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bukhari Che Muda, menjelang pertengahan tahun ini, stesen TV Islamik ini bakal bersiaran secara menyeluruh di negara ini.
“Setakat ini siaran kita masih lagi terhad tetapi bukan dari segi liputan kerana apa yang kita pancarkan sudah melepasi 60 peratus daripada potensi penonton.
“Tetapi kerana kita tidak berada dalam platform Astro, maka masih banyak kawasan di bandar yang tidak mendapat siaran TV AlHijrah.
“Mengikut perancangan kita akan mendapat saluran dalam platform Astro pada pertengahan tahun ini, tetapi kita akan cuba berunding dengan Astro untuk mendapatkannya lebih awal,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga sudah menempah alat pemancar yang baru bagi memastikan kekuatan pancaran siaran stesen itu.
“Secara teknikalnya di Lembah Klang, ketika ini kita menggunakan alat pemancar sementara dengan kekuatan pancaran 10 kilowatt.
“Namun, penerimaan siaran TV AlHijrah akan lebih meluas dengan penggunaan alat pemancar tetap berkapasiti 15 kilowatt bermula Februari ini,” katanya.
Dengan kekuatan kakitangan seramai 155 orang, Bukhari mengakui cabaran besar yang dihadapi oleh TV AlHijrah untuk menterjemahkan konsep Islam ke dalam bentuk pelaksanaan.
“Islam dilihat sebagai cara hidup dan oleh itu program yang disiarkan di TV AlHijrah bukan berbentuk ceramah semata-mata. Kita menampilkan variasi program seperti rancangan bual bicara, majalah, berita, animasi, drama dan sebagainya.
“Yang penting ialah kita nak menarik penonton kerana walaupun kita menyiarkan rancangan yang baik, tiada gunanya jika penonton tidak mendapat mesejnya,” katanya.
Pengisian rancangan stesen dengan tagline ‘Segalanya Bermula di Sini’ ini adalah sebanyak 60 peratus rancangan tempatan yang sebahagian besarnya dihasilkan TV AlHijrah sendiri.
Sementara 40 peratus lagi adalah rancangan antarabangsa yang masih menepati konsep TV AlHijrah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: