PADA tahun lepas, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram mencetus kontroversi apabila dia cedera dipukul oleh ahli keluarga pasangan suami isteri muda yang sebelum itu akibat mencari perlindungan di rumahnya.
Lantas ada yang bertanya siapakah Tom yang tiba-tiba sahaja menjadi ‘panas’ gara-gara isu tersebut, sedangkan sumbangannya dalam dunia hiburan belum diketahui umum.
Mahu melupakan episod hitam itu, justeru, Tom, 25, kini muncul untuk membuktikan dirinya merupakan pejuang dalam industri muzik tanah air.
Namun, kata juara rancangan realiti MyStarz LG musim ketiga itu, dia mahu dirinya dikenali dengan bakat yang ada dalam diri bukannya kerana kontroversi murahan.
“Tom bukan mencari kontroversi untuk dikenali kerana kontroversi yang melanda diri Tom itu datang secara tidak sengaja.
“Apa pun, sememangnya Tom reda dan lebih percaya bakat yang Tom miliki boleh bawa Tom pergi jauh,” ujar janda muda beranak satu itu.
Dengan membuktikan bakat yang sememangnya wujud dalam dirinya, kini Tom tampil dengan album baru berjudul Redha yang telah dilancarkan pada penghujung Disember lepas.
Kasut tumit tinggi
Semasa pelancaran yang telah dilangsungkan di Hard Rock Café, Kuala Lumpur itu, Tom telah menyampaikan dua buah lagu, Redha dan Noktah Percintaan masing-masing daripada genre balada.
Di samping itu juga, klip video single pertamanya, Lagu Untuk Kuala Lumpur telah ditayangkan buat pertama kalinya untuk tatapan umum.
Lagu itu merupakan ciptaan bersama gabungan generasi baru dan lama iaitu LY dan Noh Hujan serta liriknya oleh Rafidah.
Tom agak bertuah kerana kedua-dua lagu bergenre balada dalam album tersebut ditulis dan diadun oleh gabungan mantap penulis lirik dan komposer tersohor 90-an, LY dan Baiduri.
Antara penulis lirik dan komposer yang turut manyumbang hasil nukilan mereka bagi menjayakan album sulung ini ialah Taja (Meet Uncle Hussein), Tun Teja, Manusia Putih, Adi, Wan dan Ayoy (6ixth Sense).
Selain Lagu Untuk Kuala Lumpur, lagu-lagu lain dalam album tersebut termasuklah Redha, Noktah Sandiwara, Cinta (Firdausi) dan Harus Akhiri.
|
|
Dalam pada itu melirik kepada gaya Tom yang tidak berubah dari dulu, penyanyi genit ini ternyata begitu setia dengan imej rock dirinya itu. Tenang menjawab mengenai persoalan itu, Tom menegaskan, selama ini imej yang ditampilkannya itu ialah dirinya yang sebenar.
“Sememangnya Tom sukakan pakaian ‘sempoi’ begini dengan bersepatu sukan. Tom tidak biasa pakai kasut bertumit tinggi. Dari kecil memang Tom begini bukan kerana Tom ubah di atas genre rock yang Tom bawa,” katanya yang juga sering kelihatan memakai jean dan baju T tanpa lengan.
Kurang gemar imej anggun
Tom mengakui bahawa dia kurang gemar dengan imej yang memerlukannya bergaya dengan gaun yang anggun.
Tegasnya: “Tom tidak mahu hiprokrit kerana bagaimana orang lihat Tom di luar, begitulah Tom yang sebenar-benarnya iaitu berseluar pendek dan memakai baju T tanpa lengan. Tom rasa tidak perlu untuk tukar imej dan menjadi orang lain.”
Sementara bagi Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad atau Che Mokh, Tom dilihat sebagai mempunyai aura dan kemantapan vokal yang tersendiri yang akan membolehkannya menjadi pewaris takhta ratu rock Malaysia pada masa akan datang.
“Boleh dikatakan Tom merupakan satu-satunya bakal pewaris takhta Ratu Rock dengan memiliki keunikan vokal dan gaya nyanyiannya.
“Oleh itu, kami di Warner Music Malaysia gembira menerima Tom di bawah pengurusan syarikat kami,” ujarnya yang menjangkakan album Redha daripada Tom itu pasti dapat menambah kehangatan industri muzik Malaysia.
“Tom merupakan satu lagi nama yang harus diberi perhatian bukan hanya untuk sebulan dua, akan tetapi untuk beberapa tahun akan datang,” ujar Che Mokh penuh keyakinan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: