Wednesday, January 19, 2011

Kejutan di sebalik jangkaan


Barisan pelakon Glee penuh teruja dengan tiga kemenangan yang diraih siri TV popular itu terutama Anugerah Siri, Muzikal atau Komedi Terbaik.


MENEPATI jangkaan, filem The Social Network menepati ramalan ramai apabila mendominasi Anugerah Golden Globe Awards 2011 yang berlangsung kelmarin.

Berlangsung di Hotel Beverly Hilton, Amerika Syarikat, Ahad lalu, majlis Golden Globe kali ke-68 yang membuka tirai untuk 2011 itu menyaksikan filem arahan David Fincher itu meraih empat anugerah daripada enam pencalonan yang diterima.

Selain memenangi anugerah utama iaitu kategori Filem, Drama Terbaik, The Social Network yang berdasarkan kisah pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg itu turut merangkul anugerah bagi kategori Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Skor Asal Terbaik.

Namun, filem tersebut gagal memenangi kategori Aktor Filem Drama Terbaik menerusi pencalonan yang diraih pelakon utamanya, Jesse Eisenberg. Sebaliknya, ia dimenangi oleh pelakon veteran, Colin Firth yang berjaya membawakan wataknya dengan cukup berkesan sekali menerusi filem The King's Speech.

Sementara, Anugerah Aktres Filem Drama Terbaik pula dimenangi Natalie Portman dengan penuh bergaya apabila dia berjaya menewaskan calon lain yang termasuklah dua pemenang Golden Globe dan Oscar sebelum ini iaitu Halle Berry (menerusi filem Frankie And Alice) dan Nicole Kidman (Rabbit Hole). Hasil lakonan Natalie menerusi filem Black Swan itu turut mengalahkan dua calon lain iaitu Jennifer Lawrence (Winter's Bone) dan Michelle William (Blue Valentine).


Aktor dan penerbit eksekutif filem, The Social Network, Kevin Spacey (kiri) bersama empat penerbit bersama filem itu (dari kiri) Cean Caffin, Dana Brunetti, Scott Rudin dan Michael De Luca.


Ternyata ia merupakan kejayaan kedua bagi pelakon yang sedang hamil itu menerusi Golden Globe. Sebelum ini, Natalie pernah memenangi kategori Aktres Pembantu Terbaik menerusi filem Closer pada tahun 2005 yang lalu.

Turut membuat kejutan pada anugerah berkenaan adalah filem The Fighter. Filem yang mengisahkan kehidupan seorang petinju profesional itu merangkul anugerah berganda iaitu Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik masing-masing menerusi lakonan Christian Bale dan Melissa Leo.

Bagi kategori televisyen, drama bersiri popular, Glee merangkul tiga anugerah iaitu Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik serta Drama Komedi Terbaik.

Drama bersiri HBO, Broadway Empire pula merangkul dua anugerah menerusi Drama Bersiri Terbaik dan Pelakon Lelaki Drama Terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: