TERUJA dan berdebar! Itulah gambaran perasaan penulis tatkala pertama kali berpeluang mendekati ‘pak belang’ yang cukup terkenal sebagai haiwan pemangsa yang begitu menggerunkan.
Macam-macam kisah tragis melibatkan haiwan yang semakin pupus itu bermain di fikiran apabila melangkah masuk ke kandang harimau Sumatera.
Namun bagaikan ada tarikan, perasaan yang pada awalnya gementar hilang begitu sahaja. Mungkin benar kata orang, tak kenal maka tak cinta. Perasaan yang sama wujud antara penulis dan harimau betina yang dikenali dengan panggilan manja Alia itu.
Pesona Alia begitu kuat hinggakan penulis punyai kekuatan untuk bergambar sambil memeluknya. Bukan satu atau dua, tapi beberapa keping gambar sempat dirakamkan antara penulis dan Alia.
Itulah antara keistimewaan yang bakal anda rasai jika berkunjung ke Taman Safari II yang terletak di Prigen, Jawa Timur, Indonesia.
Kedudukannya yang terletak di kaki Gunung Arjuna berketinggian 800 hingga 1500 meter dari aras laut, meliputi 340 hektar luasnya yang dibahagikan kepada tiga zon untuk memudahkan pelancong melihat haiwan yang terdapat di sini.
Keadaan persekitaran yang menghijau dan sejuk menjadikan ia sesuai untuk menempatkan pelbagai jenis haiwan.
Taman safari ini mengajak pengunjung untuk menyaksikan pelbagai jenis haiwan yang bebas berkeliaran menerusi zon Safari Adventure yang dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Amerika, Eropah, Asia dan Afrika.
Berbeza dengan lawatan di zoo, haiwan seperti harimau belang, harimau bintang, singa, rusa, kuda belang dan pelbagai haiwan lain bergerak bebas di kawasan masing-masing tanpa sekatan atau pagar.
Lebih menarik, pengunjung boleh melewati laluan zon ini dengan kenderaan sendiri ataupun menggunakan kenderaan khas yang disediakan pihak pengurusan.
Namun bagi yang menggunakan kenderaan persendirian, arahan supaya tidak membuka tingkap atau keluar dari kenderaan perlu dipatuhi semasa melaluinya bagi tujuan keselamatan.
Tapi jika pengunjung tidak mempunyai kenderaan, pihak pengurusan taman safari menyediakan bas sebagai kemudahan.
Tiada tempoh masa ditetapkan untuk anda melalui laluan berkenaan, malah pengunjung boleh berhenti pada bila-bila masa di sesuatu kawasan jika ingin merakamkan gambar haiwan dari dalam kenderaan.
Dibiarkan hidup dalam ekosistem semula jadi, pengunjung akan merasakan seolah-olah mengikuti pengembaraan di dalam hutan tebal serta berbukit.
Dekati alam
Selepas selesai mengikuti laluan trek kenderaan, pengunjung seterusnya boleh melawat ke zon Baby Zoo. Di sinilah pengunjung boleh bergambar kenangan bersama harimau, singa, orang utan, ular mahupun burung.
Peluang keemasan seperti ini seharusnya tidak dilepaskan. Jika kebiasaannya anda hanya melihat haiwan-haiwan seperti itu dari jarak jauh yang dipisahkan dengan pagar atau cermin, kali ini anda boleh berada dekat dengan mereka.
Kunjungan penulis juga disambut oleh seekor anak Orang Utan yang begitu aktif dan ‘ramah’ melayan pelawat.
Seakan mempunyai naluri manusia, Orang Utan berkenaan juga suka mengajuk setiap gerak geri pelawat yang mahu mengambil gambar dengannya. Namun tak kurang juga ada yang agak ‘segan’ untuk mendampingi spesis yang hampir pupus itu.
Bukan itu sahaja, pelbagai pertunjukan turut disajikan untuk tatapan pengunjung. Penulis sendiri berpeluang menyaksikan aksi tangkas dan menghiburkan daripada pak belang dari spesis harimau putih dan harimau Sumatera.
Pelbagai aksi dipamerkan dan nyata sekali haiwan pemangsa itu agak jinak dan patuh pada arahan pelatih zoo.
Sebagai ganjaran, haiwan-haiwan berkenaan akan diberikan daging segar setiap kali berjaya mempamerkan aksi seperti memanjat tiang dan menangkap mangsa.
Selain itu, pelbagai aktiviti untuk semua peringkat usia turut disediakan seperti menunggang gajah, kuda padi dan Llama yang sungguh menyeronokkan.
Makan berteman
Selepas penat melihat keletah pelbagai jenis haiwan, pengunjung boleh berehat dan menikmati pengalaman makan tengah hari yang unik sambil ditemani harimau putih.
Ya! Anda boleh makan sambil ditemani harimau putih dalam restoran yang sama. Segalanya mungkin di Restoran Tiger Cave namun ruang makan anda dan harimau dipisahkan dengan cermin kaca.
Suasananya begitu santai apabila anda menikmati hidangan sambil melihat gelagat haiwan liar itu. Inilah pengalaman makan tengah hari paling bermakna sesuai dengan tagline “Great taste, unique experince’.
Tinggalkan sebentar kesesakan dan kesibukan kota. Ayuh rasakan sendiri keindahan alam menerusi ekspedisi rimba dengan mendekati pelbagai jenis haiwan.
Ia pasti menjadikan kunjungan anda ke Jawa Timur sebagai percutian yang sukar dilupakan serta menyeronokan terutamanya jika bersama teman dan keluarga.
Sebelum terlupa, ingin sekali penulis mengucapkan jutaan terima kasih kepada Endang Rusmihaty, Kaunselor Bahagian Ekonomi, Kedutaan Republik Indonesia di Malaysia yang membawa penulis bersama rombongan rakan media berkunjung ke Indonesia baru-baru ini.
Lain-lain kemudahan di Taman Safari II:
* Restoran dan kiosk makanan
* Kedai cenderamata
* Taman tema air safari
* Kawasan perkelahan
* Ruang teater pertunjukan haiwan
Info:
* Terletak 50 kilometer dari Lapangan Terbang Juanda, Surabaya.
* Mengambil masa satu jam perjalanan dan 45 kilometer memandu dari Bandar Malang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: