Tuesday, January 25, 2011

Garapan MTM2 kemas



Pementasan Muzikal Tun Mahathir 2 (MTM2) di Panggung Sari, Istana Budaya, tidak banyak bezanya dengan MTM musim pertama.

Bagaimanapun, MTM2 boleh dipuji kerana jalan cerita lebih kemas dan terdapat beberapa babak diberi penekanan jelas serta tidak membiarkan penonton tertanya-tanya seperti musim lalu.

Mengekalkan finalis Idola Kecil 2008, Mohd Shafeiq Shazwan atau Afieq sebagai Mahathir ketika kecil, jalan cerita masih dimulakan dengan kelahiran Mahathir atau Che Det pada 8 Julai 1925.

Afieq membawa penonton mengimbau tentang Mahathir ketika kecil termasuk gelagat Mahathir pada zaman kanak-kanak yang sering membawa buku ke mana sahaja, walaupun semasa bermain dengan rakannya dan minat beliau dalam perniagaan sejak kecil dengan menjual belon serta minuman di Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah.

Kemudian, pergerakan pementasan diteruskan dengan kisah Mahathir ketika remaja dijayakan Ezany termasuk kisah percintaannya dengan Dr Siti Hasmah lakonan Misha Omar.

Bagaimanapun, gandingan Ezany dan Misha sedikit canggung.

Namun, peluang harus diberikan kepada mereka kerana MTM2 adalah gandingan pertama mereka di pentas teater.

Esma masih menampilkan lakonan mantap dan tepat untuk membawa watak mantan Perdana Menteri keempat itu.

Menerusi gaya, cara percakapan Esma seolah-olah jelmaan Mahathir di atas pentas itu.

Babak Mahathir memperjuangkan bangsa dan negara serta ketika pengumuman peletakan jawatannya sebagai pemimpin membuatkan penonton sebak dan ada yang menangis menyaksikan bagaimana susahnya Mahathir mengharungi pelbagai dugaan.

Namun, penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein pada penampilan awal nampak kekok dan sukar bercakap dialog Kedah.

Pun begitu, penghujung babak, Elly dilihat menjiwai watak Tun Dr Siti Hasmah dewasa yang dilakonkan Erra sebelum ini.

Bagaimanapun, Elly cuba mengikut kemampuannya dengan sebaik mungkin di pentas teater.

Kehadiran Sarimah Ibrahim sebagai susur atau pencerita banyak mewarnai pementasan kali ini.

Gaya ‘gila-gila’ Sarimah sebagai pencerita menghidupkan teater selama dua jam setengah itu.

Selain Sarimah, kehadiran Datuk AC Mizal sebagai Aziz, kawan Mahathir ketika remaja mencuit tawa penonton.

Pelakon lain menjayakan MTM2, Datuk Jalaludin Hassan (Mohamad Iskandar); Diana Johor (Wan Tempawan); Azean Irdawaty (Mak Bidan); Mazhar Mahathir (Mr Thompson dan Peter); Rosli Rahman Adam (Pak Din); Zaifri Husin; Nizam Yamim dan ramai lagi.

MTM terbitan CTRA Production mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 21 Januari hingga 30 Januari ini. Tiket menyaksikan pementasan itu berharga daripada RM32 ke atas. Sebarang maklumat lanjut, layari laman web www.muzikaltunmahathir.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: