ELEGAN dan mewah merupakan kombinasi terbaik bagi menggambarkan tatarias hiasan dalamannya.
Dekorasinya nampak sempurna tambahan pula digabungkan dengan kemasan hiasan bercirikan tradisional Jawa.
Pertama kali melangkah masuk ke hotel Sheraton Mustika Yogyakarta Resort & Spa, Indonesia, hati bagaikan tertawan dengan dekorasi indahnya.
Memasuki ruang lobi, anda akan merasai ‘keserasian’ adunan elemen moden dan tradisional menerusi susunan perabot mewah dan seni ukiran tiang serta siling bermotifkan corak tempatan.
Susun atur deretan sofa untuk ruang rehat di satu bahagian memberikan ruang yang lebih luas kepada tetamu sebelum menuju ke lif.
Tanpa perlu dihiasi gubahan bunga yang sarat dan berwarna-warni, ruang ini cukup ringkas serta selesa tatkala menyambut kehadiran tetamu.
Ruang bilik tidur yang dilengkapi televisyen dan meja tulis juga dihias ringkas sesuai dengan gaya mewah yang kebanyakannya bertemakan warna coklat.
Lebih romantis apabila ruang bilik ini disirami cahaya suram kekuningan.
Keunikan Sheraton Mustika Yogyakarta Resort & Spa lebih memikat apabila anda singgah di Androwino Bistro untuk bersarapan.
Selain susunan meja yang teratur dan eksklusif, pengunjung juga berpeluang menikmati hidangan sambil menyaksikan pemandangan indah Gunung Merapi yang cukup terkenal selepas mengorbankan banyak nyawa ketika memuntahkan laharnya.
Pengunjung boleh memilih sama ada untuk menikmati hidangan di dalam bangunan ataupun di ruang balkoni sambil menghirup udara segar.
Hotel ini juga begitu mendamaikan tatkala menyusuri ruang taman yang dipenuhi tumbuhan segar tropikal menghijukan.
Setiap sudut dilengkapi kerusi yang diperbuat daripada kayu serta ruang rehat untuk keselesaan pengunjung.
Tarikan utama landskap kawasan taman ini pastinya kolam jernih yang berjaya membangkitkan suasana kedamaian di waktu petang.
Singgah sebentar di Taman Sari Royal Heritage Spa, Sheraton, pastinya membuatkan anda seperti berada dalam mahligai indah bercirikan budaya Jawa.
Seni ukiran kayu halus yang membaluti ruang pusat spa ini menjadikan ia begitu eksklusif dan mewah.
Merehatkan diri di pusat spa yang menjanjikan perkhidmatan terbaik ini, pengunjung seolah-olah menikmati kepuasan berganda apabila berpeluang menikmati sajian dekorasi indah serta merasai belaian yang menjanjikan ketenangan jiwa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: