Thursday, January 27, 2011

Teknologi dekatkan pemimpin dengan rakyat




LAMAN interaktif sosial Twitter kini semakin hangat menjadi pilihan pengguna apabila selain selebriti, para pemimpin dilihat menggunakannya sebagai medan perdebatan pelbagai isu secara langsung dengan rakyat termasuk mengumpul sebanyak mungkin pengikut.

Mendahului para pemimpin negara Asia, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menjadi peneraju yang kini mengumpul hampir 70,000 pengikut, tidak termasuk pengikut beliau di laman interaktif Facebook.

Laman #tanyanajib kini begitu meriah apabila dihujani ribuan soalan dan pendapat yang serius dan kelakar daripada pelbagai lapisan masyarakat. Daripada persoalan mengenai isu-isu dunia, negara, pendidikan dan sosial, soalan berunsur peribadi turut diajukan.

Populariti yang diraih Najib juga dirasai beberapa ahli politik dalam negara yang turut membuka akaun Twitter untuk menyampaikan ideologi mereka antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Lim Kit Siang, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Khairy Jamaluddin.

Pensyarah Jabatan Komunikasi dan Media, Kolej Antarabangsa INTI Subang, Mohd. Khairul Irwan Mansor berpendapat, para mahasiswa universiti harus memanfaatkan peluang berinteraksi secara langsung dengan perdana menteri dan pemimpin lain bagi menyampaikan idea dan pandangan mereka.


RAKYAT Malaysia kini bebas berinteraksi secara langsung dengan pemimpin-pemimpin negara melalui Twitter. - Gambar hiasan


“Para pelajar dapat menyuarakan pelbagai isu membabitkan remaja dan belia serta membincangkan masalah-masalah dalam pendidikan, sosial dan sebagainya.

“Tidak semestinya perlu suarakan pandangan mereka berkaitan isu politik, sebaliknya perkara-perkara yang dekat dengan diri mereka,” katanya.

Perkembangan

Pegawai Perhubungan Awam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maizatul Akmal Yahaya pula menggalakkan lebih ramai rakyat melihat perkembangan laman Twitter pemimpin bagi mengetahui perkembangan terkini dalam negara dengan lebih pantas berbanding media tradisional.

“Saya sering mengikuti perkembangan laman Twitter perdana menteri dan saya lihat beliau sering menghantar maklumat mengenai inisiatif terbaru yang diambil kerajaan termasuk perkembangan aktiviti hariannya.

“Contohnya, baru-baru ini beliau mengumumkan pelancaran Dana Belia bernilai RM20 juta di laman Twitter beliau,” katanya.

Tambahnya, kewujudan laman Twitter pemimpin menunjukkan mereka serius dengan komitmen mendekati rakyat secara langsung tanpa pihak ketiga.

“Perdana Menteri juga menjawab soalan-soalan remeh mengenai kehidupan peribadi beliau sama ada di Twitter, Facebook atau YouTube,” katanya.

Jurutera Darco Industrial Water Sdn. Bhd., Md. Jazli Md. Johari bagaimanapun meragui kesemua komen-komen, idea dan pandangan pengikut laman Twitter para pemimpin negara sempat dibaca sepenuhnya oleh para pemimpin berkenaan.

“Saya yakin ribuan pandangan dikemukakan masyarakat setiap hari tetapi tidak semuanya akan mendapat perhatian serius. Bayangkan berapa ribu komen baru yang masuk setiap hari ke dalam laman Twitter berkenaan.

“Adakah pemimpin mempunyai masa untuk meneliti kesemua pandangan masyarakat yang diajukan,” katanya.

Sementara itu, di laman Twitter Najib, beliau memberitahu seronok membaca soalan kreatif rakyat dan menyediakan jawapan kepada beberapa soalan menerusi video di laman YouTube.


Selain media massa, segala aktiviti Najib juga dapat diikuti melalui Twitter.


Beliau juga berkata akan cuba untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan serta meminta diberikan masa untuk meneliti soalan-soalan tersebut.

Salah satu soalan yang dijawab di laman YouTube ialah soalan oleh pemilik akaun Twitter, Danial Fahmi mengenai perancangan perkembangan belia di Malaysia bagi membanteras masalah sosial secara berterusan.

Dalam pada itu, pelajar Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Abdul Amir Abdul Malik, 19, berkata dia pernah menyampaikan ucapan tahniah kepada perdana menteri melalui laman Twitter #tanyanajib kerana menjadikan Twitter sebagai medium untuk mendekati rakyat.

“Bagi saya ia adalah perkara yang hebat apabila pemimpin negara mempunyai akaun Twitter. Najib ialah perdana menteri pertama di Asia yang mempunyai akaun Twitter.

“Kini, pelajar juga dapat berhubung dengan pemimpin tanpa melalui prosedur yang ketat,” katanya.

Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohamad Izwan Ismail, 24, pula berasa hairan apabila perdana menteri mempunyai masa untuk melayani soalan-soalan di Twitter.

“Tetapi saya lihat ada banyak perkara yang sebelum ini tidak diketahui masyarakat diperoleh di sini, contohnya aktiviti-aktiviti dan pelan-pelan yang dijalankan perdana menteri.

“Tetapi saya yakin beliau ada pembantu yang memantau perjalanan laman Twitter itu,” katanya.

Terdedah serangan penggodam

Pakar Teknologi Maklumat, Kavitha Muthy pula berkata, Twitter merupakan trend terkini para ahli politik bagi menyebarkan ideologi mereka tetapi ia adalah kaedah berkesan dan pantas untuk maklumat sampai dengan cepat kepada rakyat.

“Selain perdana menteri, pemimpin-pemimpin lain dalam negara dilihat mula menggunakan Twitter untuk mendekati masyarakat sejak tahun 2009 lagi.


PEMIMPIN kini semakin celik teknologi maklumat dalam memastikan aspirasi dan perjuangan mereka turut dapat diserap rakyat terutama golongan muda.


“Ia adalah perkara baru selepas Facebook. Tetapi masyarakat harus menilai sama ada ia adalah laman sebenar pemimpin berkenaan atau laman palsu kerana ada beberapa akaun Twitter kini menyamar sebagai pemimpin negara termasuk perdana menteri,” katanya.

Katanya lagi, aspek keselamatan adalah perkara penting yang perlu diambil serius kerana medium Internet terdedah dengan ancaman penggodam yang dapat memanipulasi maklumat yang disampaikan.

“Di Amerika Syarikat, Barrack Obama juga menggunakan Twitter tetapi laman Twitter beliau juga pernah digodam oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Oleh itu, penting bagi memastikan keselamatan akaun Twitter masing-masing lebih-lebih lagi pemimpin yang mempunyai ramai pengikut dan musuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: