Thursday, January 27, 2011

Siri XZ pertama Olympus


KAMERA kompak XZ-1 dilengkapi dengan lensa i-ZUIKO Digital yang pertama kali digunakan pada kamera kompak digital Olympus.


KEUPAYAAN sesebuah kamera kompak digital yang dapat memberikan imej pegun berkualiti menyamai kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) tentu sekali akan mendapat perhatian daripada penggemar fotografi.

Bahkan, model kamera kompak digital yang mudah dikendalikan dan dibawa ke mana-mana sahaja dengan ciri-ciri kreatif sudah pasti menjadikan pilihan peranti teknologi pengimejan masa kini.

Baru-baru ini, Olympus memperkenalkan kamera kompak digital terbaru XZ-1 yang menggunakan lensa i-ZUIKO Digital F1.8-2.5 . Ia berupaya memberi kualiti pengimejan umpama DSLR dalam memberi kepuasan kepada pengguna.

Dengan menggunakan lensa i-ZUIKO Digital, pengguna tidak perlu bimbang sekiranya imej pegun yang dirakam menjadi kabur apabila tidak menggunakan flash ketika berada di kawasan tertutup.

Ia juga menawarkan kadar zum hingga empat kali ganda daripada 28 milimeter (mm) sehinggalah 112 mm dengan menggunakan lensa i-ZUIKO Digital yang pertama kali digunakan pada kamera kompak digital Olympus.

Sebelum ini, lensa i-ZUIKO Digital hanya digunakan pada DSLR Olympus.

Penggemar fotografi juga dapat menentukan ISO, kelajuan pengatup, nisbah garis pusat kanta dan banyak lagi di hujung jari sahaja, hanya dengan menggunakan cincin kawalan di lensa terbaru itu.

Model XZ-1 yang dilengkapi pemproses imej TruePicV turut menawarkan imej pegun lebih berkualiti apabila memaksimumkan penggunaan lensa resolusi tinggi dan pengesan peranti terganding cas (CCD) 10 megapiksel.


IMEJ yang dihasilkan XZ-1 menyamai kamera DSLR.


Bagi memberi peluang penggemar fotografi rasai pengalaman seperti jurufoto profesional kamera kompak digital terbaru yang menggunakan paparan OLED itu boleh digunakan secara manual dan automatik mengikut keselesaan pengguna.

Kamera kompak digital itu dapat menyerlahkan kreativiti pengguna apabila dilengkapi pelbagai Art Filter seperti seni pop (pop art), filem berbintik (grainy film), pin hole, diorama, tona dramatik dan fokus lembut.

Lebih menarik kesemua Art Filter itu boleh digunakan apabila merakam video dalam bentuk definisi tinggi (HD).

Model kamera kompak digital XZ-1 itu boleh dimiliki pada harga RM1,799 dan keterangan lanjut mengenai peranti itu boleh melayari laman web www.olympus.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: