Thursday, January 27, 2011

Beli batu sampai ke Mesir


DIMULAKAN oleh ayahnya, Muna Tasnim kini semakin serius terlibat dalam perniagaan batu permata.


MINATNYA terhadap aksesori yang diperbuat daripada batu permata membuatkan gadis berusia 28 tahun ini mula serius mengikut jejak langkah bapanya dalam perniagaan menjual batu permata.

Jika dulu, gadis manis bernama Muna Tasnim Mukhtaruddin, hanya tahu menggayakan aksesori daripada batu permata mengikut rona baju setiap kali keluar ke kuliah, kini dia mewarisi legasi perniagaan batu permata milik keluarga yang dimulakan oleh bapanya.

“Perniagaan ini dimulakan oleh bapa saya, Mukhtaruddin Hashim, 64, yang merupakan seorang bekas guru sejak 30 tahun lalu di utara Semenanjung Malaysia.

“Dia sangat meminati batu permata dan belajar mengenali setiap batu permata melalui pembacaan, bertanya kepada individu yang pakar dan keluar negara untuk mendapatkan bekalan,” katanya yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraanbiokimia dan bioteknologi di peringkat Sarjana di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak.

Menurut Muna Tasnim, permintaan terhadap batu permata di Malaysia semakin meningkat kerana ramai orang mula menyukainya atas pelbagai sebab.

Kini, orang ramai bukan sahaja memakai batu permata sebagai aksesori seperti gelang, cincin, loket dan subang untuk kecantikan, malah ada yang memakainya kerana mempercayai batu-batu ini mempunyai khasiat kesihatan.

“Batu ini tiada harga tetap kerana terpulang kepada penjual untuk menetapkan harganya.

“Saya boleh menjual lebih murah daripada harga yang ditawarkan di pasaran dengan kualiti yang sama kerana saya membelinya secara pukal dari negara pengeluar,” ujarnya yang memulakan perniagaannya dengan modal sebanyak RM2,000.

Bagi melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai batu permata, Muna Tasnim merujuk kepada bapanya, membaca buku-buku mengenai batu permata, maklum balas daripada pelanggan dan pergi sendiri ke kedai-kedai permata untuk bertanyakan mengenai khasiat serta keistimewaannya.

Muna Tasnim mendapatkan bekalan batu-batu permata dari negara Myanmar, Thailand, China, Mesir dan sebagainya. Dia sendiri akan mengikat batu-batu tersebut mengikut kreativitinya untuk dijadikan gelang, subang, loket dan sebagainya.

Menjaga batu permata

Menyentuh mengenai penjagaan aksesori batu permata pula, Muna Tasnim memberitahu, memadai dengan membersihkannya dengan air biasa sahaja tetapi ada juga yang merendamkannya menggunakan air mineral.

“Jika dulu ramai orang berketurunan Cina yang memakai aksesori batu permata, kini orang Melayu juga menggemarinya.

“Bagi mereka yang mahu melibatkan diri dalam perniagaan ini, anda amat dialu-alukan. Katakan sahaja berapa modalnya dan saya akan berikan batu-batu permata dengan nilai tersebut,” katanya yang boleh dihubungi di rosequarzmtm@gmail.com.

Dalam pada itu, orang ramai yang mahu melihat secara lebih dekat batu-batuan pelik boleh berkunjung ke Pameran Batu-Batuan Pelik sehingga 16 Februari depan di Muzium Alam Semulajadi, Putrajaya.


ANTARA produk batu permata dan kristal yang dijual dalam perniagaan keluarga Muna Tasnim.


Pameran anjuran Jabatan Muzium Malaysia itu mempamerkan kira-kira 100 jenis batu yang terbentuk jutaan tahun dahulu merangkumi batuan daripada kategori meteor, amber, fosil dan suevit.

Pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk melihat batu meteor besi seberat 165 kilogram yang mempunyai kalimah Allah di permukaannya, namun ia sukar dilihat sekali imbas.

Kesemua batu-batuan tersebut di bawa khas daripada koleksi Jabatan Mineral dan Geosains, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia, Galeri Meteor, Galeria Perdana dan The Sculptures selain Muzium Alam Semulajadi sendiri.

Pameran itu dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran RM2 bagi dewasa manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun dan warga emas adalah percuma.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: