RESORT World Genting yang terkenal dengan jolokan Kota Keriangan kini menambahkan lagi keseronokan pengunjung ke kawasan tanah tinggi itu apabila memenuhi selera tetamunya dengan seleksi kulinari lazat.
Sejak 15 Januari lalu Resort World Genting melancarkan acara Mountain Of Food.
Ia dilakukan bagi menarik lebih ramai pelancong untuk menikmati pelbagai jenis makanan sambil menikmati keindahan alam Genting Highlands.
"Buat masa ini, pihak kami akan menawarkan kepelbagaian makanan Pulau Pinang untuk promosi bulan Januari. Ia bermula dari 15 Januari esok di Coffee Terrace, Hotel Maxims Genting.
"Ia diikuti dengan tema makanan di negeri-negeri lain untuk bulan-bulan berikutnya," kata Timbalan Presiden Eksekutif Genting Malaysia Berhad, Kevin Sim.
Menurutnya satu masa dahulu, ramai pengunjung datang ke Genting Highlands merungut kerana makanan yang dijual kurang enak dan agak mahal.
Kini, persepsi tersebut semakin pudar dan ramai pengunjung yang datang ke Genting semata-mata mahu menikmati pelbagai makanan yang disediakan di sini tidak kira masakan tempatan ataupun masakan Barat.
"Dari tahun ke tahun kita cuba memberikan yang terbaik kepada para pengunjung. Malah promosi ini tidak akan berakhir dalam jangka waktu yang singkat, malah ia akan berlangsung selama-lamanya.
"Kami mahu menjadikan Genting sebagai syurga makanan bukan sahaja di kalangan pelancong asing, malah masyarakat tempatan. Kami mempunyai lebih 100 buah restoran yang menyediakan lebih 200 jenis masakan pada bila-bila masa sahaja," ujarnya.
Dikunjungi 20 juta pengunjung
|
|
Setiap hari sebanyak 5.8 tan ayam, 3.8 tan ikan segar, 1.6 tan mi dan 11 juta biji telur dibawa naik ke puncak Genting setinggi 1,828 meter dari paras untuk menyediakan hidangan kepada pengunjung yang mencecah 20 juta orang setahun.
Bagi menjayakan acara Mountain Of Food, chef-chef terkenal dibawa khas ke puncak gunung yang terletak di Banjaran Titiwangsa Semenanjung Malaysia itu untuk memasak hidangan popular Pulau Pinang.
Antara hidangan yang terkenal di negeri tersebut yang dapat dinikmati di Coffee Terrace, Hotel Maxims Genting ialah char kuetiau, asam laksa, mi kari, har mi, tiram goreng, sate Pulau Pinang, pasembor, roti canai dan pelbagai hidangan lain yang dibawa terus dari Pulau Pinang secara eksklusif sempena promosi pada bulan Januari.
Selain menikmati makanan enak dari negeri tersebut, para pengunjung berpeluang membeli buah tangan signatur di pintu masuk Coffee Terrace seperti tau sar pneah, buah pala, belacan, kopi Kun Kee dan banyak lagi.
Sebagai simbolik pelancaran Mountain Of Food, chef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan membuat demonstrasi membuat air batu campur serta pelbagai makanan lain.
"Pelancongan makanan sangat mendapat sambutan dan inilah masanya untuk kita memperkenalkan makanan dan budaya negara kita pada orang luar.
"Dengan promosi sebegini, kita tidak perlu memandu jauh ke negeri-negeri lain semata-mata mahu menikmati sesetengah makanan kerana semuanya ada di sini," katanya ketika majlis pelancaran baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: