Saturday, January 22, 2011

Gerhana automotif Beijing


BEIJING memperkenalkan peraturan untuk mengehadkan jumlah pengeluaran pendaftaran kereta di jalan raya dalam setahun.


SELAMA beberapa tahun, bilik-bilik pameran kereta di Beijing, China menjadi tumpuan golongan kelas pertengahan di negara itu. Mereka datang dengan impian untuk memiliki kenderaan sendiri.

Bagaimanapun, ruang yang sentiasa penuh sesak dengan kehadiran pengunjung itu kini mula lengang.

Bulan lalu, Beijing mengumumkan akan mengurangkan jumlah pendaftaran kenderaan pada tahun 2011 sebagai langkah mengatasi masalah kesesakan trafik di jalan raya Beijing dan pencemaran yang berlaku.

Bagi golongan pemandu di bandar raya itu, pengumuman yang dilakukan merupakan satu berita baik kepada mereka namun, sebaliknya pula bagi penjual dan mereka yang sebelum ini berangan-angan membeli kereta.

Kesan sekatan

Li Hao, pengurus jualan bagi kereta buatan China, Chery memberitahu, dia tidak mampu menjual kereta sejak Disember lalu, ketika peraturan itu mula dikuatkuasakan.

"Kami tidak boleh mencari untung pada tahun ini," katanya. Ketika ditemuramah, bilik pameran itu hampir kosong kecuali kehadiran beberapa pembantu jualan berwajah bosan dan pelanggan yang mahu menyelesaikan pembelian sebelum ini.

"Pendapatan dan jualan syarikat kami turun mendadak dan saya bimbang akan kehilangan pendapatan dan kerja. Semua jurujual turut memikirkan perkara yang sama."

Dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik yang semakin kritikal, Beijing hanya membenarkan pendaftaran kira-kira 240,000 kereta pada tahun ini menggunakan sistem loteri plat berlesen. Jumlah itu menyamai satu pertiga daripada jumlah kereta yang berdaftar pada tahun 2010.

Jangkaan tentang kawalan pendaftaran kereta baru mencetuskan peningkatan jualan pada bulan Disember lalu di mana sebanyak 20,000 kereta berjaya dijual pada minggu pertama.

Menurut laporan media tempatan, jumlah itu adalah sekali ganda daripada jumlah kereta yang dijual dalam tempoh yang sama pada tahun 2009.

Keputusan kerajaan China untuk membatalkan pemotongan cukai terhadap kereta bersaiz kecil pada 1 Januari lalu juga mendorong peningkatan jualan.

Li berkata, pengedarnya turut diserbu pelanggan yang mahu membeli set roda kenderaan baru sebelum peraturan itu mula berkuatkuasa.

Salah seorang daripadanya ialah Tian Mao, seorang jurujual wain yang sedang mencari sebuah kereta untuk melakukan perjalanan jauh dan panjang.

Sebaik sahaja dia mendengar laporan tentang peraturan baru itu, dia segera ke bilik pameran Chery dan membayar 70,000 yuan (RM32,478) untuk sebuah kereta.

"Saya sangat gembira. Saya membeli kereta ini seminggu sebelum peraturan baru itu diperkenalkan. Ia sangat murah," katanya ketika selesai mendatangani dokumen hak milik.

Di samping keadaan laluan yang semakin sempit, Beijing juga digelar bandaraya 'paling teruk di dunia' dalam tinjauan yang dilakukan IBM pada pertengahan 2010.


KHABAR angin mengenai peraturan baru kerajaan mengehadkan jumlah keluaran kenderaan menyebabkan pembeli an panik rakyat Disember lalu.


Melalui peraturan baru, kerajaan berharap dapat mengurangkan jumlah pencemaran udara di bandar raya yang dihuni kira-kira 19 juta penduduk itu.

Kualiti udara di bandar raya itu semakin buruk disebabkan peningkatan terhadap kenderaan persendirian. Faktor itu menyebabkan kebanyakan mereka lebih selesa memandu kereta di atas jalan raya berbanding menggunakan basikal.

Bukan penyelesai masalah terbaik

Bagaimanapun, aktivis alam sekitar berkata peraturan baru itu kurang memberi kesan dalam mengurangkan tahap pencemaran di ibu negara China itu.

"Polisi baru yang diperkenalkan dianggap sudah terlewat," ujar Yang Ailin, pengurus kempen bagi Greenpeace di China.

"Ketika ini, masalah kesesakan trafik dan pencemaran di Beijing tidak mampu dibendung lagi."

Beberapa bandar di China dilaporkan telah berjaya mendahului Amerika Syarikat sebagai pasaran kereta terlaris dunia pada tahun 2009 dan 2010.

Bagaimanapun, penganalisis percaya, peraturan baru itu hanya memberi kesan kecil terhadap penjualan kenderaan pada tahun 2011.

"Peraturan itu tidak akan memberi impak terhadap industri automotif secara keseluruhan," kata John Zeng, Penganalisis IHS Global Insight yang berpangkalan di Shanghai.

Zeng menganggarkan penjualan kenderaan terus meningkat apabila orang ramai membeli kereta baru untuk menggantikan kereta lama, sementara yang lain akan mendaftarkan kereta mereka di wilayah jiran bagi mengelak sekatan.

Menurut Zeng, mangsa sebenar sekatan itu ialah peniaga-peniaga kereta kecil. Dia percaya 20 hingga 30 peratus daripadanya terpaksa menutup perniagaan mereka.

Bagaimanapun, terdapat ramalan-ramalan lain yang lebih dahsyat. Menurut China Daily, National Passenger Car Information Exchange Association meramalkan kira-kira 50 peratus penjual kereta di negara itu bakal 'gulung tikar'.

Ketika melihat bilik pameran yang kosong, Li berkata, dia menjangkakan jualan bulanan menurun kepada 45 unit pada tahun ini daripada 200 unit pada tahun 2010. Selain mengurangkan gaji kakitangan, Li tidak tahu apakah kaedah yang sesuai menampung kekurangan itu nanti.

"Setakat ini, saya belum mempunyai idea untuk meningkatkan jualan dan pendapatan syarikat," tambahnya.

"Kita hanya boleh tunggu dan lihat apa yang akan berlaku."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: