MENJADI lambang budaya setempat dan warisan politik Lebanon, sebuah kafe unik yang dibuka pada tahun 1920 telah mengunci pintunya pada tarikh keramat 10 Januari lalu.
Menurut waris keluarga yang pertama kali memulakan perniagaan Gemmayze Cafe (Kafe Kaca), Angele Abi Haidar, 50, banyak sejarah terukir sepanjang restoran itu beroperasi.
“Sejarah kafe ini sebenarnya terjalin amat rapat dengan sejarah bandar Beirut. Setiap inci kafe ini juga menyimpan seribu satu rahsia dan kisah tersendiri,” ujarnya dalam nada sebak.
Dalam pada itu, kafe yang terkenal di Lebanon itu juga menjadi saksi pergolakan politik semasa terutamanya ketika Perang Sivil dari tahun 1975 hingga 1990.
Tambah pemiliknya, pihaknya gagal mempertahankan bangunan bersejarah itu daripada pemilik asalnya berikutan kenaikan harga sewa sebanyak tiga kali ganda secara mendadak.
“Sebelum ini, bayaran sewa premis itu cuma AS$50,000 (RM153,000) setahun namun kini telah meningkat tiga kali ganda menjadi AS$150,000 (RM459,000) setahun,” katanya.
Belanja meningkat
Abi Haidar yang tidak mampu menampung jumlah perbelanjaan yang semakin meningkat terpaksa melepaskan kafe milik turun temurun itu dengan berat hati.
“Saya sudah membelanjakan banyak wang untuk membayar sewa bulanan tetapi kini saya sudah tidak mampu menanggungnya lagi,” ujar pemilik restoran itu yang terkenal dalam kalangan pelancong dan warga emas.
Restoran kecil tertutup yang dikelilingi bingkai kaca itu terletak di kawasan kejiranan Gemmayzeh di sudut bangunan yang dibina di Jalan Gouraud.
Dipercayai jalan tersebut diberi jolokan berikutan nama seorang Jeneral Perancis, Henri Gouraud yang telah menandatangani satu perintah pengisytiharan pembahagian negeri di Lebanon pada tahun 1920.
Bangunan bercirikan Uthmaniyah itu berebut ruang dengan premis-premis moden sepanjang jalan tersebut yang kebanyakannya kelab malam, bar dan restoran mewah. Namun begitu, Kafe Kaca terus menerima sambutan kerana menyajikan pelanggannya dengan hidangan asal komuniti Lebanon bersama dendangan muzik tradisional.
Dihiasi jubin yang diimport khas dari Itali pada awal abad ke-20, rumbai-rumbai lampu candelier sekitar era 1950-an dan meja bistro rekaan klasik, kafe itu pernah menjadi saksi gelora sejarah tahun demi tahun.
|
|
“Antara individu yang pernah menjadi pelanggan di kafe itu adalah Presiden Camille Chamoun, Perdana Menteri Saeb Salam dan pemimpin Kristian Maronite, Pierre Gemayel,” tambah Abi Haidar.
Kafe Kaca turut popular dalam kalangan intelektual yang lazimnya duduk bersama dan berdebat mengenai isu budaya dan kemanusiaan.
Abi Haidar masih lagi terkenang akan datuknya yang menyambut tetamu yang bertandang ke kafenya suatu ketika dahulu.
“Beliau akan melambungkan sebiji dadu sambil diiringi bunyi air yang membuak-buak dari pili dan muzik latar diva Lebanon, Fairuz,” imbasnya.
Sejarah lampau
Mengimbau kembali sejarah silam, Abi Haidar memberitahu jarak garisan pemisah yang mengasingkan Beirut kepada dua bahagian antara Kristian dan Muslim ketika Perang Sivil dahulu terletak tidak jauh dari lokasi kafenya.
“Kebanyakan penduduk di kawasan kejiranan yang terlibat dengan peperangan tersebut melarikan diri namun ayah saya masih lagi tidak berganjak sebaliknya terus menjalankan perniagaan setiap hari,” jelasnya.
Tambahnya, bom-bom juga pernah dijatuhkan di hadapan kafe hingga para pelanggan akan lari ke dapur untuk bersembunyi. Namun, apabila keadaan reda, mereka akan kembali ke tempat duduk asal.
Pemilik bangunan tersebut, Massoud Renno berkata dia tidak akan bertindak untuk meruntuhkan keseluruhan kafe itu sebaliknya akan mengosongkan ruang di dalamnya sebelum menyerahkannya kepada ketentuan situasi.
Namun, bagi Giorgio Guy Tarraf yang mewakili persatuan Pemuliharaan Warisan Beirut, usaha memperjuangkan tapak warisan bukan sekadar mempertahankan sesuatu harta atau hak milik.
“Sebaliknya, apabila kita berbicara mengenai warisan kita akan mengaitkannya dengan memori yang terkandung di dalamnya,” katanya yang sering menganjurkan konsert di premis tersebut setiap hari Rabu.
Pemilik kedai buku di kawasan sekitar kafe tersebut, Khalil Asmar, 50, pula mengandaikan sebahagian daripada bandar Beirut akan berkubur apabila Kafe Kaca itu ditutup.
“Sejak saya kecil, kafe ini sudah berdiri di sini dan ia seolah-olah rumah saya sendiri,” ujarnya syahdu.
Khalil yang sering menjadikan kafe tersebut sebagai lokasi menonton permainan daun terup sentiasa akan teringat pada aktivis kemanusiaan, Michel Akl duduk, yang duduk di suatu sudut dalam kafe itu untuk menulis sajak.
Abi Haidar yang akan membuka sebuah kafe di utara Beirut berkata, tiada apa yang boleh menggantikan Kafe Kaca yang penuh nostalgik.
“Sudah menjadi ironi, perang yang berlaku bertalu-talu tidak mampu menutup kafe ini namun kini, wang menjadi ukuran sehingga memaksa warisan sejarah ini berkubur buat selama-lamanya,” keluhnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: