PENDERITAAN masih belum berakhir. Derita yang dibawakan tentera Israel ke atas warga Palestin meninggalkan lara paling pahit yang mustahil untuk dilupakan oleh dunia.
Tebing Gaza ditakluk mudah rejim Zionis dengan melepaskan das-das tembakan peluru hidup serta meluruhkan bom-bom ke kediaman penduduk laksana menyempurnakan sebuah misi permainan video.
Tanpa kita sedari, peristiwa berdarah yang menyayat hati itu telahpun menjangkau ulang tahun keduanya dan kalau diimbau balik jumlah nyawa tidak berdosa yang terkorban, bilangannya terlalu ramai dan terus bertambah.
Konflik Israel-Gaza berpanjangan selama lebih dua tahun itu kin memaksa 1.5 juta rakyat Palestin menjadi pelarian di tanah tempat tumpah darah sendiri.
Senario genting itu menggalakkan usaha para aktivis seluruh dunia berganding bahu meleraikan persengketaan antara tentera Israel dan pejuang Hamas di Palestin.
Namun, usaha itu bagai menitik air ke batu. Situasi kian meruncing dan kecaman terhadap konflik itu kian bertambah.
Viva Palestina
Reaksi dunia yang mengutuk perbalahan itu turut menggerakkan cawangan Viva Palestina yang berpangkalan di United Kingdom (UK) ditubuhkan di Malaysia.
Pertubuhan yang dibawa masuk ke Malaysia oleh Datuk Adnan Mohd. Tahir pada Januari 2009 itu bergerak secara sukarela dalam usaha membantu umat seagama di wilayah bergolak selatan Palestin.
Menurut Adnan yang turut dilantik sebagai pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), sambutan berbeza diadakan di Malaysia bagi memperingati serangan berdarah 28 Disember 2008 ke atas bumi Gaza.
“Ketiadaan Kedutaan Israel di Malaysia tidak sesekali membataskan tindakan memboikot tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Israel. Ia malah menyemarakkan lagi semangat untuk memperjuangkan nasib saudara kita di tanah Palestin,” ujarnya ketika ditemui ketika upacara memperingati peristiwa Gaza di KL Sentral 26 Disember lalu.
Menyala lilin
Tambah Adnan, masyarakat dunia memprotes tindakan Israel dengan menyalakan lilin secara beramai-ramai dan berarak ke Kedutaan Israel di negara masing-masing.
“Lain pula bagi kami, semangat daripada sumbu lilin seluruh dunia dikumpulkan dan ditransformasikan dalam bentuk lakonan semula kejadian penahanan warga tempatan Palestin oleh tentera Israel.
“Tindakan yang diertikan sebagai Flash Mob ini amat jarang dilihat di sini (Malaysia) namun, rakyat di luar negara sudah lali dengan corak protes secara artistik ini,” ujarnya.
Flash Mob yang diadakan di ruang legar tingkat satu KL Sentral pada tarikh 26 Disember lalu menceritakan tentang bentuk penahanan warga Palestin dan usaha yang dilakukan untuk menangkis segala serangan dan melawan tentera bersenjata tanpa gentar.
Tempoh lakonan semula yang dipertontonkan kepada orang ramai ini berlangsung selama seminit selain diselangi dengan aksi kaku setiap detik 20 saat.
Ketua Jawatankuasa Perubatan VPM, Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin menambah, kesemua aksi yang dipertontonkan secara percuma kepada khalayak ramai ini akan dimuat naik ke laman perkongsian video Youtube untuk tatapan umum sebagai tanda sokongan Malaysia memboikot tindakan Israel.
“Flash Mob ini juga bertujuan mengingati kembali dan mewujudkan kesedaran rakyat Malaysia atas penderitaan rakyat Palestin,” tambahnya.
Sementara itu, sukarelawan dalam pertubuhan yang baru didaftarkan di Malaysia itu juga menyambut baik setiap program yang dijalankan oleh VPM tiap waktu.
“Setakat ini keanggotaan VPM mencecah ke angka 50 orang ahli dan dianggarkan jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa apabila rakyat tempatan semakin sedar akan kewujudan VPM ini,” getusnya lagi.
Sukarelawan
Sambutan tahunan memperingati perjuangan rakyat Palestin kali kedua ini dianggotai sukarelawan terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar universiti tempatan, ahli-ahli Young Muslim Project serta aktivis VPM sendiri.
Timbalan Pengerusi VPM, Jamilah Sheikh Abdullah pula menambah usaha VPM tidak terhenti setakat mengadakan Flash Mob namun diteruskan dengan pelbagai aktiviti lain bersifat kesukarelaan untuk mengutip dana buat penduduk Palestin.
”VPM juga mengadakan penjualan kemeja-T dan skaf, pengedaran risalah kesedaran kepada orang ramai selain kutipan derma untuk disalurkan ke wilayah Gaza kelak,” singkapnya yang turut terlibat sejak awal penubuhan Viva Palestina di Malaysia.
Menongkah pelbagai arus memperjuangkan nasib bangsa di bumi Palestin, VPM akhirnya akan diiktiraf sebagai sebuah pertubuhan rasmi Malaysia oleh mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 22 Januari ini.
Majlis yang bakal disaksikan di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur nanti akan turut melakar sejarahnya tersendiri apabila dihadiri oleh kakak ipar bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair iaitu Lauren Booth.
Booth yang bakal berkongsi pengalaman menariknya sepanjang karier sebagai wartawan dan pejuang hak asasi manusia akan turut menceritakan detik-detik cemasnya tatkala misi keamanan di Tebing Gaza pada tahun 2008.
Sehubungan dengan itu, meja-meja pada majlis pelancaran itu boleh ditempah dan hasil jualan akan disumbangkan ke Tabung Viva Palestina. Keterangan lanjut hubungi wakil VPM, Azra Banu di talian 016-209 4500.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: