PERTIWI akan kekal fizikalnya, walau dilanda perubahan masa dan pemodenan. Lain pula budaya, andai diperleceh dan diadun dengan bermacam-macam rempah ratus, lama-kelamaan ia akan luntur malah hilang seri serta aslinya.
Jelas sekali, bukan tugas mudah untuk memulihara budaya agar kekal subur dalam sanubari anak muda masa kini. Seni dan budaya adalah satu entiti yang telah lama wujud dalam jiwa setiap individu.
Bagaimanapun, masalah timbul apabila ia diabaikan.
“Kita jarang melihat anak-anak muda memperagakan busana tradisi seperti baju kurung, ceongsam dan sari melainkan ketika upacara tertentu.
“Ini sudah melambangkan jati diri masyarakat pasca merdeka untuk memartabatkan empayar seni dan budaya yang dibina oleh generasi terdahulu,” ujar Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli.
Berkisar soal seni tempatan yang semakin dipinggirkan, Norliza menambah, bidang-bidang seni seperti tarian, lakonan dan muzik sepatutnya terus dipulihara dan dibaja demi meneruskan kelangsungannya pada masa akan datang.
Dengan adanya penerapan aktiviti bercorak kesenian dan kebudayaan di peringkat akar umbi sehingga ke usia emas, perkembangan positif akan ditunjukkan dalam bidang itu.
Sehubungan itu, pelbagai usaha dipergiat untuk memastikan keberkesanan kedua-dua bidang utama itu dipulihara termasuklah program Permata Seni yang melatih kanak-kanak seawal usia empat tahun untuk berkecimpung dalam arena seni.
Selain itu, usaha sama digiatkan pada setiap peringkat usia kanak-kanak dan remaja seperti program Tunas Budaya yang turut melatih individu yang cenderung dalam bidang seni dan budaya untuk terus berkembang.
“Inisiatif yang jitu harus digembleng oleh semua pihak bagi memastikan elemen-elemen teras yang unik ini akan dilestarikan untuk tatapan generasi akan datang dan kesenian ini perlu disepakatkan bukan hanya di dalam negara malah dari negara-negara jiran,” ujarnya ketika ditemui di Songkhla baru-baru ini.
Seruannya disahut menerusi satu program kolaborasi antara mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari Malaysia dan dua buah negara jiran Indonesia dan Thailand.
Hasil program Karnival Varsiti Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) baru-baru ini sedikit sebanyak menyuntik nafas baru dalam kegemilangan seni tanah air.
Permuafakatan yang terjalin daripada program selama tujuh hari itu yang diisi dengan pelbagai bengkel dan persembahan kebudayaan turut menerapkan elemen perkongsian budaya.
Menurut Pengerusi program IMT-GT 2010 merangkap Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Omar Osman, program seumpama itu mampu merapatkan jurang antara mahasiswa daripada berlainan tempat dan adat.
“Ia sekali gus mampu mencungkil bakat-bakat dalam semua bidang termasuklah tarian dan muzik untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya yang optimis terhadap permuafakatan budaya menerusi jalinan program itu.
Keupayaan sesebuah universiti dan mahasiswa akan terserlah menerusi persaingan sihat yang secara tidak langsung terbentuk melalui perhimpunan besar-besaran yang melibatkan lebih 1,000 orang peserta kali ini.
IMT-GT yang telah dilaksanakan sebanyak 11 kali sebelum ini memilih universiti yang berbeza sebagai tuan rumah pada setiap kali penganjuran sekali gus membolehkan penerokaan bidang seni dan budaya berbeza di tempat-tempat baru sama ada di Malaysia, Indonesia mahupun Thailand pada setiap tahun.
Penuntut jurusan Sastera dan Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Valentino Stanley Jogian, 23, menyambut baik objektif yang disasarkan pada program yang berlangsung di Thaksin University, Songkhla, Thailand baru-baru ini.
“Semua peserta yang mengikuti program memartabatkan seni dan budaya seperti ini dapat mempelajari perkara baru yang belum pernah ditemui sebelum ini dan peluang ini amat jarang sekali diperoleh,” kata pelajar tahun empat itu.
Rakannya, Alia Farhana Mohamed Isa, 23, berpendapat program seumpama ini mampu merapatkan silaturahim antara mahasiswa dari universiti yang berbeza-beza.
“Saya dapat berkenalan dengan rakan seangkatan dari pelbagai negara,” tambahnya.
Graduan berkualiti
Peserta dari Universiti Teknologi Rajamangala Srivijaya (RMUTSV) Thailand, Werayooth Sooknoi, 20, yakin dengan perpaduan yang dibentuk daripada program itu akan berkekalan berikutan jaringan sosial di alam maya.
“Kami tetap berkomunikasi menerusi Facebook dan Twitter walaupun telah pulang ke tempat masing-masing dan inilah salah satu kelebihan yang diperoleh daripada program IMT-GT ini,” getusnya ketika ditanya.
Sementara itu, peserta dari Universitas Negeri Medan (UNIMED), Indonesia, Brevin Tarigan Silangit, 22, menyambut baik program gabungan tiga buah negara ini yang diyakini berkesan melahirkan modal insan bermutu tinggi.
“Usia belia harus dimanfaatkan dan tidak disia-siakan bagi menjamin graduan dari sesebuah universiti itu benar-benar berkualiti,” katanya yang diselangi telor bahasa ibundanya.
Berkampung selama seminggu di daerah Songkhla, selatan Thailand dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti menarik walaupun bayu air bah masih bertiup kuat.
Musibah yang menduga tanah tadbiran Perdana Menteri ke-27 negara Gajah Putih, Abhisit Vejjajiva itu diletak ke tepi dan fokus sebenar kunjungan ditumpukan semula.
Tumpuan turut diberi kepada pemupukan semangat jati diri mahasiswa menerusi pengisian acara seminar dan perlawanan sukan persahabatan yang turut menunjangi program IMT-GT ini.
Kepimpinan yang dibentuk hasil daripada seminar antara Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) setiap universiti dilihat sebagai usaha meneroka dan berkongsi cambahan idea antara mahasiswa dari pelbagai latar belakang.
Selain itu, muafakat juga dijalin menerusi perlawanan lima acara sukan iaitu bola sepak, tenis, badminton, bola tampar dan futsal.
Menjejaki sejarah perkembangan terbentuknya karnival yang merapatkan jurang sosial dan ekonomi tiga negara ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) meneraju kejayaan penganjuran selepas perlawanan persahabatan bola sepak antara universiti-universiti pada tahun 1995 menggunakan jenama IMT Growth Triangle Inter-Varsity Games.
Pada pertengahan tahun yang sama, termaktub perlembagaan baru untuk menambah aktiviti kebudayaan sebagai sebahagian daripada perjalanan acara selain penukaran nama program seperti sekarang.
Peredaran semasa melihatkan pertambahan beberapa acara lain dalam sukan bersama program seminar kepimpinan yang turut sama disuntik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: