BARU sahaja dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Drama menerusi drama Sebelum Akhirat dalam Anugerah Skrin yang berlangsung 24 Disember lalu, Murali Abdullah sepatutnya sudah boleh berbangga dan berpuas hati dengan kejayaannya itu.
Namun, sempena tahun 2011 yang sudah pun membuka tirainya hari ini, Murali, 47, tetap memasang impian dan azam baru untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu memberitahu, dengan adanya azam baru, ia menjadi penanda aras untuknya berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
“Saban tahun saya akan pastikan bahawa saya mempunyai senarai perkara atau impian yang mahu dicapai sepanjang tahun tersebut.
“Biasanya apabila tiba hujung tahun, saya akan periksa semula adakah senarai itu berjaya direalisasi atau sebaliknya,” ujar Murali yang mula menempa nama sebagai pengarah berkaliber di negara ini menerusi drama Suara Saleha pada tahun 2007.
Ditanya azam tahun barunya, Murali dengan penuh semangat memberitahu dia mahu meraih gelaran Pengarah Filem Terbaik pula. Walaupun tahu ia bukan satu perkara yang mudah dicapai, pengarah berzodiak Aquarius itu tetap optimis.
Semangat yang ditunjukkan Murali disokong oleh Perunding Motivasi, Prof. Madya Izzudin Mohd. Ali yang mengakui azam baru adalah satu perkara yang perlu ada dalam diri setiap manusia.
Beliau yang dikenali dalam segmen motivasi dan kerohanian, Refleksi di stesen radio Hot FM menegaskan sesuatu azam itu boleh dianggap sebagai tenaga baru untuk seseorang manusia meneruskan kehidupan.
“Justeru, kita perlu sentiasa mewujudkan dasar tenaga baru yang dimaksudkan itu untuk memulakan sesuatu perkara dalam rutin hidup sehari-hari.
“Ini penting bagi memastikan hidup kita dikelilingi cabaran dan tidak hanya berada dalam ruang lingkup selesa,” kata beliau yang mesra dengan panggilan Prof. Izzi.
Di samping itu, tambah beliau apabila seseorang mempunyai azam baru, dia perlu cuba untuk mencapainya sedikit demi sedikit. Jangan pula apabila gagal untuk dicapai, ditinggalkan begitu sahaja.
“Paling penting, perubahan pada diri boleh dilakukan setiap hari. Maknanya setiap hari kita berazam untuk berubah dan menjadi lebih baik dari hari sebelumnya. Begitulah yang seeloknya dilakukan sehingga kita menutup mata buat selamanya,” ungkap Prof. Izzi.
Dekad kedua milenium
Apabila berbicara tentang azam baru 2011, sedarkah kita bahawa dekad pertama yang kita lalui dalam abad ke-21 ini sudah pun menjadi lipatan sejarah?
Ternyata masa begitu pantas berlalu dan kini kita sudah memasuki tahun pertama bagi dekad kedua era milenium. Walaupun sudah banyak pencapaian yang dilakar oleh negara dalam pelbagai aspek terutama pembangunan, namun, perjalanan masih jauh untuk ditempuh demi menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Wawasan yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu kini hanya berbaki sembilan tahun untuk dijejaki. Ia merupakan wawasan kerajaan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya.
Namun demikian, ia bukan merangkumi bidang ekonomi semata-mata, bahkan meliputi bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi, kesihatan serta perpaduan nasional.
Untuk mencapainya, kesemua itu turut melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa dan keyakinan negara.
Realitinya, masih banyak cabaran dalam pelbagai aspek kehidupan yang perlu ditempuhi untuk menggapai matlamat murni itu. Salah satu daripadanya adalah cabaran politik.
Kestabilan politik
Penganalisis politik terkenal negara, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata senario politik di Malaysia secara umumnya masih berpaksikan kesederhanaan, kecuali satu atau dua parti yang berhaluan kiri. Parti-parti itu jika dilihat dari sudut ideologi nampak sederhana dan adil, tetapi pada praktiknya bersifat perkauman dan antiperlembagaan.
“Namun, semua itu dapat dikawal dan diurus dengan baik oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pendekatan kesederhanaan yang diterjemah dalam bentuk politik permuafakatan, kolaborasi dan akomodasi (penyesuaian dan adaptasi).
“Itulah sebenarnya rempah ratus kejayaan pemerintah kita dalam mewujudkan suasana harmoni dan bersatu padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Ia sekali gus mendorong negara lain menjadikan Malaysia negara contoh,” tegas Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Ahmad Atory menambah, kerajaan Malaysia berjaya mengawal insiden-insiden yang serius seperti rusuhan besar-besaran atau pergaduhan kaum daripada berlaku dengan memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan.
“Begitu juga dengan insiden pergaduhan, maki hamun dan tidak bersopan oleh sesetengah ahli Parlimen. Antara lain ia dibendung dengan menahan ahli-ahli yang berbohong di Parlimen daripada menghadiri sidang dewan.
“Jika ahli-ahli politik yang tidak sopan itu tidak didisiplinkan, ia boleh menular menjadi budaya. Maka ketika itu, keadaan tidak dapat dikawal lagi dan jadilah Malaysia seperti negara-negara yang berantakan seperti di Iraq, Pakistan, Afghanistan dan sebagainya,” kata beliau sambil menambah selagi perlembagaan negara dijadikan asas untuk berpolitik, selagi itu demokrasi cara Malaysia dapat dikekalkan.
Ancaman kesihatan
Dalam pada itu, aspek kesihatan turut menjadi tunjang utama bagi melahirkan generasi yang menuju status negara maju.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, cabaran yang akan dihadapi dalam bidang kesihatan sangat besar pada tahun 2011.
Penularan penyakit berjangkit terutama yang disebabkan oleh viral seperti H1N1, selain penyakit bawaan vektor dan kemunculan penyakit kuno seperti tibi dan kolera adalah cabaran yang mesti ditangani dengan bijak oleh rakyat Malaysia.
“Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan perubatan untuk menangani ancaman penyakit tersebut, namun ia tidak boleh diselesaikan dengan mudah. Begitu juga dengan peningkatan angka bagi penyakit kronik lain seperti buah pinggang, diabetes dan HIV selain darah tinggi dan masalah jantung.
“Kesemua itu berkait rapat dengan gaya hidup masyarakat. Justeru, saya melihat pentingnya rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat dari segi pemakanan, senaman dan menyelesaikan setiap masalah yang timbul.
“Secanggih mana pun teknologi perubatan dan kemudahan kesihatan yang disediakan, kerajaan tidak akan berhasil jika masyarakat tidak menjaga pemakanan serta gagal menjalani gaya hidup sihat yang seterusnya mendedahkan mereka kepada pelbagai jenis penyakit,” kata Rosnah.
Tidak ketinggalan beliau turut menekankan masalah kesihatan mental yang dilihat sebagai cabaran yang harus dikendalikan secara berkesan lantaran jumlah pesakit jiwa serta mereka yang mengalami stres semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Saya amat berharap rakyat Malaysia celik perihal kesihatan diri dan keluarga. Paling utama, mereka perlu bersedia untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat,” tambah beliau.
|
|
Keselamatan negara
Usaha mengejar kemajuan tidak dapat dicapai sekiranya negara diancam isu keselamatan.
Mengulas mengenai perkara itu, Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun berkongsi bahawa secara keseluruhan, negara menerima banyak bentuk ancaman melibatkan keganasan, namun ia ditangani secara berterusan.
“Ia meliputi ancaman keselamatan di peringkat domestik atau dalaman, serantau dan global. Lantaran itu, pihak berkuasa sentiasa berusaha memantau setiap ancaman yang diterima dengan penuh teliti dan berhati-hati.
“Selain itu, kami juga sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan negara tidak berdepan dengan situasi seperti serangan pengganas dan sebagainya,” jelasnya sambil memberitahu tindakan tegas dan amaran sentiasa dipraktik bagi membendung masalah berkenaan.
Menurut beliau, antara aktiviti yang dikesan mampu memberi ancaman pada negara termasuklah tindakan merekrut dan mengembangkan kegiatan pengganas dalam kalangan pelajar universiti.
“Tidak dinafikan perkembangan teknologi juga menjadi faktor dan trend baru untuk golongan ini meluaskan rangkaian mereka kerana ia mudah dilayari tanpa sebarang halangan.
“Lebih teruk, sumber tersebut bukan sahaja datang dari luar negara, tetapi juga ia boleh didapati daripada individu atau rakyat negara ini sendiri,” katanya yang berharap golongan muda harus bijak menilai sesuatu perkara agar tidak memberi kesan buruk ke atas mereka pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: