COROLLA merupakan antara model keluaran Toyota yang paling laris. Masuklah ke mana-mana pasaran sekali pun, ia pasti mendapat sambutan luar biasa daripada peminat tegar jenama Toyota. Mula dipasarkan pada tahun 1966, jualan sedan kompak ini sudah mencecah lebih 35 juta unit di seluruh dunia.
Kini, Corolla sudah menginjak ke generasi ke-10. Di Malaysia, model sedan kompak itu lebih selesa dipanggil Altis. Biarpun masih gagal memintas seteru tradisinya, Honda Civic dari segi jualan dan populariti, Altis sudah bersedia untuk kembali bersaing dengan pelbagai bentuk pembaharuan yang diterimanya.
Baru-baru ini, saya berpeluang memandu uji varian Altis 1.8G. Dapat dilihat dengan jelas bahawa penambahbaikan Altis berlaku pada semua segi. Penampilan luarannya direka agar nampak lebih sporty. Bentuk lampu hadapan yang nipis dipadankan dengan rekaan gril radiator lebar dan kemasan krom pada setiap jerijinya.
Wajah baru Altis
Bampar hadapan kelihatan lebih lebar bersama bentuk perumah lampu kabus yang baru. Lampu belakang pula telah ditukar dengan kluster jernih manakala rekaan bampar belakang baru itu juga dipadankan bersama kemasan krom yang lebih panjang.
Tipikal sebuah kereta Jepun, bahagian belakang itu penuh dengan emblem yang tertera perkataan seperti Corolla Altis, 1.8G dan Dual VVT-i. Sekali pandang, ia agak menyemakkan mata. Rim aloi sepuluh jejari pula telah ditukar dengan rim lima jejari bersaiz sama iaitu 6 inci.
Bahagian kabinnya masih mengekalkan skim warna beige yang memang saya tidak gemar. Cuma, varian baru itu menampilkan warna lebih gelap pada bahagian atas papan pemuka dan panel pintunya.
|
|
Seperti biasa, ciri mewah sebuah sedan cuba diserlahkan menerusi kemasan kayu pada sebahagian stereng, panel sisi, konsol tengah dan perumah tuil gear. Jadi, tindakan menukar kayu berwarna cerah yang digunakan sebelum ini dengan kayu lebih gelap dilihat lebih bijak.
Apa yang benar-benar membuatkan Altis itu berbeza dengan model sebelumnya ialah unit enjin serta kotak transmisi yang digunakannya. Enjin baru dengan sistem Dual VVT-I dan ACIS itu lebih berkuasa. Janaan kuasa yang mencecah 140PS pada putaran enjin 6,400 pm diagihkan dengan lancar menerusi transmisi automatik tujuh kelajuannya.
Ya, buat pertama kalinya Toyota menggunakan kotak gear jenis Super CVT-i yang menjadi satu anjakan besar buat model Corolla. Sebelum ini, ia hanya menggunakan transmisi automatik empat kelajuan Super ECT yang terus digunakan pada varian 16E.
Tidak seperti varian, 2.0V yang dilengkapi paddle shifter, anda hanya boleh menukar kedudukan gear secara manual dengan menolak tuil gearnya. Saya harus akui bahawa penukaran gear dapat ditukar dengan begitu lancar dan kuasanya juga mampu dirasai agak ketara.
Pemanduan selesa
Satu lagi perkara yang anda pasti hargai adalah bunyi enjinnya yang cukup senyap. Ketika memandu, jarang sekali bunyi enjin atau bising lain menerobos ke dalam kabin. Keadaan itu membolehkan anda menikmati muzik daripada unit audio bersama enam pembesar suara itu secara sepenuhnya.
Bagi memberi keselesaan maksimum kepada semua penumpang, Altis dibekalkan dengan sistem kawalan suhu dalaman. Maksudnya, sistem pendingin hawa akan mengubahsuai kelajuan kipas untuk mengekalkan suhu kabin yang diingini.
Altis tidak lokek dengan ruang penyimpanan barang. Selain ruang meletak botol minuman di konsol tengah, anda juga boleh meletak barang di bahagian bawah panel pintu. Tidak terkecuali ruang glove box bertingkat yang ada di bahagian penumpang hadapan.
Stereng kuasa elektronik (EPS) yang ada pada Altis juga membuatkan pemanduan di bandar atau sewaktu hendak memakir menjadi semakin mudah. Namun begitu, rasa stereng yang ringan itu kadangkala membuatkannya terasa kurang responsif terutama sewaktu mahu beraksi di laluan bengkang-bengkok pada kelajuan tinggi.
Mahu mendidik orang ramai menjadi pemandu lebih hijau, meter optitron Altis mempunyai paparan zon dan lampu hijau ECO. Lampu itu akan menyala sekiranya anda memandu dalam kondisi ekonomi atau pedal minyak ditekan dengan sopan.
Bagi membolehkan lebih ramai yang mampu memiliki Altis, UMW Toyota Motor menawarkan Altis bermula pada harga RM105,990 seunit untuk varian 1.6E. Varian dengan enjin bersesaran lebih besar, 1.8E dan 1.8G boleh anda miliki pada harga RM112,990 serta RM122,990 seunit. Sementara varian paling tinggi, 2.0V ditawarkan pada harga RM131,990 seunit. Semuanya adalah harga di atas jalan termasuk insurans.
Altis didatangkan dengan empat warna pilihan iaitu putih, perak, kelabu dan hitam. Ia juga hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000 kilometer.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: