Wednesday, January 12, 2011

PM umum 19 lagi projek di bawah Program Transformasi Ekonomi




PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 19 lagi projek permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang akan menjana pelaburan hampir RM67 bilion, RM36 bilion pendapatan kasar negara dan mewujudkan 35,000 pekerjaan baru.

Sebelum ini, 18 EPP diumumkan sejak ETP dilancarkan pada 25 Oktober 2010.

Semua projek 19 EPP dan pembangunan itu akan dilaksanakan di bawah 10 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), yang diterajui empat EPP di bawah NKEA minyak, gas dan tenaga, katanya pada satu taklimat media di Putrajaya, semalam.

Najib berkata, ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, bersama rakan kongsi kontrak pengeluarannya, Petronas Carigali Sdn Bhd, merancang melabur lebih RM10 bilion dalam aset minyak dan gas bagi membantu memastikan bekalan yang andal dan mapan bagi Malaysia.

Ini adalah kesinambungan daripada pengumuman insentif cukai baru di bawah Akta Cukai Pendapatan Petroleum (Pita) pada November 2010, kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

“Komitmen perbelanjaan modal ini akan digunakan bagi memberi nafas baru terhadap kemudahan yang matang dan melaksanakan usaha meningkat aktiviti pengeluaran minyak di medan Tapis dan projek pembangunan gas Telok, katanya.

Projek Telok, yang terletak di luar pesisir Semenanjung Malaysia, sedang dibangunkan di bawah satu kontrak perkongsian pengeluaran bagi menyediakan bekalan tambahan bagi keperluan kuasa dan perindustrian Malaysia dan akan menggalakkan pertumbuhan organik sektor gas asli, katanya.

Najib berkata, satu lagi peserta besar dalam industri ini, Shell Malaysia akan turut melabur RM1.5 bilion daripada segi pelbagai projek bagi menaik taraf, mengembangkan dan membina kemudahan di dalam aktiviti hiliran, pertengahan dan huluan di seluruh Malaysia.

“Ini termasuk mengembangkan loji lilin Sintesis Penyulingan Pertengahan Shell (MDS) di Bintulu, satu unit pemprosesan diesel yang baru di Kilang Penapisan Shell di Port Dickson dan pembangunan air dalam Gemusut di luar pesisir Sabah,” katanya.

Aktiviti selanjutnya dalam sektor ini akan menyaksikan Dialog Group Bhd mengetuai satu konsortium yang terdiri daripada Kerajaan Johor dan Vopak akan membangunkan satu projek terminal petroleum air dalam bebas RM5 bilion di Pengerang, Johor, katanya.

Najib berkata, projek itu mempunyai keupayaan penyimpanan petroleum keseluruhan 5 juta meter padu dan melonjakkan Malaysia sebaris dengan hab penyimpanan minyak serantau.

“Saya menjangka satu kesan pengganda yang signifikan daripada projek Pengerang untuk merangsang keseluruhan ekonomi dan di bawah ETP, ia dijangka menjana pendapatan negara kasar RM1.6 bilion menjelang 2020,” katanya.

Mengenai tenaga nuklear, Najib berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menggembleng tenaga bagi memenuhi permintaan masa depan dan mempelbagaikan campuran tenaga bagi Semenanjung Malaysia.

Dengan itu, bagi menerajui inisiatif itu, Najib turut mengumumkan pembentukan Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia di mana Dr Mohd Zamzam Jaafar dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

“Dr Mohd Zamzam mengetuai perancangan berdasarkan tempoh jadual masa pembangunan semasa antara 11 hingga 12 tahun daripada pra projek sehingga pentauliahan,” kata Najib.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: