Wednesday, January 12, 2011

Jimmy tuntut isteri taat



Persoalan tentang status sebenar rumah tangga pasangan Jimmy Shanley dan isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy kini terjawab setelah Jimmy memfailkan tuntutan perintah taat terhadap isterinya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Difahamkan Jimmy mengambil tindakan itu kerana Suhaila sudah lama tidak tinggal bersamanya.

Jimmy yang dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu. Menerusi sistem pesanan ringkas (SMS), Jimmy berkata;

“Saya tahu masih ramai yang membuat spekulasi mengenai isu rumah tangga saya. Saya minta maaf kerana tidak dapat nak menjawab panggilan kerana mahu menjaga nama baik keluarga mentua saya.

“Adatlah perkahwinan ada naik turunnya. Sedangkan lidah lagi tergigit ini pula suami isteri. Apa yang saya harap perkahwinan saya kekal selamanya. Kami hanya merancang, Allah yang menentukan.”

Bekas pengacara Trek Selebriti ini juga berharap akan ada berita gembira mengenai hal rumah tangganya dan meminta agar semua peminat mendoakan kebahagiaan rumah tangganya.



Suhaila masih sayangkan Jimmy: Datin Muniroh

Sementara itu, Sinar Harian turut mendapatkan penjelasan ibu mentuanya, Datin Hajah Muniroh Kasim. Tanpa berselindung, Muniroh, akui Jimmy ada berbincang dengannya sebelum membawa masalah rumah tangganya ke mahkamah.

“Jimmy ada datang berbincang dengan kami mengenai hal ini dan bawa kes ini ke mahkamah. Ini hanya tuntutan biasa sahaja. Ia hanya permintaan biasa sebagai seorang suami.

“Tapi Suhaila tidak ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan kerana dia masih sayangkan Jimmy. Sebagai ibu, saya tahu mereka saling menyayangi antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Berikutan kisah itu, kes itu telah ditangguhkan oleh pihak mahkamah hingga Febuari depan untuk sebutan semula.

Muniroh mendakwa, sejak akhir-akhir ini, Jimmy tertekan dengan sikap pihak yang ingin melihat rumah tangganya runtuh.

“Oleh sebab itulah Jimmy jadi macam ni. Saya kasihan pada mereka berdua. Walaupun Suhaila sudah mengandung, tetapi perutnya masih kecil lagi. Mana tahu bila perutnya dah membesar, isu ini akan menemui penamatnya. Saya harap perkara ini tidak dibesar-besarkan lagi. Kasihan pada Jimmy dan Suhaila.

“Selepas perkara ini heboh, Suhaila sudah enggan ke pejabat dan lebih suka berada di rumah. Saya risau dan berharap orang di luar dapat mendoakan kebahagiaan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: