Wednesday, January 12, 2011

Matta labur RM2.8j buka pejabat baru




Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) memperuntukkan RM2.8 juta bagi membuka ibu pejabat barunya di Fraser Business Park, Kuala Lumpur.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, ia bukti pencapaian Matta meningkatkan industri perkhidmatan dan pelancongan.

Menurutnya, Matta menjangka pertumbuhan lebih baik dalam industri pelancongan tahun ini kerana perkembangan ekonomi dunia yang semakin pulih dan kestabilan setiap negara menghadapi krisis ekonomi.

“Pada suku terakhir tahun lalu, ekonomi negara kembali pulih dan aktiviti pelancongan di negara ini juga berkembang.

“Saya percaya pembukaan Wisma Matta ini bukan hanya berfungsi sebagai hartanah baru, malah juga tempat memastikan kelancaran operasi kami bagi membantu industri pelancongan negara,” katanya pada perasmian pembukaan Wisma Matta di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Mohd Khalid berkata, setiap tahun mereka menganjurkan 14 Matta Fair yang juga berperanan menyumbang kepada industri pelancongan negara.

Menyentuh mengenai peserta Matta yang menyalahgunakan kuasa, beliau memberitahu, mereka tidak akan berkompromi dengan ahli yang tidak mematuhi peraturan.

Pada majlis sama, Ng berkata, pembukaan Wisma Matta adalah simbolik kejayaan industri pelancongan di Malaysia.

“Matta badan utama dalam mencapai matlamat 36 juta pelancong dengan RM168 bilion perolehan hasil menjelang 2020,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: