AKTIVITI pemerdagangan orang merupakan lanskap jenayah yang masih dianggap baru kerana pemahaman terhadapnya masih belum meluas di negara ini.
Apatah lagi pindaan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang dipinda baru saja berkuat kuasa pada 15 November tahun lalu yang bertujuan untuk meningkatkan kadar penalti bagi kesalahan pemerdagangan orang.
Demikian pandangan Pengerusi Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO), Datuk Seri Mahmood Adam yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.
Mahmood berkata, masyarakat bukan sahaja tidak faham tentang pemerdagangan orang bahkan sebelum ini ia berlaku di kalangan penguatkuasa.
“Selepas diberikan penerangan dan kefahaman menerusi pelbagai pendedahan dan kursus mengenainya barulah terdapat perkembangan dalam kes pemerdagangan orang,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.
Sebanyak lima agensi yang menjalankan penguatkuasaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan terbaru, Jabatan Tenaga Kerja.
Berdasarkan Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2010, Malaysia diletakkan pada Tahap Dua dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia.
Laporan TIP merupakan senarai kedudukan negara-negara dunia berdasarkan tahap pematuhan standard minimum dalam memerangi pemerdagangan manusia.
Perbaiki kelemahan
Mahmood berkata, terdapat perkembangan positif berikutan kedudukan negara sebelum ini merosot dari Tahap Dua pada 2008 ke Tahap Tiga pada 2009.
“Dengan memperkukuhkan gerakan menguatkuasakan anti pemerdagangan orang, kita bermatlamat untuk menaikkan penarafan itu ke Tahap Satu pada tahun ini.
“Justeru, dua aspek yang perlu diperbaiki iaitu kehakiman dengan mempercepatkan proses undang-undang pembelaan dan hukuman dijatuhkan,” katanya.
Pencapaian TIP berdasarkan kepatuhan negara menerusi Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA) Amerika SyarikatMenurut klasifikasi antarabangsa, Tahap Satu merujuk kepada negara yang melakukan pematuhan sepenuhnya dan Tahap Dua bagi usaha signifikan untuk mematuhi TVPA.
Bagi Tahap Tiga pula bermaksud sebagai negara yang tiada usaha untuk mematuhi standard minimum TVPA.
Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dipinda bagi memasukkan kesalahan berhubung penyeludupan migran menjadi akta baru itu dikenali sebagai Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Sehubungan itu Mahmood berkata, aspek penyeludupan migran sama ada secara sukarela atau dipaksa melintasi sempadan perlu diberikan perhatian.
“Ia adalah jenayah merentasi benua dan pindaan akta tersebut memperluaskan skop anti pemerdagangan orang serta memerangi penyeludupan migran,” katanya.
Sentiasa berubah
Menurut Mahmood, kelemahan membanteras kegiatan berkenaan sebelum ini adalah dalam soal peruntukan undang-undang namun tahun ini penguatkuasaan diperkukuhkan sehingga ke proses keputusan mahkamah.
“Tumpuan akan dilakukan terhadap pendakwaan dan penyelesaian kes perburuhan serta memantapkan Pelan Tindakan Kebangsaan berkaitan pemerdagangan orang.
“Dengan kerjasama badan antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat, kes-kes berkenaan dapat diselesaikan dengan segera dan mudah,” katanya.
MAPO menjalankan kerjasama dengan pihak luar seperti Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
Kerjasama dengan NGO pula melibatkan Majlis Kanak-kanak Malaysia (MKKM) dan Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO).“Ini termasuk menjalinkan kerjasama dengan kedutaan negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada,” kata beliau.
Dalam pada itu katanya, penguatkuasaan perlu seiring dengan lanskap dan cara jenayah itu dilakukan yang sentiasa berubah-ubah.
“Sebelum ini, kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak bagi eksploitasi seksa dan pekerjaan namun kini semakin beralih kepada golongan lelaki,” katanya.
Jika Malaysia mencapai kedudukan Tahap Satu berdasarkan TIP 2011 maka peranan MAPO perlu dipertingkatkan termasuk kerjasama dengan lima agensi penguat kuasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: