Tuesday, January 25, 2011

Dari dalam Rumah Perlindungan...

Penghuni rumah perlindungan mangsa lelaki, berehat di ruang menonton.

DI satu lokasi terpencil di Tanjong Kling, Melaka, terdapat satu kawasan dipagari setinggi lebih tujuh meter dengan permukaan atasnya dipenuhi dawai berduri.

Keadaan pintu masuk utama dan pagar yang mengelilingi kawasan seluas 570 meter persegi itu cukup memberi gambaran bahawa ia adalah kawasan larangan.

Terdapat 12 unit rumah secara keseluruhan yang mengelilingi satu kawasan luas bagi menempatkan padang bola sepak dan gelanggang badminton.

Dua unit rumah dijadikan sebagai pejabat pentadbiran dan pejabat operasi bagi anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Begitu ramai anggota Rela dan pegawai Jabatan Penjara bertugas secara bergilir-gilir selama 24 jam pada setiap hari.

Operasi tersebut turut mendapat kerjasama pegawai khidmat sokongan Kementerian Dalam Negeri yang menggunakan pendekatan mesra penghuni.

Sementara itu, kira-kira 150 kilometer dari situ di Kuala Lumpur, dua unit rumah banglo dua tingkat di Bukit Ledang dibiarkan kedudukannya terasing dari kesibukan kota.

Di segenap sudut sama ada di pagar sekeliling atau rumah banglo itu dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang mengawasi pergerakan penghuni setiap masa.

Penghuni rumah perlindungan mangsa lelaki melakukan senaman pada waktu pagi.

Secara jujur, kedua-duanya bukanlah banglo mewah milik orang kenamaan.

Bukan tahanan

Masing-masing mempunyai sejarah ‘hitam’ berbeza dan mungkin sukar untuk melupakannya sehingga ke akhir hayat dan hanya mampu berharap ada sinar di sini.

Sepanjang tempoh menghuni di sini, mereka mendapat perlindungan sewajarnya sementara menunggu waktu pembelaan sebelum membuka diari hidup baru.

Apa yang pasti, mereka bukan tahanan tetapi mangsa maka persekitarannya jauh berbeza jika dibandingkan dengan depot tahanan atau penjara.

Ini selaras dengan amalan antarabangsa iaitu mangsa-mangsa pemerdagangan seharusnya diberikan layanan berbeza dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Rumah perlindungan bagi mangsa lelaki dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri menerusi Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO).

Bagi rumah perlindungan bagi mangsa wanita dan kanak-kanak diuruskan pula oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Lelaki

Kediaman mangsa lelaki terdiri daripada beberapa bahagian iaitu ruang hadapan, dapur kering, tempat solat, bilik air, tandas dan tiga bilik tidur.

Mereka diberikan keperluan asas seperti ubat gigi, berus gigi, sabun mandi dan sabun cuci serta pakaian asas.

Setiap bilik dilengkapi beberapa katil dua tingkat serta bantal dan cadar sebagai kemudahan untuk mangsa tidur dengan selesa.

Percaya atau tidak, pakaian asas untuk bersukan turut disediakan bagi memudahkan mereka beriadah pada waktu pagi dan petang.

Pun begitu, pergerakan mereka di luar rumah diawasi oleh anggota Rela bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak dingini daripada berlaku.

Timbalan Penguasa (Keselamatan) Rumah Perlindungan Lelaki Tanjong Kling, Melaka, Che Aziz Che Ismail berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan.

Kanak-Kanak

Rumah Perlindungan Kanak-Kanak juga tidak terkecuali mempunyai jadual harian yang padat dengan pelbagai aktiviti.

Antaranya seperti senaman, aktiviti kebersihan, program pembelajaran dan pembacaan, sesi menonton televisyen serta aktiviti dalaman dan luaran.

Timbalan Penguasa Rumah Perlindungan Kanak-kanak, Che Mah Mat Junoh menjelaskan bahawa kanak-kanak yang baru dihantar lebih banyak mendiamkan diri.

Menurut beliau, kanak-kanak ini mungkin berasa takut kerana berada dalam persekitaran yang begitu asing dengan mereka.

“Dengan pelbagai aktiviti yang disediakan dapat memberikan keseronokan dan keceriaan mangsa sekali gus membuatkan mereka selamat di sini,” kata Che Mah.

Wanita

Beralih pula ke Rumah Perlindungan Wanita yang terletak betul-betul berhadapan dengan Rumah Perlindungan Kanak-kanak.

Bilangan penghuni di sini agak ramai menyebabkan segelintirnya perlu menjadikan ruang tamu sebagai tempat tidur.

Kebanyakan mangsa gemar menghabiskan masa dengan menonton televisyen kerana pada petang itu drama bersiri Indonesia ditayangkan.

Penguasa Rumah Perlindungan Wanita, Rashnizahwati Abdul Rashad menyifatkan bahawa persekitaran seperti kediaman mewujudkan keselesaan kepada penghuni.

“Mangsa tidak merasakan diri mereka sebagai mangsa apabila berada di sini. Ini yang kita cuba tonjolkan bahawa layanan yang diberikan tidak seperti penjara,” katanya.

Mereka yang lain ada yang membaca novel, bermain congkak, menulis, membasuh baju, menjemur pakaian dan mengait benang untuk dibuat baju.

Ketiga-tiga rumah perlindungan ini memberi gambaran bahawa mereka berhak dilayan dengan baik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: