Tuesday, January 25, 2011

Farid Ali perkenal gambus ke serata dunia

Muzik adalah jiwanya.

WALAUPUN jarang menonjolkan diri dalam arena industri muzik utama tetapi pemain gambus profesional, Farid Ali bukan calang-calang di kalangan penggemar muzik jazz tempatan.

Kebolehannya mengadunkan bunyi unik gambus dalam muzik jazz telah memberikan kelainan kepada genre itu dan berjaya membuktikan bahawa alatan muzik tradisional seperti gambus boleh diadunkan dalam muzik barat.

Ternyata formula itu berjaya apabila ia mula mendapat tempat di kalangan generasi muda yang mungkin tidak mengenali apa itu gambus dan keunikan alat itu sebelum ini.

Buktinya, Farid telah menghasilkan tiga buah album – No Strings Attached, Back to Basics dan Turning Point: Gambus Goes Jazz. Terdedah dengan alatan muzik seperti gitar dan gambus sejak kanak-kanak, lelaki berusia 47 tahun itu berkata, beliau gemar mendengar irama tradisional seperti zapin dan ghazal yang menggunakan gambus.

“Arwah ayah saya berasal dari Muar, Johor walaupun saya membesar di Singapura, jadi pengaruh terhadap muzik tradisional seperti zapin dan ghazal amat kuat,” katanya kepada Mingguan mStar di sini baru-baru ini.

Pernah mengadakan persembahan di pelbagai festival jazz dan konsert, Farid juga banyak memenangi pelbagai anugerah antarabangsa termasuk Anugerah Susunan Terbaik 1988 di Festival Lagu Antarabangsa Curacao dan Anugerah Keamanan Dunia 1993 yang telah disampaikan oleh Presiden Pertubuhan Keamanan Dunia Jepun, Toshio Hayama.

Sinonim dengan gabus, Farid telah menghasilkan tiga buah album untuk peminatnya.

Begitu hebatnya nama Farid Ali yang berasal daripada Singapura ini. Beliau telah membuktikan bahawa alatan seperti gambus boleh memperkenalkan nama Malaysia ke serata dunia.

Memulakan karier di luar negara

Farid berkata, pada awalnya ibu bapanya mahu beliau mengambil jurusan undang-undang namun atas dasar minat yang mendalam dalam bidang muzik, beliau mengikut kata hatinya untuk meneruskan pengajian dalam bidang itu.

“Pada awalnya ibu bapa menentang namun apabila tahu saya belajar muzik mengikut landasan yang betul mereka akhirnya merestui kehendak saya,” katanya yang pernah melanjutkan pelajaran di Institut Gitar, California sebelum menyambung peringkat lebih tinggi di Sekolah Muzik Berklee di Boston.

Bertambah manis apabila pelbagai persembahan untuk pelbagai majlis di sekitar Eropah dan Amerika diterimanya, dan untuk tempoh sedekad lalu, Farid turut bekerjasama dengan beberapa nama besar dalam muzik jazz termasuk Ernie Watts, Eric Marienthal, Steven Thronton dan sebagainya.

Pencapaian itu bagaimanapun tidak pernah membuatkan Farid meninggi diri malah terus berusaha memperbaiki dirinya dan pada tahun 1993, atas dasar kesedaran untuk menyumbang sesuatu kepada industri muzik negara beliau kembali ke negara ini dengan impian untuk melihat generasi muda negara ini lebih celik terhadap pendidikan dalam bidang muzik.

“Saya mula menyedari kepentingan untuk memelihara muzik tradisional yang terdapat di negara ini terutamanya yang menggunakan gambus walaupun saya lebih menggemari muzik jazz, pop dan klasik,” katanya yang pernah mengalami masalah pendengaran pada tahun 2009 dan hampir memusnahkan impiannya dalam bidang muzik.

“Itu adalah tempoh sukar buat diri saya ketika itu. Kehilangan deria pendengaran boleh memusnahkan kerjaya saya dalam bidang ini.

Namun saya bersyukur kepada Allah SWT yang telah memulihkan saya daripada masalah itu melalui satu pembedahan,” katanya yang hampir berputus atas dengan kejadian itu.

Sehingga kini, Farid telah mengadakan persembahan di 40 pesta antarabangsa di seluruh dunia termasuk di The Boston Globe, Festival Jazz Montreal, Festival Jazz Pori, Festival Seni Los Angeles dan sebagainya.

Bercakap mengenai industri muzik di negara ini, Farid berpendapat pendidikan khusus dalam bidang muzik amat penting kerana bakat tidak boleh dijadikan ukuran untuk kekal berjaya dalam industri.

“Masih belum terlambat untuk generasi muda mempelajari muzik secara formal dan menyedari bahawa pendidikan itu amat penting walaupun ia berkaitan dengan bidang muzik.

“Saya juga percaya bahawa jika ahli muzik dilatih secara formal industri muzik di negara ini akan lebih berkembang maju dan meningkatkan persaingan yang akan membawa kepada perubahan dalam persembahan muzik,” katanya.

Program Gitar Jazz berdasarkan pengalaman

Sempat bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Farid berkata beliau ketika ini sedang sibuk mengendalikan kelas gitar berasaskan muzik jazz.

Menariknya mengenai program yang dijalankan, pelajar yang diambil adalah terhad dan sesi pengajaran dilakukan secara individu bagi memudahkan pemahaman dan pengajaran.

Mendapat sambutan hangat daripada orang ramai, Farid berkata, beliau mula menghebahkan mengenai kelas itu sejak enam bulan lalu ketika berada di Singapura dan gembira dengan sambutan yang diterima.

“Ramai yang ingin menyertai kelas tersebut, tetapi kerana ingin menjaga kualiti dan memberi perhatian kepada setiap pelajar saya terpaksa menghadkan pengambilan,” katanya yang mula terpanggil untuk mengadakan kelas itu selepas kejadian kehilangan deria pendengaran yang dialaminya.

Program yang dibahagikan kepada tiga peringkat itu termasuk 27 minggu program asas, 32 minggu program pertengahan gitar Jazz dan 48 minggu program lanjutan gitar Jazz.

Farid juga sedang membuka kepada orang ramai yang ingin menyertai kelasnya itu untuk pengambilan Januari 2011.

Ditanya sebab beliau ingin mengadakan kelas itu, Farid berkata, beliau ingin melihat generasi muda di negara ini menjadi pemain gitar bertaraf antarabangsa. Untuk keterangan lanjut boleh melayari Facebook Farid Jazz Guitar Program.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: