Friday, January 28, 2011

Pemenang Cabaran Sains ke Majlis Nobel


Dr. Mohindar Singh (dua dari kanan) mengucapkan tahniah kepada pemenang Cabaran Sains Nasional 2010.


TIGA pemenang Cabaran Sains Nasional 2010 telah berlepas ke Stokholm, Sweden sebagai hadiah kemenangan mereka.

Di ibu negara Sweden itu, mereka akan menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Nobel. Itu merupakan tajaan untuk pemenang Cabaran Sains Nasional sejak 1999.

Malaysia pula merupakan satu-satunya negara yang menghantar pelajar bagi meraikan majlis berkenaan.

Tiga pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Perempuan Kebangsaan China, Pulau Pinang iaitu Amanda Ng Yann, Michelle Foo Xiao-Lin dan Sim Jia Ying bersama-sama guru pengiring Chin Mai Ying berangkat ke Stokholm 3 Disember lalu.

Mereka diiringi delegasi Akademi Sains Malaysia (ASM) Profesor Dr. Mohd Sahar Yahya dan Noor Asmaliza Romlee.

Pengerusi Jawatankuasa Organisasi Cabaran Sains Nasional 2010, Datuk Dr. Mohindar Singh S Sucha berharap mereka akan menjadi contoh dan idola kepada rakan-rakan lain.

"Saya berharap mereka akan memilih karier sebagai saintis pada masa depan," katanya semasa majlis Pelepasan Pemenang Cabaran Sains 2010 ke Stockholm, Sweden yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Perjalanan mereka baru bermula bagi masa depan dan karier yang lebih cemerlang dalam bidang sains," katanya.

Pemergian mereka pada 3 hingga 12 Disember meliputi lawatan ke Muzium Nobel, Muzium Vasa, Muzium Sejarah Alam Semulajadi Sweden, syarahan pemenang Hadiah Nobel serta Majlis Penyampaian Hadiah Nobel yang berprestij.

Selain itu pelajar-pelajar berkenaan juga berpeluang melontarkan pertanyaan kepada pemenang Hadiah Nobel semasa syarahan perdana masing-masing.

Rata-rata pemenang Cabaran Sains 2010 yang diterbangkan ke Stockholm, Sweden melahirkan rasa teruja untuk menemui pemenang hadiah Nobel.

Amanda, 16, menyifatkan lawatan pertama ke luar negara merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Sementara itu Michelle, 16, akan membantu pelajar-pelajar lain terutama yang lebih muda agar meminati bidang sains.

"Saya bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang biologi selepas ini," katanya.

Jia Ying, 16, yang bercita-cita menjadi seorang pakar perubatan melahirkan rasa teruja dan gembira untuk bertemu dengan pemenang Hadiah Nobel.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: