Friday, January 28, 2011

SMS kawal lampu isyarat




Lampu isyarat bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat di negara ini. Malah, sejak teknologi tersebut diperkenalkan puluhan tahun dahulu ia banyak membantu dalam meleraikan kekusutan trafik di negara ini.

Lampu isyarat mempunyai sejarah yang lama di negara ini dan sehingga kini ia banyak membantu pemandu di atas jalan raya.

Namun, setiap kali teknologi tersebut gagal berfungsi, pasti keadaan jalan raya akan menjadi kucar kacir.

Lebih memburukkan keadaan, berlakunya kemalangan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa serta insan tersayang hanya disebabkan kerosakan lampu isyarat yang lambat diperbaiki.

Menyedari bertapa pentingnya teknologi lampu isyarat di negara ini perlu dipertingkatkan, Siva Kumar Subramaniam bersama beberapa rakannya mencipta sebuah sistem khas untuk memudahkan pihak berwajib mengesan kerosakan setiap lampu isyarat.

Dinamakan sebagai Wi-Traffic Light, ia merupakan satu sistem yang boleh dipasang kepada sistem lampu isyarat yang sedia ada.

"Ia boleh dipasang sebanyak mana pun, malah jika hendak dipasang pada setiap tiang lampu isyarat pun boleh.

"Memandangkan kosnya yang agak rendah serta amat berkesan dalam mengenal pasti masalah pada setiap lampu isyarat tersebut," katanya.

Jelas Siva Kumar, ia juga boleh dipasang tanpa mengira jumlah persimpangan bagi sesuatu tempat dan juga pusat pengawasan (control unit).

Tambah beliau, sistem tersebut juga amat sesuai digunakan pada jalan yang sibuk seperti di kawasan bandar dan juga di kawasan yang memerlukan pengawasan lampu isyarat.

Selain itu, sistem tersebut juga berupaya mengesan gangguan elektrik, gangguan pada petunjuk serta gangguan mekanikal.

Setiap gangguan tersebut akan dikenal pasti oleh sistem, kemudian isyarat gangguan tersebut akan dihantar kepada kontraktor serta pihak yang terlibat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Ia sekali gus mempercepatkan proses pembaikan terhadap gangguan tersebut berbanding sebelum ini pihak yang bertanggungjawab hanya bergantung kepada aduan orang ramai serta kekerapan pemeriksaan kontraktor yang dilantik.

Kejayaan Siva Kumar tersebut turut melayakkan beliau menerima trofi serta wang tunai sebanyak RM3,000 apabila dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Inovasi, sempena Karnival Malaysia Inovatif (MI) 2010 Zon Tengah yang berlangsung di Melaka pada tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: