Friday, January 28, 2011

Inovasi tab mandi bayi mudah alih


KELEBIHAN tab mandi ini ialah ia mudah digerakkan dari satu lokasi ke lokasi lain untuk tujuan membersihkan bayi yang dikuarantin kerana menghidap penyakit.


SELAIN warga emas dan orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak juga merupakan sebahagian daripada kumpulan sasar bagi perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM).

Bagi membantu golongan itu, JKM telah menjalankan pelbagai inisiatif pembangunan termasuk menguruskan sembilan buah rumah penjagaan kanak-kanak di seluruh negara.

Rumah-rumah berkenaan secara asasnya berperanan sebagai pusat penjagaan gantian yang lengkap dengan segala keperluan asas, pendidikan serta persekitaran yang selamat.

Selain itu, ia turut mempunyai objektif memberi peluang kepada para penghuninya mendapat perlindungan terbaik daripada segi fizikal, mental dan juga emosi.

Justeru, bagi meningkatkan kelancaran operasi di institusi berkenaan, JKM melalui salah sebuah rumah penjagaan kanak-kanaknya telah mencipta produk inovasi tab mandi bayi mudah alih.

Dibangunkan oleh kakitangan Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah (RKKTB), Kuala Lumpur, penggunaannya disasarkan untuk bayi berumur antara satu hari hingga enam bulan.

Bercerita mengenai idea penciptaan tab mandi itu, Pengetua RKKTB, Zubaidah Muhamad berkata, segala-galanya bermula pada tahun 2007 apabila rumah kanak-kanak tersebut berhadapan dengan masalah penyakit berjangkit.

"Ketika itu, kanak-kanak di sini terdedah dengan wabak berisiko tinggi seperti demam campak, sakit mata, kudis, beguk, Measel dan Influenza A (H1N1).

"Walaupun pihak institusi telah mengambil langkah drastik seperti meningkatkan penjagaan kesihatan dan mengasingkan kanak-kanak terlibat di bilik pengasingan, namun masalah itu masih berterusan.

"Akhirnya, hasil pemantauan dan perbincangan mendapati penularan penyakit-penyakit tersebut berpunca daripada kelemahan kaedah memandikan bayi.

"Walaupun bayi-bayi yang berpenyakit dikuarantin, tetapi mereka masih perlu di bawa ke kawasan tempat mandi kekal untuk pembersihan. Jadi, wabak masih akan tersebar ,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Cheras, Kuala Lumpur.

Rentetan masalah itu, kakitangan RKKTB telah menghasilkan tab mandi mudah alih tersebut bagi mengurangkan risiko penyebaran penyakit berjangkit.

Menerusinya juga, kerja-kerja pengurusan bayi menjadi lebih tersusun selain meningkatkan produktiviti dan menjimatkan masa.

Sementara itu, Timbalan Pengetua RKKTB yang juga ketua kumpulan bagi produk inovasi berkenaan, Salwah Suleiman memberitahu, kos pembangunan tab mandi itu cukup rendah.

"Ia hanya menelan belanja sekitar RM270 berbanding RM4,000 untuk tab mandi kekal yang menggunakan material seramik,'' jelasnya.

Tab mandi tersebut sebenarnya adalah besen yang ubah suai menerusi penambahan beberapa komponen.

Kerangka utama pada bahagian badannya pula disokong oleh papan lapis tebal dan paip PVC yang dicantum menggunakan gam plastik.

Inovasi yang siap untuk peringkat pertama itu kemudiannya telah digunakan sepenuhnya di RKKTB bermula September 2009.

Namun, menjelang Mac 2010, produk tersebut telah mengalami penambahbaikan di beberapa bahagian tertentu untuk tujuan memperluaskan fungsinya.

Antara yang diubahsuai adalah seperti lubang pengaliran air, bakul simpanan barang, tiang sokongan dan roda penggerak.

"Kita berharap supaya tab mandi ini akan dapat digunakan di rumah-rumah kanak-kanak lain bagi membantu mereka memudahkan operasi,'' katanya yang menguruskan lebih 200 kanak-kanak di RKKTB dengan sokongan 53 orang kakitangan.

Pada masa hadapan, RKKTB sedang dalam perancangan untuk menghasilkan inovasi meja permainan kanak-kanak pelbagai guna.

Dengan hanya melibatkan kos yang minimum dan penyelenggaraan sifar, meja permainan kalis air itu bakal menyediakan pelbagai jenis permainan untuk kanak-kanak berumur antara tujuh hingga lapan tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: