
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, setakat ini sudah banyak terdapat syarikat tempatan yang berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi negara melalui pelaburan domestik.
Menurutnya, sudah sampai masa negara menukar strategi itu selepas lebih 14 syarikat besar tempatan berkeupayaan beroperasi sehingga ke luar negara.
“Jika kita tukar pelaburan asing kepada pelaburan dalam negara, saya percaya kita pasti mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi supaya pada 2020, kita akan dapat pendapatan per kapita kira-kira 16,000 dolar Amerika bagi setiap seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Ceramah Malaysia 2020, di sini, semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob bersama isteri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Justeru Dr Mahathir berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan perlu memberi insentif seperti pengecualian atau pengurangan cukai sebagai dorongan syarikat tempatan lebih berjaya.
“Matlamat mencapai wawasan 2020 pasti akan tercapai sekiranya pelaksanaan berkenaan dilakukan.
“Rakyat perlu membantu kerajaan merealisasikan hasrat ini melalui persiapan diri dengan ilmu pengetahuan dan menjadi pekerja mahir berpendapatan tinggi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: