Friday, January 28, 2011

Misi kemanusiaan UMK di Padang


Dr. Zainai Mohamed bersama sukarelawan Misi Kemanusiaan Padang 2010 mengadakan aktiviti pembelajaran bahasa Inggeris kepada kanak-kanak di Kabupaten Agam, Padang, Indonesia baru-baru ini.


WALAUPUN sudah hampir dua tahun berlalu namun sebahagian penduduk di Kampung Pariaman, Daerah Malalak, Padang, Indonesia, masih tidak mungkin dapat melupakan bencana gempa bumi yang berukuran 7.9 pada skala Richter yang berlaku pada petang penghujung September 2009.

Trauma ekoran kejadian yang mengorbankan beratus nyawa itu juga tidak mudah luput pada ingatan mereka yang terlibat kerana dalam sekelip mata ia meranapkan perkampungan dan kediaman mereka.

Dalam usaha menginsafi dan berkongsi musibah itu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sekali lagi telah menyertai Misi Kemanusiaan Padang 2010 buat kali kedua dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Politeknik Negeri Padang Indonesia, pada 30 Disember 2010 hingga 4 Januari 2011.

Misi kedua yang dikendalikan oleh Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PPBPI) itu membabitkan dua lokasi yang berbeza iaitu di Kabupaten Padang Pariaman dan Kabupaten Agam.

Program kali ini melibatkan 91 sukarelawan terdiri daripada 11 kakitangan dan 40 mahasiswa UMK, 30 wakil dari UTHM dan 10 sukarelawan perubatan.

Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr. Zainai Mohamed berkata, misi berkenaan bagi menghulurkan bantuan material dan sokongan moral kepada masyarakat di Kabupaten Pariaman dan Kabupaten Agam, Padang, Sumatera Barat, Indonesia.

''Ini adalah program kali kedua yang dilaksanakan oleh UMK selepas misi kemanusiaan kali pertama UMK di Kampung Pariaman pada November 2010.

"Misi kali ini melibatkan penyertaan kakitangan universiti, mahasiswa, sukarelawan perubatan dan wakil media," katanya.

Dr. Zainai yang juga Penaung Misi Kemanusiaan ke Padang 2010 berkata, antara aktiviti utama yang dilaksanakan adalah menyalurkan bantuan kewangan kepada anak-anak yatim, keluarga miskin dan gotong-royong membina rumah serta membaik pulih sekolah.

"Sukarelawan juga mengadakan kelas English for fun kepada pelajar-pelajar sekolah tadika dan sekolah dasar (sekolah rendah).

"Mereka mengajar murid-murid bertutur dalam bahasa Inggeris menggunakan perkataan-perkataan asas melalui beberapa kaedah seperti menyanyi beramai-ramai, permainan, teka teki dan melukis," katanya.

Beliau menambah, pihaknya turut menyalurkan bantuan pakaian yang didermakan melalui UTHM dan UMK selain mengadakan program kesihatan melibatkan aktiviti berkhatan beramai-ramai, pemeriksaan kesihatan secara percuma dan rawatan pesakit luar yang mendapat sambutan luar jangkaan.

"Seramai 50 kanak-kanak dikhatankan dan 100 pesakit luar mendapat rawatan dalam program kesihatan yang diketuai oleh Pegawai Perubatan UMK, Dr. Aswan Ismail.

"Para sukarelawan ditugaskan sebagai pembantu di Pusat Kesihatan Masyarakat manakala pelajar Politeknik Negeri Padang membantu dari segi mengurangkan masalah komunikasi dengan masyarakat tempatan," jelasnya.

Beliau menambah, setiap sukarelawan yang terlibat dalam Misi Kemanusiaan Padang 2010 dikehendaki membuat penyelidikan mengenai sosial ekonomi masyarakat tempatan berkaitan taraf hidup, pekerjaan, aktiviti seharian masyarakat.

"Aktiviti ini melatih sukarelawan mencari idea dan memikirkan alternatif bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan.

"Kebanyakan penduduk di sana berkemahiran dalam bidang kerja tangan seperti jahitan dan sulaman namun menerima upah yang rendah iaitu hanya 200,000Rp (RM68) sebulan," ujar beliau.

Dr. Zainai berkata, Misi Kemanusiaan Padang 2010 diharap dapat memberi latihan kesukarelawan dalam kalangan pelajar UMK agar mereka bersedia dan berupaya bertindak mengikut situasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: