Friday, January 28, 2011

Eksplorasi saintifik INOS


Alat pencekau sedimen yang digunakan untuk mengambil sampel dasar laut.


Sebagai sebuah negara kelautan, adalah penting bagi negara ini memberi tumpuan kepada penjagaan dan penyelidikan sumber marinnya yang merupakan khazanah yang tidak ternilai.

Mengapa demikian? Bayangkan negara yang dikelilingi laut ini atau dikenali sebagai negara maritim mempunyai begitu banyak aset yang berharga di sepanjang pantainya dan wilayah lautnya.

Sehubungan itu, adalah penting untuk menjadikan kelautan atau oseanografi sebagai bidang sains yang perlu dikembangkan di negara ini.

Untuk tujuan itu, Malaysia telah mempunyai Direktorat Oseanografi Kebangsaan atau NOD yang terletak di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Namun demikian, sokongan pihak lain perlu untuk menjadikan bidang oseanografi atau sains marin ini terus berkembang supaya masyarakat menyedari betapa pentingnya menghargai laut sebagai satu khazanah yang perlu diterokai.

Sebab itu antara pihak yang menyedari sejak awal pagi akan kepentingan bidang tersebut ialah Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

UMT telah menubuhkan Institut Oseanografi atau INOS yang merupakan sebuah institut yang berfungsi secara rasmi pada tahun 2001.

INOS berfungsi menjalankan penyelidikan berkaitan marin dan laut lepas bermula sejak tahun 70-an lagi di bawah naungan UPM (Universiti Pertanian Malaysia ketika itu), iaitu sebelum UMT ditubuhkan.

UMT asalnya merupakan sebahagian daripada UPM sebelum ditukar nama kepada Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM).

Pertukaran nama yang sejajar dengan kenaikan taraf institusi terbabit, bukan sahaja itu tidak menjejaskan kewujudan INOS sehingga sekarang, malah skop penyelidikannya berkembang sehingga ke laut lepas.

Pengarah INOS, Prof. Dr Lokman Husain berkata, INOS merupakan antara pelopor dalam bidang penyelidikan laut lepas di negara ini.

Ketika manusia semakin mengejar pembangunan, INOS dan institut-institut lain yang seangkatan dengannya berfungsi sebagai pemangkin kepada masalah-masalah alam sekitar terutamanya berkaitan marin, yang pasti timbul akibat daripada proses pembangunan.

Kepakaran penyelidik INOS yang disokong oleh kemudahan peralatan saintifik yang tersedia menjadikan INOS sebagai sebuah pusat rujukan berkaitan oseanografi dan marin yang penting kepada agensi-agensi lain sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Hasil-hasil penyelidikan kebanyakannya diterjemahkan ke dalam bentuk data-data yang menjadi rujukan kepada pelbagai pihak.

Pada masa sama khidmat nasihat dan perundingan juga disediakan oleh INOS kepada agensi-agensi yang berminat untuk menjalankan projek-projek berkaitan marin.

Kepakaran IOS juga dimanfaatkan apabila seorang saintis daripada institut tersebut Prof,. Dr. Noor Azhar Mohamed Sazili menyertai Ekspedisi Pelayaran Saintifik Perdana (EPSP '09) di Laut Sulu dan Laut Sulawesi pada 15 Julai 2009 sehingga 1 Ogos 2009.

Ekspedisi tersebut mencatat sejarah apabila 54 saintis daripada universiti dan institusi penyelidikan tempatan belayar dengan kapal hidrografi TLDM KD Perantau telah menjalankan

Ini adalah julung kali lautan sebelah timur Sabah dikaji secara saintifik.

Wilayah Malaysia di lautan ini tidaklah begitu luas kerana bersempadanan dengan wilayah Filipina di sebelah timur Sabah di Laut Sulu manakala di bahagian selatan pula bersempadan dengan Indonesia.

Di Lautan Sulu terdapat sangat banyak pulau dan terumbu dan agak banyak kawasan batuan yang belum dicartakan sepenuhnya oleh Pusat Hidrografi Nasional.

Bagi saintis-saintis oseanografi, kawasan berkenaan penting kerana berada di dalam kawasan tiga segi Coral Triangle Initiative, iaitu zon yang kaya dengan sumber terumbu karang dan biodiversiti marin lain.

Selain itu, lautan Sulu-Sulawesi ini umumnya antara kawasan perairan Malaysia yang dalam, yang mana kedalaman mencecah sehingga 3, 000 meter (m) atau lebih daripada itu.

Laut Sulawesi dalam wilayah Sulawesi mencecah kedalaman sehingga lebih 6,000m, manakala Laut Sulu wilayah Filipina mencecah lebih 4,600m kedalaman.

Setakat ini belum ada penerbitan-penerbitan data saintifik bagi kawasan perairan Malaysia sebelah timur Sabah ini.

Kajian yang dijalankan oleh saintis ekspedisi EPSP'09 meliputi kajian oseanografi fizikal, kimia, biologi dan geologi yang mana dibiayai oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Kumpulan ekspedisi terdiri daripada saintis terdiri dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) , Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) , Universiti Sains Malaysia (USM) , Universiti Malaysia Sarawak Unimas), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) , Jabatan Mineral dan Geosains.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: