![]() |
| MOHD. Noh Dalimin (kanan) bersama wakil-wakil dari univerisiti-universiti di Riau, Indonesia, baru-baru ini. |
BATU PAHAT 25 Jan. - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan lima universiti di Indonesia dan Lembaga Adat Melayu (LAM), baru-baru ini.
Memorandum itu ditandatangani di LAM di Pekanbaru, Riau melibatkan Universitas Riau (UNRI), Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim (UIN SUSKA), Universitas Islam Riau (UIR), Universitas Lancang Kuning (UNILAK) dan Universitas Islam Indragiri (UNISI)
Objektif memorandum adalah untuk berkongsi kepakaran dengan institusi pengajian tinggi Indonesia dalam aspek perkembangan ilmu, pengajaran, penyelidikan dan membina jaringan dalam bidang-bidang berkaitan sains, sastera, pengajian Islam dan sains sosial.
Pegawai Perhubungan Awam UTHM, Shafry Salim menyatakan MoU tersebut juga bertujuan mempromosi program-program yang ditawarkan oleh UTHM bagi menarik minat calon-calon pelajar pasca ijazah daripada Indonesia untuk melanjutkan pengajian di universiti itu.
"Memorandum ini ditandatangani oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin dalam lawatan rasmi ke Riau yang juga merupakan sebahagian daripada program Mobiliti Pelajar UTHM,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, delegasi lawatan itu turut disertai Pendaftar, Sulam Hamid; Dekan Fakulti Sains, Sastera dan Warisan, Prof. Dr. Hashim Saim dan 29 orang mahasiswa bersama empat pensyarah pengiring.
Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani memorandum itu ialah Gabenor Riau, Dr. Rusli Zainal.
Shafry berkata, delegasi UTHM juga berpeluang menghadiri Seminar Internasional Budaya dan Teknologi Dalam Masyarakat Melayu yang telah diadakan di UNILAK.
Terdahulu, katanya, delegasi telah menemui wakil konsulat Malaysia di Pekanbaru, Zamani Ismail bagi memaklumkan mengenai aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang berada di Pekan Baru serta hasrat mengadakan kerjasama dengan universiti-universiti di Indonesia.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: