Monday, January 17, 2011

Krisis bawang goncang politik


ORANG ramai terutama suri rumah berebut untuk mendapatkan bawang di pasaran biarpun harganya melonjak sehingga tiga kali ganda.


DI negara-negara membangun seperti di Asia Selatan, makanan dan politik adalah dua perkara yang sangat berkait rapat. Ini kerana apabila kelazatan makanan kebangsaan mula diganggu, ia mungkin menaikkan kemarahan rakyat sehinggakan ia begitu mudah meruap dan menggoncang kestabilan politik.

Kekurangan bekalan bawang di India, kehabisan stok kelapa di Sri Lanka dan peningkatan harga minyak masak di Bangladesh kini menjadi satu ancaman serius kepada kerajaan di ketiga-tiga negara itu.

Situasi genting itu menjadi lebih daripada satu isu budaya dan negara berbanding kekurangan nutrisi.

Memang benar, tiada siapa yang akan mati kebuluran hanya kerana India keputusan bekalan bawang. Tetapi krisis itu akan menyebabkan rasa makanan mereka terutama kari tidak lagi sama bahkan tidak enak seperti selalu.

Malah, jika mereka mahu mengekalkan rasa kari dan masakan lain, mereka perlu membayar lebih mahal untuk mendapatkan bawang. Yang pasti, situasi itu akan menyebabkan ramai yang tidak gembira.

Bahan asas


PEMIMPIN parti pembangkang di India bijak mengeksploitasi keruncingan masalah bawang sebagai modal politik.


Bawang dianggap sebagai bahan yang wajib ada dalam kebanyakan sajian makanan tradisi masyarakat India bersama-sama dengan bawang putih dan halia. Ia adalah bahan asas kepada puluhan jenis kari dan sajian lain.

Krisis bawang di India menyaksikan harganya melonjak tiga kali ganda sehingga baru-baru ini mencetuskan tunjuk perasaan. Setiap pihak menyalahkan pihak yang lain dengan tuduhan menyorokkan bawang.

Begitu besarnya pengaruh bawang bagi masyarakat di sana sehingga ia boleh memberi tempias panas terhadap politiknya.

Hakikatnya sejarah telah membuktikan hal itu sebagai contoh pada Januari 1980, Indira Gandhi mengeksploitasi kenaikan harga bawang merah untuk membolehkannya kembali berkuasa.

Beliau turut serta dalam tunjuk perasaan sambil melambai-lambai kain rentang kempen yang besar dengan mesej bahawa kerajaan yang ada tidak dapat mengendalikan bekalan bawang sekali gus tidak mempunyai hak untuk memerintah India.

Begitu juga pada tahun 1998, lonjakan enam kali ganda harga bawang dikatakan antara penyebab kerajaan memerintah hilang kuasa di Delhi apabila tewas dalam pilihan raya.

Kerana itu juga Perdana Menteri India, Manmohan Singh melarang sebarang eksport bawang selain cukai import dikurangkan untuk memastikan bekalan bahan itu tidak susut di India yang mempunyai populasi lebih satu bilion penduduk.

Sama seperti bawang, kelapa juga sangat penting untuk mendapatkan santannya. Kuisin masyarakat Sri Lanka dan India akan hilang rasa tanpa kedua-duanya.

Di Sri Lanka, pemerintahnya juga telah dipaksa untuk mencari penyelesaian terhadap kekurangan kelapa yang semakin parah. Akhirnya kerajaan menguatkuasakan undang-undang bahawa aktiviti penebangan pokok kelapa adalah haram.


SELAIN India, politik di Sri Lanka turut berdepan dengan situasi genting apabila ketiadaan bekalan kelapa menaikkan kemarahan rakyatnya.


Bahkan, untuk pertama kalinya juga kerajaan negara itu telah menetapkan untuk mengimport kacang dari India dan Malaysia.

Lonjakan harga makanan

Pada tahun 1977, kerajaan Sri Lanka pernah tumbang dalam pilihan raya apabila rakyat tidak dapat menahan kemarahan akibat lonjakan harga makanan selepas bekalan kelapa menyusut teruk.

Harga kelapa ketika itu melonjak tinggi sehingga ada peniaga yang boleh menjual buah kelapa yang telah dipecahkan kepada dua untuk mendapat untung berlipat kali ganda.

Minggu lalu, harga siling kelapa di Sri Lanka ialah sekitar 30 rupees (RM2) untuk sebiji kelapa. Bagaimanapun, dengan bekalan di stor kerajaan sudah kehabisan, harga kelapa di pasaran gelap sudah melonjak sehingga RM4 sebiji.

Apabila ia sampai ke pengguna, harga yang dijual sudah tidak masuk akal dan menyebabkan ramai suri rumah yang hilang sabar.

"Ini bukan negara anarkis, anda tidak boleh hanya menetapkan harga yang anda inginkan," kata Menteri Perdagangan India, Faruk Khan kepada peniaga merujuk kepada kekurangan bekalan bawang dan kelapa bulan lepas.

Dengan harga minyak mentah yang turut menghantui Bangladesh, ramai yang tidak menolak satu lagi kejadian rusuhan secara besar-besaran seperti mana yang pernah berlaku pada tahun 2008 akan berulang di Dhaka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: