Friday, January 28, 2011

Makmal teknologi tinggi UTeM

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang merupakan universiti teknikal pertama di negara ini diakui mempunyai kemudahan makmal berteknologi tinggi setaraf dengan kegunaan industri.

Makmal yang selesa dilengkapi peralatan moden membolehkan suasana pembelajaran teknikal dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pensyarah dan pelajar.

Bertepatan dengan konsep pembelajaran menggunakan kaedah amalan dan aplikasi, makmal berteknologi tinggi UTeM telah memberikan pendedahan dan pengalaman yang berbeza kepada lebih 7,000 pelajarnya pada masa ini.

Setiap fakulti kejuruteraan di UTeM seperti Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), dan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) memiliki makmal yang khusus untuk bidang-bidang pengajian di fakulti berkenaan.

Malah Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) dan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (FPTT) juga tidak ketinggalan memiliki makmal yang canggih untuk para pensyarah dan pelajarnya.

Kelebihan memiliki makmal serta peralatan berteknologi tinggi ini sememangnya memberikan kelebihan kepada graduan UTeM.

Ini kerana, sepanjang tempoh pengajian di universiti ini, graduan tersebut didedahkan secara praktikal mengenai penggunaan peralatan yang canggih serta bernilai jutaan ringgit.

Tidak dinafikan graduan kejuruteraan UTeM tidak berasa janggal untuk mengendalikan mesin apabila memasuki ke alam industri kerana mereka sudah didedahkan dengan menyeluruh sejak mula menjejakkan kaki di UTeM.

Lantaran itu, graduan UTeM seringkali menjadi rebutan syarikat-syarikat GLC, mutinasional dan lain-lain syarikat industri berteknologi tinggi yang lain.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan berkata, kelengkapan makmal di UTeM adalah setanding dengan kegunaan industri malah terdapat beberapa mesin yang lebih maju daripada mereka.

"Ini bersesuaian dengan peranan universiti ini sebagai universiti berfokus yang menumpukan sepenuh perhatian untuk menghasilkan golongan profesional yang bersedia untuk memasuki pasaran industri,'' ujarnya.

Perkembangan tersebut juga dilihat sebagai salah satu usaha universiti ini untuk mencapai misi dan visi UTeM ke arah menjadi universiti teknikal terkemuka di dunia.

Katanya, lagi pendekatan pembelajaran secara hands on seperti yang diamalkan di negara-negara maju seperti Jerman merupakan keistimewaan yang sangat ketara jika dibandingkan dengan cara pembelajaran secara teori.

Peralatan yang moden tidak lengkap tanpa adanya seseorang yang mahir mengendalikannya.

Kecanggihan peralatan makmal di UTeM bukanlah sesuatu yang asing bagi ahli-ahli akademik dan pengusaha industri di negara ini.

Baru-baru ini, beberapa lawatan seperti dari PERDA Tech Kulim, Kedah, UTM Razak School of Engineering Kuala Lumpur serta Kolej Kemahiran Tinggi MARA telah berkunjung untuk melihat dengan lebih jelas kemudahan makmal di UTeM.

Selain dijadikan rujukan, makmal di UTeM turut dijadikan tempat untuk menghasilkan prototaip serta produk berkaitan kejuruteraan oleh oleh pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Antara yang mendapat perhatian serta menjadi tumpuan pengusaha IKS untuk menggunakan khidmat kepakaran UTeM ialah di Pusat Pembuatan Termaju (AMC) di bawah penyeliaan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP).

Fakulti tersebut menempatkan mesin-mesin pembuatan termaju yang sangat diperlukan oleh pengusaha industri.

Masalah yang dihadapi oleh pengusaha industri selalunya berkaitan pelaburan yang sangat tinggi untuk membeli mesin serta peralatan yang canggih.

Namun begitu, melalui hubungan universiti-industri yang akrab, pengusaha tidak perlu membelanjakan peruntukan yang tinggi kerana UTeM sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dengan pengusaha industri untuk menggunakan peralatan di sini.

Mesin CNC 5 Axis, Milling Machine, Hydraulic Press Machine dan Rapid Prototype Machine merupakan antara peralatan yang sering menerima permintaan tinggi daripada pihak industri untuk digunakan.

Pada ketika ini terdapat beberapa syarikat di sekitar negeri Melaka menggunakan khidmat UTeM untuk menghasilkan komponen-komponen industri seperti bahagian dalam kapal terbang, acuan (mold) serta kerja-kerja berkaitan seperti pengukuran dan kalibrasi peralatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: