Friday, January 28, 2011

Saintis Jepun mahu hidupkan semula mamot


Gambar diambil pada 20 Mac, 2007 di Paris merakamkan rangka seekor mamot yang akan dilelong pada 16 April ini di Christie's.


TOKYO 18 Jan. - Sekumpulan saintis Jepun akan melancarkan sebuah projek tahun ini untuk menghidupkan semula mamot atau gajah prasejarah yang telah lama pupus dengan menggunakan teknologi pengklonan dalam tempoh lima tahun ini.

Kumpulan penyelidik itu akan cuba untuk menghidupkan semula spesis itu dengan mendapatkan tisu daripada rangka mamot yang disimpan di sebuah makmal penyelidikan Rusia pada musim panas ini, lapor akbar Yomiuri Shimbun.

"Persediaan untuk merealisasikan matlamat ini telah dimulakan," kata ketua kumpulan dan profesor emiritus dari Universiti Kyoto, Akira Iritani kepada akhbar itu.

Di bawah rancangan itu, nukleas daripada sel-sel mamot akan dimasukkan ke dalam sel telur seekor gajah yang telah dikeluarkan nukleusnya untuk membentuk embrio yang mengandungi gen-gen mamot, kata laporan itu.

Embrio itu akan dimasukkan ke dalam uterus gajah dengan harapan haiwan itu akhirnya akan melahirkan anak mamot.

Gajah adalah saudara terdekat masa kini kepada mamot, seekor mamalia berbulu lebat yang dipercayai pupus pada penghujung Zaman Ais.

Sesetengah mamot masih mengekalkan sampel tisu yang berpotensi digunakan untuk pengklonan, tidak seperti dinosaur yang pupus sekitar 65 juta tahun lalu dan hanya wujud sebagai fosil.

Penyelidik berharap untuk mencapai matlamat mereka dalam tempoh lima hingga enam tahun, kata Yomiuri Shimbun.

Pasukan penyelidik itu yang menjemput seorang penyelidik Rusia dan dua orang pakar gajah untuk menyertai projek ini telah memperkenalkan satu teknik untuk mengasingkan DNA daripada sel-sel beku.

Sebelum ini, ia merupakan satu halangan untuk menjalankan teknik pengklonan kerana sering mengalami kerosakan sel dalam proses pembekuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: