LENTURAN penari wanita utama dalam pementasan Dramatari Don Quixote, Ena Hirose dari Jepun mendapat tepukan gemuruh setiap kali mencatur langkah di pentas.
Tanpa berbutir suara, gerakan yang disusun kemas sudah sedia membuktikan Ena berada di tahap profesional sebagai seorang penari balet.
Imbauan silam menjelma - sedang kanak-kanak di usia lima tahun bermain di laman rumah, Ena tega mendengar setiap lontaran suara daripada pengajar baletnya, Hisako Hukagawa yang juga merangkap nenek kandungnya.
Itulah resipi utama kejayaan Ena dalam arena persembahan pentas yang berasaskan tarian balet semata-mata.
Minat yang kian memuncak dalam seni tarian lembut balet mendorong Ena membuka studio tarinya sendiri, Ena Ballet Studio Company yang bertapak di tanah tumpah darahnya, Jepun.
Bakat yang digilap sejak kecil itu akhirnya berjaya merentas hampir seluruh dunia untuk menghiburkan jiwa-jiwa yang ingin dibuai dengan kelembutan dan keasyikan gerakan tubuh penari-penari balet.
Tiba waktunya Panggung Sari Istana Budaya menerima kehadiran persembahan Dramatari Don Quixote pada tarikh 14 dan 16 Januari lalu.
Persembahan memaparkan kehidupan seorang wanita, Kitri memburu cinta agungnya yang merupakan seorang tukang gunting rambut bernama Basilio.
Bagaimanapun, cinta mereka ditentang dan Kitri dijanjikan untuk berkahwin dengan Gamanche, seorang bangsawan.
Hasrat hati dua sejoli untuk melayar bahtera kehidupan abadi mendapat pertolongan daripada seorang ahli silap mata, Don Quixote yang akhirnya berakhir dengan sambutan kegembiraan.
Robert Curran yang memegang peranan sebagai Basilio teruja dengan sambutan yang diberikan peminat seni tari balet di Malaysia.
“Walau persembahan berlangsung selama tiga hari berturut-turut, auditorium Istana Budaya tidak pernah lengang dibanjiri penonton. Terima kasih Malaysia!” ujar penari balet dari Australia itu dalam nada teruja.
Bagi penari Colombia yang melakonkan watak protagonis Gamanche, Juan Carlos Penuela, hasratnya untuk memegang watak yang diidamkan akhirnya terlaksana.
“Saya selesa dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya dan sememangnya mahu melakon dan menarikan watak ini pada persembahan yang akan datang,” katanya yang turut terlibat dalam pementasan Gala Balet Antarabangsa pada malam 15 Januari lalu.
Gala Balet Antarabangsa yang diselangi pada hari kedua pementasan diisi dengan rangkaian enam lagi persembahan pendek yang popular seluruh dunia.
Antaranya Flames of Paris, Manon, Le Corsaire dan Swan Lake pas de deux yang merupakan repertoir balet klasik. Tidak ketinggalan tarian kontemporari Luna dan persembahan fantasi repertoir balet neo-klasik Cinderella.
Keunikan tersendiri yang ditampilkan dalam setiap rangkaian persembahan menarik minat audiens daripada semua peringkat umur.
Malah, setiap kali persembahan tamat tepukan gemuruh mengiringi lontaran bunga ke pentas utama oleh penonton yang terpesona dengan lenggokan dan ekspresi tanpa suara yang dipertontonkan oleh setiap penari.
Tarian klasik balet bertitik tolak daripada zaman Renaissance Itali pada kurun ke-15 yang kemudiannya dibangunkan di negara Eropah lain seperti Perancis, England dan Rusia.
Persembahan selama tiga hari itu dinaungi Danceworks Production dan Ena Ballet Studio Company dari Jepun.
Selain itu, kolaborasi produksi yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) turut memeriahkan persembahan Don Quixote.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: