Tuesday, January 25, 2011

Kreatif olah bahan buangan




SAMPAH bagi sesetengah individu mungkin menjadi khazanah bernilai andai dipandang dari sudut artistik. Bagi yang bijak memanipulasi bahan buangan seperti kertas dan plastik, tidak mustahil ia mampu memberikan pulangan berlipat kali ganda malah boleh dijadikan sumber pencarian utama terutama pelajar yang sentiasa berkehendakkan pelbagai hajat.

Penuntut tahun akhir jurusan Seramik di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Hanif Asri, 22, sering mendapat cetusan idea untuk menukarkan kotak-kotak minuman terbuang menjadi robot unik pelbagai bentuk dan corak.

Mula berjinak-jinak dengan dunia seni penciptaan patung kertas atau paper toys sejak mengikuti bidang diploma di universiti yang sama pada tahun 2007, kini jenama Pepatun Artwork yang dikeluarkan olehnya bersama lima orang rakan lain bertukar menjadi fenomena kegilaan remaja urban.

Tidak menduga hasil kreativiti pasukannya yang digelar Pepatun Rangers mendapat perhatian kumpulan-kumpulan muzik remaja seperti Hujan, Hanif mengakui kini permintaan yang diterima mencapai tahap di luar jangkaan.

“Kami disunting oleh kumpulan Hujan untuk berkolaborasi menghasilkan sebuah robot khas untuk album terbaru mereka, Lonely Soldier Boy,” singkapnya dalam pertemuan pertama sewaktu pameran Art Market di FSSR UiTM Shah Alam baru-baru ini.

Patung kertas berwarna merah yang direka khas berkonsepkan samurai Jepun dan bersaiz 22cm tinggi itu diberi nama Lonely Soldier Bot dan mengambil masa hampir sebulan untuk melengkapkan keseluruhan ciptaan termasuk penghasilan acuan atau template.

Robot yang dilengkapi beg galas dan kasut yang boleh ditukar-tukar itu juga dijual pada harga pasaran RM90 dan boleh ditempah melalui pesanan dalam laman web rasmi kumpulannya, www.pepatunartwork.com.

Tambah Hanif, kertas khas iaitu orbit paper digunakan untuk penghasilan rekaan terbaru berikutan sasarannya menyuntik elemen elit dan memberi keteguhan dalam struktur asasnya.


Bidang fesyen FSSR melangkah ke persada antarabangsa apabila berjaya membuat pertunjukan di London baru-baru ini.


“Mulanya kumpulan kami tiga tahun lalu dengan penghasilan patung-patung kain yang diberi nama Pepadolls. Kemudian, kami berkembang dengan berimaginasi untuk mengubah kotak minuman dan straw terbuang menjadi sesuatu yang bermanfaat dan diberikan satu kelas yang tersendiri bagi penggemarnya,” ucapnya ketika bercerita detik awal penubuhan kumpulannya bermodalkan duit sendiri.

Selain terlibat dengan lebih 30 pameran dan jualan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pepatun Artwork yang turut dianggotai Zainuri Ramlan, 22, Hafeezan Sulaiman, 22, Fazly Abu, 23, Ahmad Shafiq Aziz, 22, dan Mohammad Ridhwan Mohamad Nasir, 22, dari pelbagai fakulti itu juga berjaya melebarkan sayap ke Bumi Kenyalang dengan nama premis, Rare Boutique.

Langkah itu dipergiatkan sejak setahun lalu semata-mata untuk memenuhi permintaan pelanggan di kepulauan Borneo termasuk dari Filipina dan Kalimantan.

Tempoh operasi yang singkat bagaimanapun telah berjaya melahirkan empat generasi keluaran patung kertas berbeza iaitu Strawbot yang dijual pada harga RM15, Strawbot Anatomic (RM38), Soldier Bot (RM90) dan Soldier Bot Metaphora yang bakal menemui peminatnya dalam tempoh terdekat.

Baju T lukis tangan

Lain pula bagi mahasiswa tahun akhir bidang Seni Halus FSSR, UiTM Shah Alam, Mohd. Daniel Mohd. Idros, 25, yang bergerak solo bersama seni lukisan tangan di fabrik baju T dan bahan logam.

Baginya, seni yang bermula di studio sendiri rumahnya di Gombak sejak bulan Mei tahun 2009 kini semakin digemari. Ramai yang suka apabila lakaran imaginasi terabadi pada hak milik mereka dan kekal untuk suatu tempoh yang lama.

“Setiap pelanggan akan menerima rekaan khas yang eksklusif dan artisik berdasarkan permintaan asal sebelum lukisan dihasilkan,” ujarnya yang mengeluarkan rekaan berbeza mengikut tema setiap bulan.




Selama bertapak dalam dunia seni, sebanyak dua keluaran telah dihasilkan Daniel, antaranya Harimau Malaya dan Self Prone.

Pelanggan juga tidak perlu gusar untuk mendapatkan saiz yang diingini berikutan baju T yang disediakannya mempunyai pelbagai saiz bermula dari baby tee hinggalah saiz XXL dan harga yang ditawarkan pula sekitar RM65 hingga RM75 mengikut kepadatan lukisan.

“Lukisan yang dihasilkan pada permukaan baju tidak akan luntur dan fabrik yang saya gunakan menyerap peluh dan tidak berbau,” tambahnya.

Bagi setiap lakaran lukisan baju T itu, Daniel menggunakan pen fabricolour yang tidak menyebabkan kerengsaan pada kulit.

Paten hak milik

Tidak tertumpu pada fabrik semata-mata, kebolehannya dikembangkan untuk ‘menarikan’ pena-penanya di permukaan bahan-bahan logam seperti basikal dan motosikal.

“Saya juga pernah menerima tempahan untuk menyiapkan lukisan pada tubuh sebuah kereta namun masih belum bersedia. Lagipun, ia pasti mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan,” ulasnya diselangi ketawa.

Art Market yang julung-julung kali diadakan semula di UiTM Shah Alam dalam era milenium selepas kali terakhirnya diadakan itu bertujuan mengangkat hasil seni dan produk yang dihasilkan penuntut di FSSR untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, matlamat utamanya untuk mendedahkan pelajar dalam bidang keusahawanan sekali gus menggalakkan mereka menjadi usahawan sebagai kerjaya pilihan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said pula menyarankan setiap produk dan karya yang dihasilkan pelajar perlu dipatenkan agar tidak disalah guna oleh pihak yang mengambil kesempatan.

“Kita takut jika hasil kerja pelajar dimanipulasi sewenang-wenangnya jika dibiarkan keluar ke khalayak ramai berikutan kurangnya pendedahan mengenai kepentingan mempatenkan produk,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Art Market.


DANIEL menunjukkan baju T yang dilukis berdasarkan tema Harimau Malaya dan Self Prone.


Tambah Abdullah, program seumpama itu juga melatih kemahiran keusahawanan dalam diri setiap mahasiswa selain menyediakan ruang untuk menjana pendapatan.

“Art Market adalah usaha baik yang harus dipergiatkan oleh semua pihak dan saya amat berbangga dengan setiap produk yang dihasilkan pelajar,” tambah beliau.

Selain itu, projek tersebut juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan produk tradisional ke arah kontemporari.

“Sememangnya, semua karya ini adalah berkualiti tinggi dan kita akan mempergiatkan program ini ke kawasan luar kampus,” ulas beliau.

Konsep Waste To Wealth yang memupuk jiwa belia ke arah menjana pendapatan daripada hasil buangan terpakai turut diyakini Dekan FSSR, Prof. Madya Dr. Mustaffa Halabi Azahari.

Menurut beliau, kegunaan maksimum setiap bahan yang dijana setiap hari sepatutnya dimanfaatkan untuk diteroka dengan lebih meluas sekali gus memperoleh pendapatan walaupun sedikit.

“Banyak hasil diperoleh dengan adanya aktiviti seperti ini. Selain mendidik pelajar dengan prinsip keusahawanan, hasil jualan juga disalurkan ke dalam tabung fakulti untuk membiayai program-program semasa,” jelas Mustaffa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: