SEKEPING gambar boleh membawa seribu makna. Bagaimanapun, di Pameran Foto Akhbar Dunia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), gambar-gambar menjelaskan lebih daripada itu.
Ia menceritakan segalanya melalui darah, tangisan dan kegembiraan yang dilihat menerusi lensa jurufoto profesional.
Banyak yang bakal meruntun emosi pelawat ke pameran itu sehingga 27 Januari ini. Antaranya adalah apabila melihat kerakusan umat manusia dalam peperangan ataupun kebuluran yang memaksa penduduk luar bandar di Zimbabwe memakan bangkai gajah.
Seorang peguam kanan S.Radhakrishnan berkata, imej manusia memakan gajah itu walaupun mengerikan tetapi inilah realiti di abad ke-21 seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen semasa melancarkan pameran itu baru-baru ini.
Bagi Pengurus Projek Pameran Foto Akhbar Dunia, Jurre Janssen, imej-imej itu mencerminkan realiti.
"Inilah dunia di sekeliling kita. Ada yang mungkin berkata gambar-gambar ini menunjukkan konflik di sekeliling dunia, kematian, pertumpahan darah tetapi ia lebih daripada itu. Saya juga berharap orang ramai akan menatap gambar-gambar lain yang menceriakan," katanya.
Memang benar selain paparan bersifat perit dan ngeri, terdapat juga rakaman potret dan alam semula jadi yang mengagumkan, seterusnya boleh membawa keceriaan pada mereka yang menatapnya.
Tetapi, gambar-gambar perit dan ngeri yang menyentuh sanubari itulah yang membawa pengajaran kepada kita.
Salah satunya adalah imej seorang kanak-kanak perempuan dikeluarkan daripada runtuhan di Gaza selepas serangan udara Israel pada 6 Januari tahun lepas. Itu satu daripada contoh perbuatan manusia yang mengancam manusia.
Pameran itu yang dibawa kembali ke Malaysia selepas lapan tahun itu, dianjurkan oleh Duta Belanda ke Malaysia, Paul Bekkers yang percaya seni dan budaya merupakan medium penting untuk mempertingkat lagi hubungan baik Belanda-Malaysia.
Terpesona dan gerun
Gerry Power, Pengarah Urusan Wilayah Malaysia dan Brunei bagi syarikat Belanda TNT Express yang menaja acara itu, menyifatkan gambar-gambar tersebut begitu mengagumkan.
"Ada antara imej ini sangat grafik. Saya begitu terpesona dan adakalanya gerun dengan imej tertentu tetapi inilah hakikat sebenar dunia," kata beliau.
Power berkata pameran itu adalah mengenai elemen manusia dan kehidupan harian.
Tetapi adakah warga Malaysia bersedia menatap imej tertentu yang dianggap sensitif?
Datuk Peter Brokenshire, Pengurus Besar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang menjadi tuan rumah pameran itu berkata, penganjur mengambil langkah berhati-hati dalam menempatkan gambar-gambar itu dan meletakkan notis untuk mengisyaratkan kandungan yang mungkin menyinggung pihak tertentu.
"Tetapi kita perlu lihat pameran ini dalam gambaran yang lebih menyeluruh.
"Ia adalah pameran antarabangsa. Mereka yang matang mahu melihat imej-imej yang mencabar. Malangnya, ia mencerminkan keadaan sebenar dunia hari ini," katanya, sambil menambah, orang ramai perlu lihat perkara yang berlaku di bahagian lain dunia.
Pembuka mata
Collin Tang, 31, bersetuju dengan kata-kata itu. Menurutnya, pameran itu pastinya membuka minda kita dan memberikan kita lebih banyak maklumat mengenai peristiwa yang berlaku di dunia. Ia ditambah pula dengan paparan budaya dan gaya hidup yang kita tidak dapat lihat di Malaysia.
Jurugambar, R.A. Ramesh, 44, berpendapat pameran itu sangat intelektual dan mengajar orang ramai akan apa yang berlaku di seluruh dunia selain daripada menampilkan ragam kehidupan orang ramai di seluruh dunia.
"Kita perlu membuka minda kita. Saya sendiri seorang jurugambar. Saya datang ke sini untuk belajar teknik fotografi, dan di sebaliknya saya mempelajari sesuatu yang lebih signifikan," katanya yang memberitahu bahawa pameran itu turut memberi beliau sedikit sebanyak pengajaran mengenai hak asasi manusia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: