KENANGAN...penulis (duduk kanan sekali) bersama wartawan Malaysia dan pengurusan kanan antarabangsa Yakult Honsha Jepun.
MENIKMATI teh tarik pada harga RM28 segelas di sebuah restoran masakan Malaysia sambil menikmati nasi ayam hainan di kawasan membeli-belah terkenal dan termahal di dunia iaitu Ginza, Tokyo, Jepun adalah pengalaman baru buat penulis yang pertama kali berkunjung ke negara matahari terbit itu atas jemputan Yakult Honsha Jepun.
Sekalipun mahal dan tidak munasabah, harga itu dianggap murah bagi penduduk Jepun, bersesuaian dengan taraf hidup dan pendapatan mereka yang jauh lebih tinggi berbanding negara kita.
Ini belum lagi termasuk harga makanannya yang sungguh mahal, tetapi itulah Tokyo yang memang terkenal sebagai bandar raya termahal di dunia.
Yang istimewa di bandar raya Tokyo yang memiliki kepadatan penduduk kira-kira sembilan juta orang dan seluas Singapura itu, tiada pengemis atau orang kurang siuman berkeliaran. Malah, bandarnya bersih dan teratur manakala tandas awamnya terjaga rapi.
Pengangkutan awam pula, terutama tren, sangat cekap dan menjadi nadi atau tulang belakang pengangkutan dalam bandar, manakala kereta api laju menghubungkan bandar besar antara satu negeri dengan negeri lain.
Jumlah kereta di jalan raya kurang walaupun Jepun pengeluar utama kereta dunia, ini kerana difahamkan kadar parkir keretanya mahal dan perlu ditempah.Oleh itu, warga Jepun hanya menaiki tren untuk ke mana-mana kerana stesen tren berada di hampir setiap penjuru jalan.
Ketika kunjungan penulis selama sembilan hari itu, musim ketika itu adalah peralihan antara musim luruh dan sejuk, jadi suhunya sentiasa dingin dan kadangkala mencecah bawah 10° Celsius, terutama pada waktu malam.
Sekalipun cuaca dingin, penulis dan rakan wartawan lain tidak melepaskan peluang untuk merayau-rayau sambil meneroka bandar raya ini dengan menaiki tren.
Sekalipun komunikasi menjadi halangan, ada warga Jepun cuba membantu, terutama apabila melihat penulis terhegeh-hegeh membeli tiket tren di mesin tiket.
Masuk hari kedua di Tokyo, penulis dibawa meninjau bandar Kyoto yang terletak kira-kira 400 kilometer dari Tokyo dengan menaiki kereta api laju atau Shinkanzen yang mengambil masa dua jam perjalanan dengan tiketnya berharga RM500 sehala.
Kyoto adalah pusat pemerintahan kerajaan atau ibu negara Jepun lebih 1,000 tahun lalu sebelum dipindahkan ke Tokyo. Di bandar raya yang memiliki kira-kira 1.5 juta penduduk ini, ada kira-kira 1,700 kuil lama Buddha dan 400 kuil Shinto.
Negeri kelahiran Shogun dan samurai itu turut mendapat jolokan Negeri Seribu Kuil dan juga pusat kebudayaan dan warisan sejarah Jepun sebelum era moden.
Malah, Shinto satu-satunya agama berbentuk animisme yang menjadi anutan lebih 80 peratus daripada 120 juta penduduk Jepun.
Kuil paling terkenal ialah Kiyomizu-Dera yang dibina tanpa menggunakan paku pada 778 Masihi. Kuil kuno ini pernah terbakar dan dimusnahkan 10 kali sebelum dibangunkan semula pada 1663. Ia menjadi tumpuan pasangan kekasih berdoa kerana dikatakan tempat mustajab untuk bertemu jodoh.
Selepas dua hari di Kyoto, penulis kembali ke Tokyo. Lawatan kemudian diteruskan dengan mengunjungi pasar Tsukiji yang juga pasar ikan terbesar di dunia.
Yang istimewanya, pasar ikan ini turut menjalankan aktiviti melelong ikan tuna gergasi jenis bluefin. Kebanyakan berat seekor ikan dilelong itu antara 100 hingga lebih 200 kilogram.
Ikan segar berkenaan biasanya dijadikan sushi yang menjadi makanan kegemaran rakyat Jepun. Malah, sushi kini turut digemari masyarakat dunia.
Pasar besar yang menempatkan kira-kira 900 gerai itu mula sibuk seawal jam 3 pagi apabila ratusan ikan tuna gergasi dibawa masuk untuk dilelong.
Kebanyakan ikan tuna itu ditangkap di seluruh dunia tetapi 40 peratus tangkapan dari perairan Indonesia dan Mexico. Ia dibawa dengan pelbagai cara ke pasar itu untuk dilelong sama ada melalui kapal laut, pesawat atau lori besar.
Waktu bidaan bermula jam 5 pagi dan mengambil tempoh singkat antara 30 sehingga 40 minit bergantung kepada permintaan. Jadi untuk melihat lelongan itu, penulis perlu bangun awal.
Suasana pasar ketika lelongan dijalankan riuh rendah dengan teriakan pemborong apabila masing-masing sibuk membuat tawaran.
Lelongan paling tinggi pernah dibuat untuk seekor ikan tuna seberat 233 kilogram adalah AS$177,000 (RM599,587) tahun ini. Bayangkan berapa harga sushi yang akan dijual peniaga untuk mendapatkan semula wang dibelanjakan itu.
Selain itu, dalam kesibukan menyertai bengkel dan seminar pakar perubatan dan pemakanan, penulis sempat ke Disneyland iaitu sebuah taman tema berkeluasan 46 hektar di Tokyo Disney Resort yang terletak di bandar Urayasu, Wilayah Chiba, berhampiran Tokyo.
Ia adalah taman Disney pertama dibina di luar Amerika Syarikat dan dibuka pada 15 April 1983.
Taman ini dibina Walt Disney Imagineering dengan gaya sama seperti Disneyland di California dan Magic Kingdom di Florida. Tokyo Disneyland adalah milik The Oriental Land Company, yang mendapat lesen temanya dari The Walt Disney Company.
Tokyo Disneyland dan temannya Tokyo DisneySea, kedua-duanya adalah taman Disney yang bukan milik The Walt Disney Company.
Ia dibahagikan kepada tujuh kawasan bertema yang saling melengkapi tetapi setiap satunya bergaya unik iaitu World Bazaar, Adventureland, Westernland, Fantasyland, Tomorrowland, Critter Country dan Mickey's Toontown.
Kawasan taman ini sememangnya luas untuk menampung kehadiran ramai pengunjung. Pada 2007, Tokyo Disneyland dikunjungi kira-kira 13.9 juta pelawat, menjadikannya taman tema ketiga paling ramai pelawat di dunia selepas Magic Kingdom dan Disneyland di Amerika Syarikat.
Sebelum bertolak pulang, penulis kesempatan menikmati pemandangan indah bandar raya Tokyo dari Menara Tokyo setinggi 333 meter di Shiba.
Tokyo juga bakal memiliki menara baru dinamakan Tokyo Sky Tree setinggi 634 meter yang kini dalam pembinaan.
Sesungguhnya, lawatan ini sangat bermakna dan meninggalkan kenangan berharga. Buat Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Arigato Gozaimas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: