Sunday, January 23, 2011

Melda yakin dengan Sunsilk

SUARA hati berbisik tatkala meneropong penuh kelibat si gadis manis ini, bertuahnya dia kerana dalam beribu yang menjual kreativiti menyanyi dan bermain instrumen di laman sesawang Youtube, videonya pula yang menjadi perhatian. Kemudian diambil, dibentuk dan dipenuhi impiannya yang ingin menjadi penyanyi dan komposer berjaya. Tidak terhenti di situ langkahnya, percaturan yang dihidang melangkaui imaginasinya sendiri.

Rezeki tertulis untuk Nur Emelda Ahmad atau mesra disapa Melda hanya tersenyum sesekali matanya berkaca menahan kegembiraan apabila dirinya terpilih menjadi bintang utama Gadis Semasa Sunsilk (GSS), sebuah program realiti drama pertama terbitan Red Communications tajaan Sunsilk.


Selari dengan tema yang diangkat bagi mencerminkan identiti produk, syampu Sunsilk sentuhan tujuh pakar seluruh dunia iaitu sentiasa menambahkan keyakinan seseorang termasuk anak gadis berusia 19 tahun ini dalam melakukan apa saja yang diinginkan.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Sandarannya hanya konsep yang tersendiri lengkap dengan plot penceritaan yang mengisahkan perjalanan Melda mengejar cita-citanya. GSS menyusur kehidupan seharian Melda bagi mencapai impiannya menjadi anak seni di pentas komersial selain turut memaparkan elemen realistik seperti konflik dan perhubungan yang ada dalam diari seharian pelajar jurusan muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.


Anak bongsu tiga beradik ini menyifatkan keajaiban yang berlaku padanya itu adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas di benak fikiran remaja sepertinya.

Mana tidaknya, hanya bersandarkan video nyanyian di laman Youtube mengalunkan dua lagu ciptaan sendiri, Putus dan Kimia, ada pula pihak yang datang memburu kerana memandangnya sebagai satu kesungguhan yang perlu diberi peluang.


Sunsilk bertujuan mendorong wanita memiliki kecantikan, keyakinan diri dan semangat membara untuk menikmati hidup serta mencapai impian. Melalui inisiatif ini, seorang gadis biasa dengan bakat terpendam yang belum ditemui umpama sebutir permata yang belum ditemui sinarnya diberi peluang mencapai hasrat.Bukan sekadar impian yang ditampilkan pada visualnya, malah kehidupan peribadi Melda turut dikorek untuk suntikan drama bagi memancing penonton terus melekat mengikuti langkahnya. Bayangkan, Melda yang masih menuntut di UiTM dan berpeluang bekerja di sebuah butik sementara cuti semester turut dipaparkan tanpa sekatan bagi mencerminkan elemen realistik sesebuah program realiti. Malah kisah peribadinya seperti keluarga dan sudut rasa cintanya juga diselit sama.


Bagai membenarkan setiap inci kehidupan peribadi gadis kelahiran Mentakab, Pahang ini hingga tiada apa yang disorok, terlintas pula persoalan apa yang membuatkan Melda bersetuju dan tidak bimbang ada pihak cuba menabur spekulasi di kemudian hari atau menjadi mangsa propaganda pemasaran.

Bingkas si empunya karektor pemalu yang lebih gemar memerhati daripada bersuara ini bangkit mencelah. Bukan membiarkan sudut peribadinya dipapar kepada khalayak sebaliknya Melda lebih melihat aspek positif yang ada pada peluang itu.

"Satu pembaziran jika memikirkan daripada perspektif negatif kerana nilai baiknya akan hilang lenyap ditenggelami bimbang. Justeru saya tidak sekali memandang GSS membuka keseluruhan peribadi saya hingga tiada apa lagi yang kekal menjadi hak sendiri. Tawaran ini datang bukan dengan situasi memaksa sebaliknya pihak produksi, penaja serta pengarahnya sendiri, Bernard Chauly berbincang dengan saya mengenai garis panduan serta limitasi yang perlu mereka selongkar.

"Awal-awal lagi, setiap inci pergerakan drama sepanjang 13 episod ini sudah saya ketahui lebih awal. Maksudnya, apa saja suntikan drama atau elemen realistik yang ingin mereka lakukan, sudah pasti ia mengikut jalur piawaian yang sudah kami persetujui. Umpamanya kisah keluarga, hubungan cinta atau masalah peribadi tidak mungkin saya kongsi di depan kaca televisyen. Justeru pihak produksi terpaksa membina satu jalinan plot lain atau gambaran cerita hampir serupa untuk membayangi realiti sebenar.

"Bagaimanapun, secara keseluruhan, GSS bagai sebuah biografi yang merakamkan setiap langkah saya mengejar impian, mencerminkan kesungguhan menggapai sesuatu yang jauh di atas serta perihal seorang gadis di sebalik keceriaan dan perwatakan sehariannya. Saya perhatikan setiap episodnya, memang realiti drama ini menceritakan diri saya yang sebenar.

"Saya bersyukur kerana terpilih. Saya didedahkan banyak perkara baru dan berpeluang untuk menerima nasihat serta bantuan daripada pakar-pakar yang mampu membentuk seorang gadis biasa kepada pesona bintang terkenal. Transformasi yang dilakukan jelas terbukti dan kini, saya rasa lebih yakin dan bersemangat," katanya yang menggunakan Sunsilk merah jambu, Silky Smooth & Manageable bagi menaikkan keyakinan diri.


Jika Sunsilk menghimpunkan tujuh pakar rambut seluruh dunia bagi menghasilkan sebotol syampu yang hebat seperti membawa salun ke rumah, GSS pula menggabungkan tiga pakar dalam aspek pembangunan pesona bintang industri hiburan tempatan. Komposer berpengalaman, Ajai bertanggungjawab membentuk Melda menjadi penyanyi yang punya kekuatan penciptaan lagu, aktres yang juga wajah Sunsilk, Wardina Saffiyah pula membantu meningkatkan keyakinan dan personaliti Melda dan Bambang Soteto pula memastikan imej dan ketrampilan Melda selari dengan piawaian yang diperlukan.


Menurut Pengurus Penjenamaan, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd, Emily Chong yang yakin dengan projek tajaan pihaknya ini menyifatkan GSS memberikan pembaharuan kepada komponen jenama dalam sebuah program televisyen. Meskipun paksi utamanya untuk memberi pendedahan terhadap jenamanya serta produk yang diangkat sebagai subjek, namun program realiti drama ini lebih cenderung menceritakan soal kesungguhan dan impian seorang gadis.


"Lihat pada projek kami terdahulu seperti Impian Ilyana dan Sunsilk Impian berjaya meninggalkan impak tersendiri kepada penonton dan pengguna kami kerana keseluruhan projek itu tidak tertumpu pada penjenamaan produk semata-mata sebaliknya kami berusaha memberikan satu imej yang baik kepada golongan remaja khususnya gadis.


"Sunsilk jenama yang sinonim dengan pakar penjagaan rambut dan ingin mencari seorang gadis biasa untuk projek GSS supaya dapat membimbing dan melatihnya di dalam perjalanannya transformasi untuk mencapai impiannya dengan keayuan dan penuh keyakinan. Hanya melalui transformasi seorang gadis yang benar-benar biasa yang muncul di khalayak golongan biasa, Sunsilk dapat membuktikan dan menginspirasikan kepada semua wanita di Malaysia dengan bantuan pakar, setiap wanita boleh menyerlah dan mengecapi impian mereka," katanya.


GSS yang turut menampilkan beberapa bintang terkenal sebagai pelakon undangan seperti Tiz Zaqyah dan Sarimah Ibrahim mula bersiaran sejak 11 Januari lalu, setiap Selasa jam 6 petang di TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: