TENGKORAK bayi bertatahkan berlian hasil kreativiti seniman Inggeris, Damien Hirst mencuri tumpuan orang ramai di sebuah galeri baru di Hong Kong.
Kehadiran karya seni luar biasa di sana menggambarkan permintaan terhadap hasil seni bermutu tinggi dan mahal semakin menjadi buruan dalam kalangan orang Asia.
Kali pertama dipamerkan di Asia oleh seorang pereka yang terkenal dengan hasil karya yang berunsur kontroversi, ia dianggap satu petanda bahawa pusat seni dunia yang selama ini bertapak di negara Barat telah beralih ke Timur.
Hirst yang menamakan karyanya sebagai For Heaven's Sake menterjemahkan karya itu dengan sebuah acuan platinum tengkorak bayi dengan 16,000 butir berlian tertanam padanya.
Kata pereka Inggeris itu ketika ditemui semasa pamerannya yang bertemakan Forgotten Promises baru-baru ini: "Berlian adalah satu kesempurnaan, kejelasan, kekayaan, seks, kematian dan keabadian. Ia juga adalah simbol kepada segalanya yang kekal tapi ada sisi gelapnya juga."
Menurutnya, bayi yang berusia sekitar 40 minggu itu sudah lama meninggal dunia. Namun, tengkoraknya telah menjadi sebahagian koleksi seorang ahli patologi abad ke-19.
Karya lain yang dipamerkan di Galeri Gagosian di bandar itu ialah replika lelaki bogel bersadur emas yang sedang memegang gunting dan pisau bedah.
Potongan kulitnya bergantungan di sebelah lengan manakala sehelai daun menutupi bahagian alat sulit replika lelaki berkenaan.
Hirst turut mempamerkan satu lagi karya yang memukau iaitu rangka bayi emas 22 karat dengan sayap pari-pari.
Galeri itu juga dihiasi dengan gambar rama-rama menggunakan teknik cat minyak.
Ujar Hirst, bagi artis sepertinya, serangga itu merupakan simbolik kepada kecantikan dan kerapuhan sebuah kehidupan.
Lukisan rama-rama yang dilukis daripada foto-foto koleksi sains itu bagaimanapun dihasilkan oleh pekerja Hirst, bukan dirinya.
Secara keseluruhannya terdapat 32 pameran seni dan kesemuanya adalah untuk dijual. Harganya tidak pula didedahkan untuk pengetahuan awam.
Bagaimanapun, nilai harga bagi sesebuah karya boleh diukur dengan status Hirst sebagai artis seni yang paling berprestij di dunia.
Harga permintaan bagi seni tengkorak, For the Love of God yang dihasilkan pada 2007 dikatakan berjumlah AS$79 juta (RM242 juta).
Karya itu sudah dibeli dan beberapa koleksi yang dipamerkan di Hong Kong turut telah terjual.
Dalam pada itu, Pengarah Science Ltd., Jude Tyrrell berkata, tengkorak bayi yang dihasilkan oleh Hirst merupakan satu sentuhan yang positif.
"Tengkorak muncul sebagai satu motif dalam hasil seni sejak beribu-ribu tahun, tiada apa perkara yang tidak baik tentangnya.
"Kita tak tahu berapa banyak atau dari mana asalnya tengkorak berkenaan. Hirst mengumpulkan segala macam barangan, sedikit sebanyak seperti tabiat orang zaman Victorians. Siapa tahu apa yang digunakan untuk peringkat seterusnya," kata Tyrrell.
Pembukaan Galeri Gagosian sesungguhnya meletakkan Hong Kong pada kedudukan tersendiri dalam peta seni dunia. Ia disemarakkan lagi dengan pertambahan jutawan Asia.
Asia lubuk baru seni
Dalam satu reaksi Pengarah Galeri Gagosian, Millicent Wilner, beliau berpendapat, galeri seumpama itu dan yang pertama sekali diwujudkan di Asia mewujudkan satu pasaran yang sangat penting.
"Terdapat banyak minat dan keghairahan untuk seni di sini. Seni adalah pasaran dan seperti pasaran lain ia mendatangkan banyak wang," katanya.
Sebuah syarikat pelelong Sotheby Hong Kong misalnya, telah menjana hasil jualan hampir RM2 bilion pada tahun 2010. Jualan global firma pula mencatatkan 16 peratus penjualan. Angka itu meningkat secara berterusan setiap tahun dan menokok menjadi tiga kali ganda sejak tahun 2004.
"Tahun lalu merupakan yang terbaik bagi kami, Asia khususnya China merupakan aspek yang besar dalam pertumbuhan pasaran kami," kata Timbalan Presiden Sotheby's Asia, Daryl Wickstrom.
Tambah beliau, kini terdapat individu-individu di Asia yang dilihat cenderung meminati pasaran karya seni dan menjadikannya sebagai satu elemen keseronokan. Tidak kurang juga yang mempertaruhkannya sebagai satu pelaburan.
"Apa yang pasti untuk mengumpul hasil seni yang bernilai tinggi, keperluan utama adalah mempunyai wang yang cukup," kata Wickstrom sambil menambah bahawa bilangan jutawan akan turut mempengaruhi kenaikan harga bagi sesuatu karya.
Harga paling tinggi bagi sebuah pasu Qianlong yang berusia pada tahun lalu, bernilai hampir AS$30 juta (RM92 juta).
Ia dibeli oleh Dr. Alice Cheng, yang membuat pembayaran sebanyak lima kali, sekali gus membantu menggalakkan jumlah jualan Sotheby pada musim luruh yang mencecah kira-kira RM1 bilion.
"Semakin aktif para peserta semasa lelongan, harga akan makin meningkat. Banyak perebutan di bilik jualan dan kita akan lihat signifikan kenaikan harganya," ujar Wickstrom lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: