jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Friday, January 28, 2011

Isuzu D-Max


JENTERA yang semakin popular dengan penjimatan bahan bakar.


ISUZU merupakan syarikat kenderaan yang unik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dunia. Ini adalah kerana syarikat ini tidak lagi menjual kenderaan penumpang sedan dan kini memberi tumpuan khusus pada segmen kenderaan komersial seperti trak pikap, lori dan bas.

Satu-satunya produk kenderaan Isuzu yang dijual kepada bukan pengguna komersial ialah trak pikap D-Max yang telah diperkenalkan sejak tahun 2002.

D-Max berkongsi platform dengan beberapa trak bersaiz sederhana berjenama General Motors di Amerika Syarikat iaitu Chevrolet Colorado, GMC Canyon dan Isuzu i-Series.

Chevrolet Colorado digunakan pada versi trak D-Max yang diberi lencana baru di Thailand, tetapi tidak menyerupai sepenuhnya versi Amerika tersebut.

Dituruti sejarah sedekad D- Max ini secara ringkas memperlihatkan strategi Isuzu iaitu Chevrolet Colorado dijual sama dengan D-Max di Thailand (kedua-duanya dipasang di kilang sama di Rayong).

Antara tahun 2003 dan 2008, D-Max dipasarkan sebagai Holden Rodeo di Australia, dan kini dinamakan Holden Colorado. Tetapi pada 2008 juga, Isuzu D-Max diperkenalkan di negara itu. Di United Kingdom, ia mengekalkan nama lamanya Isuzu Rodeo.

Populariti D-Max di Malaysia di kalangan penggemar kenderaan pacuan empat roda didorong oleh enjin dieselnya yang diperaku jimat penggunaan bahan api terutama pada varian transmisi manual.

D-Max telah melakukan demonstrasi ekspedisi dari Bangkok ke Kuala Lumpur sejauh 1,500 km dengan hanya satu tangki penuh! Benar, ujian itu hanya dipandu pada kadar 90 km sejam dan tidak menggunakan pendingin hawa tetapi ia tidak dapat dipertikaikan lagi bila sesi uji pandu individu oleh pengulas pemotoran di Malaysia mendapati bukti kesahihan cerita itu.

Varian terbaru yang diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada akhir tahun lalu, memperkenalkan enjin 2.5 Super Commonrail 4JK1-TC 2.5 liter dengan sistem Suntikan Terus Elektronik Commonrail.

Varian 2.5 liter sebelum ini tidak memiliki sistem suntikan terus itu tetapi ia masih dijual kepada umum. Ia menjana kuasa 79 PS pada 3,900 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 176 Newton meter pada 1,800 rpm.

Varian baru ini pula menawarkan kuasa 116 PS pada 3,600 rpm dan kuasa kilas 280 Nm pada 1,800 dan 2,200 rpm. Jelas kuasa yang ada pada varian baru ini lebih besar iaitu tambahan 37 PS dan kuasa kilas 104 Nm.

Bercerita mengenai kekuatan enjin trak pikap tidak boleh diukur dengan keupayaan kereta sedan untuk dipacu laju di jalan raya. Sifat trak pikap itu sendiri tidak menepati ciri sebuah kereta sports. Sebaliknya, bila bercerita mengenai kuasa enjin ialah keupayaan kenderaan ini mengangkut kargo dan pada masa sama, mengekalkan prestasi.

Uji pandu penulis selama seminggu tempoh hari mencecah 500 kilometer perjalanan. Jarum minyak hanya menunjukkan separuh tangki daripada jumlah penuh 76 liter. Bermakna 38 liter untuk 500 km. Dan penulis tidak memandu 90 kmj. Pada satu sesi uji pandu waktu malam dari tol Bukit Raja menuju ke Ampang Point, D-Max dipacu pada purata 140-150 kmj. Tapi jarum minyak tidak bergerak banyak. Ini bukan igauan!

Oleh kerana saiznya yang besar dan imejnya yang masih kental dikenali sebagai 'kereta kontraktor', trak pikap memerlukan sedikit masa lagi untuk dipopularkan juga sebagai 'kereta riadah' dan 'praktikal'. Riadah kerana ia boleh dipandu ke dalam hutan dan praktikal kerana boleh mengangkut pelbagai barangan yang tidak boleh pada kereta sedan. Kini, dengan bukti penjimatan bahan api, D-Max meningkatkan markahnya di mata bakal pembeli.

Varian terbaru D-MAX 2.5 Super Commonrail ini dipasang dengan keupayaan pacuan empat roda (4x4) menggunakan transmisi manual lima kelajuan. Versi 2.5 liter sebelum ini tidak ada 4x4.

Orang ramai boleh memilih antara dua pakej iaitu Type B atau Premium. Versi Premium didatangkan dengan lampu depan projektor, lampu kabus, lampu isyarat pada cermin sisi, dua beg udara selain ABS dengan EBD. Sistem audionya menggunakan 2-DIN yang boleh memainkan MP3 dan WMA. Alangkah bagusnya kalau ada lubang untuk USB. Tombol gear dipasang dengan kulit manakala tempat berpijak sisi memperkenalkan reka bentuk aerodinamik.

Harga D-MAX 2.5 Super Commonrail Type-B ialah RM82,155.40 dengan insurans dan Premium ialah RM88,411.40 dengan insurans.

1 comment:

  1. baguslah...sy baru nk ambil d-max 3.0 full spec. auto kuat minyak kuat ker? sy asal perak n kerja di terengganu. laluan balik kmpg sg tong, setiu-tasik kenyir-felda aring-gua musang- cameron - ipoh. felda aring jln dia teruk. sbb tu sy nak ambil d-max. k ker

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: