Friday, January 28, 2011

Everest 3.OL XLT untuk bandar


Tidak banyak perubahan pada panel pemuka Ford Everest serta penukar gear 4x4 terletak
di sebelah kotak gear automatik.


MEMANG menghairankan bila semakin ramai yang memiliki kenderaan pacuan empat roda (4x4) berenjin diesel hari ini, bukannya terdiri daripada penggemar pengembaraan lasak di dalam hutan atau off-road.

Siapa yang 'tergamak' hendak memandu sebuah kereta baru dan mahal di dalam lumpur, meredah sungai dan ditarik dengan mesin? Kalau ada pun, bilangannya amat sedikit dan bertaraf tegar (dan sangat kaya).

Justeru, banyak kenderaan seumpamanya dilihat dipandu di jalan biasa. Popularitinya dipandang serius oleh syarikat kereta dan walaupun jumlah jualan tidak menyamai angka kenderaan penumpang, peningkatan tahunannya tidak dipandang ringan.

Faktor ini mendorong Ford untuk memperkenalkan model Everest bukan sekadar dengan enjin bertenaga tetapi juga kerusi disarung kulit, sistem audio yang baik dan sistem gantungan yang sesuai di jalan biasa.

Everest adalah model yang berkongsi platform model trak pikap Ford Ranger dan juga enjin. Beza antara kedua-duanya tentulah pada fungsi. Ranger sebagai trak pikap memberi penekanan kepada mengangkut barang manakala Everest, penumpang.

Satu lagi aspek yang anda mungkin perasan, Ford Everest juga popular di kalangan jabatan-jabatan dan agensi kerajaan sebagai kenderaan rasmi. Ia dijual menerusi tender dan ciri-ciri yang terdapat padanya tidak menyamai versi yang dijual kepada pelanggan umum.

Berdasarkan pengamatan, Everest masih mengekalkan ciri-ciri lasaknya. Kalau hendak diambil analogi, Ranger masih seorang koboi dan belum bertukar menjadi metroseksual seperti 4x4 dari jenama lain yang sudah dipasang dengan pelbagai ciri yang menampakkan ciri lawa dan kemanisan.

Teringat slogan lama Ford iaitu 'dibina lasak'. Dan ia masih dirasai pada versi Everest 3.0L XLT ini. Dari segi kuasa, varian 2.5 liter Everest pun sudah berkuasa iaitu 151 kuasa kuda. Kini dengan enjin 3.0 liter ia menawarkan kekuatan 154 kuasa kuda pada 3,200 revolusi per minit (rpm) dengan kuasa kilas 380 Newton meter pada 1,800 rpm. Nak masuk hutan, tiada lembah atau bukit menjadi halangan padanya.

Dibandingkan dengan 2.5 transmisi auto, varian Everest 3.0 liter ini mahal RM14,000 menjadi RM176,791 dengan insurans. Selain enjin lebih besar, beberapa perkakasan ditambah iaitu rim tayar aloi 18 inci, lampu puddle (terletak pada cermin sisi yang berfungsi membantu pemilik melihat di luar pada waktu malam), sistem audio dengan penukar enam cakera padat dan pintu dihias dengan kemasan kayu.

Dari satu sudut, kemasan kayu pada pintu agak di luar keserasian reka bentuk dalaman. Hal ini kerana pada pintu itulah satu-satunya panel tersebut wujud. Malah, ia bertentangan dengan imej 'koboi' kerana panel kayu cuba membisikkan elemen 'elegan'. Rim roda aloi pula adalah menarik. Sebuah 4x4 mesti dipasang dengan tayar bersaiz 17 inci, paling minimum. Kecil dari itu, nampak tidak sekata antara badan besar dengan 'kaki' kecil.

Oleh kerana rim aloi 18 inci itu besar, Ford menggunakan tayar berprofil rendah iaitu 255/60 R18 Bridgestone Dueler. Di sini sahaja sudah menunjukkan fungsi Everest ini tidak 'digalakkan' untuk tujuan off-road.

Semasa dipacu, Everest varian tertinggi ini memberi respond yang dikehendaki tetapi tidak boleh disamakan dengan SUV berenjin petrol. Berat, saiz dan jenis tayar yang digunakan banyak mempengaruhi prestasinya. Pemandu harus tahu dan pantas mesra dengan kaedah pemanduan sebuah 4x4 seumpamanya. Janganlah mengambil selekoh pada kelajuan tinggi menggunakan kenderaan seumpamanya. Dengan saiznya yang tinggi, imbangan badan tidak sama stabil seperti kereta sedan.

Satu sesi pandu uji dilakukan, saya menggunakan gear rendah 4H di permukaan basah semasa hujan. Pada kelajuan 90 km/j tayarnya dirasai lebih cengkaman dan gear tersebut boleh ditukar kembali ke normal tanpa perlu memberhentikan kenderaan.

Menggunakan gear automatik lima kelajuan, Everest versi 3.0L ini memiliki nisbah gear pertama 3.220; kedua 2.290; ketiga 1.550; keempat 1.000 dan kelima 0.710.

Terdapat lima warna ditawarkan iaitu Desert Bronze (gambar model uji pandu pada halaman ini), Black Mica, Arizona Gold, Silver Metallic dan Cool White.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: