Friday, January 28, 2011

Jentera berimej punk


Taymen Chua berbangga dengan jentera custom yang dihasilkannya berdasarkan idea yang menepati cita rasanya.


BUDAYA punk! sering kali dikaitkan dengan fenomena muzik ataupun sub-budaya dan ideologi yang meliputi fesyen baju yang dipenuhi cerucuk (spike) dan gaya rambut mohawk.

Bagaimanapun, konsep tersebut bukan hanya sekadar sub-budaya yang digunapakai oleh segelintir masyarakat malah ia kini telah diperluaskan sehingga dijadikan sebagai konsep buat penggemar motosikal berkuasa tinggi bina sendiri atau istilah yang biasa digunakan custom made.

WOW! kali ini menampilkan satu-satunya motosikal jenis chopper tempatan yang dihasilkan berlandaskan konsep punk milik Taymen Chua, 38.

Motosikal yang diberi nama sebagai Punk 22 Spike itu telah diilhamkan beliau sejak motosikal tersebut dibelinya kira-kira empat tahun lalu.

Malah kos keseluruhan bagi menyiapkan dan menghias motosikal itu agak mengejutkan kerana pemiliknya telah menghabiskan kira-kira RM100,000.

Maka tidak hairanlah jika ia mendapat perhatian ramai ketika acara permotoran terbesar, KL Bike Week 2010 di kawasan letak kereta, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang pada 24 hingga 25 Disember lalu.

Punk 22 Spike itu dihasilkan menggunakan 80 peratus barangan baru manakala 20 peratus bahan terpakai dan ada sesetengah daripadanya diimport dari luar negara.

Motosikal itu mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan setelah beberapa kali diubah suai pemilik sehingga berpuas hati dengan penampilannya.

Walaupun tidak banyak bezanya dengan motosikal bina sendiri berkuasa tinggi yang lain, penampilan konsep Punk menjadi daya tarikan utama yang tersendiri.

Boleh dikatakan projek bagi menghasilkan Punk 22 Spike itu telah berjaya lebih-lebih lagi hasilnya begitu terperinci.

Pada asalnya, Punk 22 Spike sebenarnya hanyalah sebuah motosikal Harley Davidson dari jenis model Soft Tail, Springer 1,340cc yang dikeluarkan pada tahun 1993.

Setelah diubah suai ia kini menggunakan kerangka badan jenis hard tail rigid dan digerakkan menggunakan enjin V-twin S&S Cycle.

Antara keistimewaan lain yang terdapat pada motosikal bina sendiri itu ialah pada bahagian tangki minyaknya.

Ketika meneliti motosikal itu, penulis tertanya-tanya cukupkah minyak yang diisi penuh pada tangki bahagian atas memandangkan tangki tersebut amat kecil.

Rupanya, pemilik motosikal itu menyediakan tempat penyimpanan khas untuk mengisi minyak petrol.

Tangki di bahagian atas sebenarnya bukanlah tangki untuk menyimpan minyak kerana ia hanya dihasilkan untuk memenuhi ruang di bahagian atas enjin motosikal berkenaan.

Tetapi tangki sebenarnya berada di bahagian bawah motosikal yang diikat pada bahagian kerangka hadapan.

Pemiliknya juga bijak menggabungkan dua tona warna. Warna keemasan dan hitam yang digunakan sebagai warna utama pada motosikal berkenaan memberikan nafas baru kepada dunia motosikal chopper yang kebiasaannya menggunakan warna hitam.

Malah kemasan akhirnya yang terletak pada corak berus angin yang menampilkan gambar tengkorak berimej punk juga jarang sekali digunakan dalam produksi pemotoran.

Selain itu, sebanyak 22 buah cerucuk (spike) yang diletakkan pada bahagian lampu hadapan, tangki, dan bahagian tepi motosikal itu juga menjadi antara tarikan yang tidak terdapat pada motosikal bina sendiri yang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: