Tuesday, January 25, 2011

Penggerak Teater Muzikal Tun Mahathir 2




SEPASANG mata wanita berusia hampir separuh abad merenung tepat ke tengah-tengah pentas Auditorium Panggung Sari, Istana Budaya sambil memegang sebuah mikrofon hitam.

Di sebelahnya berdiri seorang lelaki berbaju merah sambil memeluk tubuh, barangkali menahan kesejukan. Wajahnya serius dan fokus dengan setiap situasi yang berlaku sekeliling.

Duduk bersebelahan wanita itu, seorang lelaki berbaju biru gelap berusia suku abad leka bermain dengan kotak kawalan bersaiz lebih kurang sehasta panjang lebarnya sambil memerhatikan kesan cahaya pelbagai warna yang timbul di depannya.

Di tengah-tengah pentas, tempat ketiga-tiga pasang mata utama berdiri, berlaku proses keluar masuk susuk-susuk tubuh yang beraksi menerusi pengucapan suara dan gerakan tari secara abstrak, namun berirama.

Kadangkala kedengaran gema suara wanita tadi memberi arahan kepada pelakon dan penari di tengah, kiri dan kanan pentas utama memecah keheningan panggung yang mampu memuatkan 1,413 orang pada satu-satu masa itu.

Situasi tegang. Semua bersulam wajah serius! Detik menantikan kebanjiran orang ramai yang sudah tidak sabar menantikan persembahan kedua teater muzikal biografi itu sudah semakin hampir.

Pertaruhan yang diletakkan untuk mementaskan kehidupan sebenar seorang wira negara bukan tugas yang boleh dipandang sebelah mata.

Apatah lagi jika satria yang dimaksudkan itu pernah menjadi tonggak pembangunan Malaysia dan memacu pucuk pimpinan negara semaju kini. Siapa lagi kalau bukan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia Keempat.


ROSMINAH (kiri) bersama Hamzah (tengah) dan Muhamad Azhar menyaksikan dengan teliti sesi latihan teater baru-baru ini.


Jika pementasan pertamanya pada 14 September hingga 4 Oktober tahun lepas terpaksa dilanjutkan sehingga 9 Oktober, bagaimana pula hasilnya kali ini?

Teater muzikal pertama negara yang mencatat sejarah sebagai persembahan terpanjang dengan 19 persembahan tanpa henti dan dibanjiri 20,000 penonton itu menemui kembali peminatnya bermula 21 Januari hingga 31 Januari tahun ini.

Tanggungjawab yang digalas Rosminah Mohd. Tahir selaku pengarah Teater Muzikal Tun Mahathir musim pertama dan kedua amat berat berikutan kekangan masa dan pentas utama yang yang sedang diubahsuai.

“Kami diberi tempoh tiga bulan untuk mengolah semula karya ini dan disuntik beberapa elemen baru bagi memberikan impak yang lebih maksimum kepada penonton. Syukur alhamdulillah segalanya berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan,” jelasnya yang akur dengan lompong masa yang dibekalkan kepada pihaknya.

Tambahnya, pentas Panggung Sari yang sedang diubahsuai untuk ditambah teknologi khas dari Jerman itu mengehadkan pergerakan keluar masuk set dan props sepanjang persembahan.

Selain itu, konsep penceritaan juga telah diubah dengan menambah watak pencerita susur yang dijayakan oleh pelakon Sarimah Ibrahim bagi memberikan sedikit humor kepada audiens.

“Pencerita susur ini akan bertindak menerangkan fakta tambahan yang tidak terdapat di dalam pementasan selain menjalinkan setiap babak demi babak,” ujarnya ringkas ketika ditemui selepas sesi latihan di ruang legar Istana Budaya baru-baru ini.

Ilusi artistik dan kreativiti

Sesebuah produksi umpama satu sistem yang saling berkait rapat atau dalam erti kata lebih jelas perlu wujud simbiosis.

Selain pengarah yang menjadi tunjang utama, terdapat beberapa sektor lain yang turut menjalankan fungsi tersendiri bagi menghasilkan produk seni seperti teater ini.

Pengawalan ciri-ciri teknikal dengan menyuntik elemen artistik dalam persembahan kali ini dikendong oleh sinografer, Hamzah Mohamed Tahir.


Chor Cheun Koong, Amar Zulkifli dan Syazani Suhaifi menjadi individu yang bertanggungjawab memastikan teknik visual Augmented Reality berjaya.


Pengalaman yang luas dalam bidang ini membolehkannya menyusun atur dan menyelenggara pergerakan set-set pentas mega sehinggalah props sekecil sebatang pen.

“Pementasan musim ini meminimumkan pergerakan set-set pentas yang besar kerana tiada sebarang teknologi hidraulik digunakan seperti mana persembahan terdahulu.

“Maka, dengan konsep pentas terbuka seperti pementasan teater muzikal kali ini, saya yakin Muzikal Tun Mahathir boleh dibawa ke luar dan dijayakan di mana-mana pentas,” singkap graduan Seni Lakon Universiti Sains Malaysia itu.

Tidak lengkap aspek teater muzikal tanpa adunan lagu dan tarian. Sehubungan itu, tugas Pengarah Tari, Anthony Meh Kim Chuan mengambil tempat sejak bermula langkah awal produksi ini dibentuk.

Menurutnya, proses berimaginasi dimulakan selepas mendapat skrip daripada penulis Ismail Kassan dan perbincangan dibuat dengan pengarah dari semasa ke semasa.

“Hasil yang terbaik bukan diperoleh dalam masa yang singkat sebaliknya usaha yang gigih dituntut untuk mengolah susunan masuk keluar aktor dan penari agar tidak bertembung ketika beraksi.

“Sebenarnya apa yang dilihat di pentas hari ini bukan seperti yang pertama kali ketika sesi mulanya latihan. Itu cabaran yang telah saya tempuhi,” ceritanya yang sentiasa memastikan koreografi tarian tidak berulang seperti pementasan musim pertama.

Tambah pengasas, pengarah urusan dan koreografer Dua Space Dance Theatre itu lagi kerjasama antara beliau, pengarah teater, penulis skrip dan sinografer amat penting bagi memastikan setiap susunan pelakon, penari dan krew set pentas berjalan lancar.

“Cabaran utama bagi saya adalah merangkumkan kisah hidup Tun Mahathir selama 10 tahun menjadi pergerakan dalam tempoh empat minit,” getus Anthony lanjut.

Elemen yang dititik berat dalam sesebuah persembahan muzikal termasuk sistem bunyi dan gubahan muzik. Selain memberikan mood kepada perjalanan cerita, lagu juga sebagai pelengkap kepada peralihan babak.

Pengarahan muzik dan komposisi lagu dipikul oleh komposer tersohor, Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih dikenali Pak Ngah.

Muzik dipecahkan kepada dua jenis iaitu lagu bersama suara dan lagu instrumen (tanpa suara dan lirik).

Aspek pencahayaan


ASPEK pencahayaan merupakan elemen penting dalam pementasan teater yang kurang disedari umum.


Biasanya, muzik bercorak instrumen akan diadun dengan pergerakan yang abstrak dan dramatik, manakala bagi lagu bervokal penonjolan jalan cerita dan watak adalah lebih diutamakan.

Aspek pencahayaan pula dilihat berfungsi menambah perasaan kepada setiap elemen yang ingin ditonjolkan.

Menurut Pereka Tata Cahaya, Muhamad Azhar Zainal, lampu asas bertindak menerangi ruang, namun setiap permainan warna akan memberikan makna yang berbeza.

“Jika pementasan bercorak realism seperti Muzikal Tun Mahathir, saya menggunakan lampu-lampu berwarna asas seperti merah, biru dan kuning serta mencampurkan warna menjadi warna sekunder dan tertier yang neutral untuk menonjolkan sesuatu aspek yang dikehendaki pengarah,” tambahnya yang mengambil masa selama tiga hari untuk persiapan awal.

Karakter setiap watak juga ditonjolkan dengan lebih jelas menerusi pakaian dan tata rias. Selain melengkapkan persembahan agar tampak ceria dan menawan, konsep dan pemilihan warna yang tepat perlu diteliti.

Tambah Pereka Kostum, Sarina Azizan dan Pereka Tatarias, Istiadziah Ishak, sentuhan yang tidak sesuai akan mencacatkan watak dan perwatakan selain pakaian yang tidak selesa akan mengundang padah ketika beraksi di depan khalayak ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: