Sejak bersiaran secara rasmi pada 1 Disember tahun lalu, stesen televisyen yang baru bertapak, TV AlHijrah semakin dikenali. Stesen yang mengangkat nilai-nilai Islam dalam penyiaran itu tidak ketinggalan menyajikan pelbagai program menarik untuk tatapan penonton.
Antara program yang menemui penonton di kaca TV ialah program bual bicara iaitu Assalamualaikum dan sebuah rancangan berkonsepkan majalah iaitu Menu Alam. Kedua-dua program ini dalam genre yang berbeza itu mempunyai kelainan tersendiri bagi memastikan penonton melekat di depan TV.
Syafiq semakin selesa sebagai pengacara
Program bual bicara ini menampilkan tiga orang pengacara iaitu Syafiq Zulkifli, Nur Amalina Faisal dan Amin Idris. Bagi salah seorang pengacaranya, Syafiq Zulkifli atau lebih mesra dengan panggilan Syafiq, pengalaman kali pertama menjadi pengacara benar-benar menguji dirinya.
Jejaka berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir ini menganggap bidang pengacaraan sebagai sesuatu yang perlukan lebih rujukan dan lebih memerlukan keyakinan diri.
“Menjadi pengacara memang mencabar diri saya terutamanya apabila membincangkan isu yang agak berat. Maka, saya akan membuat rujukan terlebih dahulu. Tidak mahu berlaku kesilapan.
“Tambahan pula, ini kali pertama saya, jadi memang perlu banyak kerja saya lakukan bagi memastikan diri saya benar-benar bersedia,” katanya yang turut melalui saringan uji bakat mencari pengacara bagi program ini.
Syafiq yang juga merupakan Eksekutif Penyelidikan Editorial di TV AlHijrah berkata, menggalas dua tugas dalam satu masa tidak memberi impak terhadap kerjayanya malah menganggap ia sebagai bonus untuknya.
“Tugas saya bukan hanya mengendalikan segmen, tetapi saya juga akan berkongsi dengan penonton ayat-ayat al Quran dan hadis. Secara tidak langsung saya dapat menyebarkan dakwah,” katanya yang menjadikan Aznil Nawawi sebagai idola.
Assalamualaikum menemui penonton pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pada jam 12 tengah hari. Rancangan ini mengetengahkan pendekatan perbincangan ilmiah yang mudah. Bersesuaian dengan nama stesennya, program ini juga mengundang tetamu pada setiap episod bagi menceritakan kisah hijrah dalam kehidupan mereka.
Antara jemputan yang pernah berkongsi pengalaman ialah Tony (Spider) danAmer (bekas ahli kumpulan Ruffedge).
Chef Iskandar jatuh hati pada menu pelik
Mungkin ramai yang pernah melihat raut wajahnya. Pernah mengacarakan program Dapur Bujang dan membintangi beberapa buah drama dan filem sebelum ini, Chef Iskandar bukan lagi asing dalam dunia seni. Kini, dunia lakonan semakin jauh ditinggalkan bagi menumpukan dalam bidang masakan.
“Pada awal dulu, memang saya bermula sebagai tukang masak. Kemudian saya ditawarkan untuk berlakon dan saya mencubanya. Tapi, saya rasa dunia saya adalah bidang masakan. Jadi saya rasa keputusan untuk kembali ke dapur adalah tepat.
“Saya terima tawaran untuk mengacarakan program ini adalah kerana ia unik. Bukan seperti program masakan lain tetapi ia lebih kepada ‘survival’.
“Setiap destinasi, saya akan masak mengikut apa yang ada di dalam beg sandang yang saya bawa. Saya akan memberi kelainan kepada setiap menu yang saya dapat,” katanya yang berpeluang mengembara ke daerah yang berbeza bagi meneroka variasi makanan tempatan.
Bercerita mengenai pengalamannya mengembara, Chef Iskandar seronok apabila dapat mempelajari pelbagai menu masakan daripada Orang Asli.
“Orang Asli mempunyai selera makan yang sangat unik. Nampak pelik, tapi rasanya sungguh sedap.
“Sepanjang perjalanan, banyak menu baru yang saya dapat kumpulkan. Bukan sahaja baru, malah ia merupakan menu pelik daripada penduduk kawasan tersebut.
“Kalau tengok atau dengar nama mungkin ada yang berkerut dahi. Tapi bila dah makan ,terus jatuh hati dan terus saya mempraktikkannya,” katanya yang sudah tamat penggambaran Menu Alam bagi musim kedua.
Antara lokasi menarik yang dikunjungi Chef Iskandar adalah seperti Tanjung Karang, Sungai Ular, Tasik Chini, Kemasik dan Tasik Kenyir. Menu Alam yang mempunyai 13 episod akan disiarkan setiap hari Sabtu pada jam 9.30 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: