Wednesday, January 26, 2011
Ac Mizal kembali aktif
Nama Datuk AC Mizal seakan sunyi daripada industri hiburan tahun lalu setelah mengambil keputusan mahu memberi tumpuan kepada perniagaannya AC Konsortium Sdn Bhd.
Walau bagaimanapun 2011 dilihat sebagai tahun untuk AC kembali aktif di dalam bidang seni. Sebagai permulaan, AC muncul sebagai Aziz dalam pementasan teater Muzikal Tun Mahathir 2.
Menariknya, walaupun cuma muncul untuk seketika dalam babak sebagai rakan Mahathir ketika remaja, lawak jenaka AC masih berbisa. Malah penonton di Panggung Sari ketawa melihat aksi gila-gilanya itu.
Menurut AC, banyak tawaran menarik yang diterimanya untuk tahun ini sehingga dia bersetuju untuk kembali aktif di dalam bidang seni.
“Tahun lalu, saya bukan tinggalkan bidang seni, sebaliknya saya memperlahankan karier seni saya untuk memberi tumpuan kepada perniagaan saya.
“Tahun ini memandangkan banyak tawaran menarik yang diterima, jadi saya bersetuju untuk menerimanya. Sebagai pembuka tirai, MTM2 adalah projek pertama saya untuk tahun 2011.
“Selain itu Astro juga ada menawarkan projek besar bersama saya dan saya masih tidak pasti projek macam mana. Astro juga ada menawarkan saya untuk mengacara beberapa program. Jadi tunggu sahaja perkembangan terbaru saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Nafi aktif kerana bisnes merosot
AC menafikan dirinya kembali aktif hanya kerana kerana bisnesnya yang semakin merosot.
Menurutnya, perniagaannya berjalan seperti biasa walaupun dikaitkan dengan kontroversi yang hampir menjejaskan perniagaannya.
“Biasalah berniaga ada turun dan naik. Tetapi Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik.
“Tentang kontroversi yang berlaku tahun lepas, tak perlulah di bawa ke tahun ini pula. Diam bukan bermakna saya salah, tapi saya rasa diam itu lebih baik.
“Selepas ini perniagaan dan karier akan bergerak seiring dan saya akan memberi perhatian dalam kedua-dua bidang.
“Sepanjang pementasan ini juga saya membuka ‘booth’ perniagaan saya di Istana Budaya dan sesiapa yang berminat bolehlah datang melihat barang yang saya jual,” katanya.
Mengulas mengenai penganugerahan gelaran Datuk kepadanya, AC mengakui belum dipanggil untuk menghadiri majlis istiadat pengurniaan gelaran Datuk daripada Istana Pahang.
Bagaimanapun, pihaknya telah pun menerima surat pengurniaan darjah kebesaran peringkat kedua iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada bulan Ramadan lalu sekali gus dibenarkan untuk menggunakan gelaran tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: