Monday, January 3, 2011

Fesyen pakaian ‘kemban’ cemari industri?



Tidak kira apa sahaja majlis anugerah, yang pasti ia merupakan medan untuk artis kita melaram. Ia dikatakan sebagai perjumpaan ‘hari raya’ kepada para penggiat seni tanah air. Pelbagai fesyen akan dapat dilihat daripada mereka.

Ada yang cantik dan tak kurang seperti tidak bijak menggayakan pakaian yang diberikan. Senang cerita, tak kena tema atau terlebih-lebih. Sedangkan gaya mereka menjadi sumber inspirasi kepada peminat dan menjadikan mereka sebagai ikon dalam berfesyen.

Apa pun gaya pakaian artis tempatan pastinya ia menjadi siulan ramai. Namun, ada segelintir daripada artis kita yang

terbawa-bawa imej dan fesyen daripada luar negara yang ternyata tidak dapat diterima masyarakat tempatan.

Gaya dan imej yang ditampilkan menambah rasa mual terhadap peminat mereka. Terkini, fesyen berkemban yang dikatakan sedang ‘in’ pada waktu ini. Pun begitu fesyen ini digambarkan sebagai mencemari industri seni hiburan tempatan.

Tidak hanya itu, ia mendapat liputan meluas hingga ditegur oleh menteri mengenai fesyen artis sekarang. Lebih parah apabila setiap penganjur perlu meletakkan garis panduan terhadap setiap artis yang hadir untuk majlis anugerah.

Benarkah dunia seni tercemar gara-gara fesyen berkemban atau ada isu lebih besar boleh dibangkitkan?



Wan Sharmila – Jangan pandai tuding jari sahaja

Pelakon yang sedang meningkat naik, Wan Sharmila pada asalnya agak terguris hati apabila dikatakan fesyen artis tempatan mencemar budaya. Namun baginya, ia harus diambil secara positif.

“Saya seorang artis yang sukakan fesyen. Fesyen ini luas sebenarnya. Sekiranya diangkat dengan mengatakan fesyen berkemban itu mencemar budaya dan industri, saya rasa ianya tidak wajar. Banyak lagi persoalan lain atau fesyen lain yang boleh dikatakan begitu.

“Mungkin ada kebenarannya perkara ini tetapi jika dilihat tidak semua artis begitu. Dan tidak selalu artis berpakaian begitu. Jadi janganlah hanya menuding jari dan seolah-olah artis itu boleh mencemar budaya hanya dengan pakaian itu.

“Saya sokong jika diletakkan garis panduan untuk artis untuk menghadiri majlis anugerah asalkan ia tidak terlalu mengongkong kebebasan artis berfesyen. Sebagai artis yang diangkat sebagai kon kepada peminat, seharusnya ada kebebasan Cuma jangan sampai melampaui batas,” katanya.



Abby Abadi – Berpada-pada bila berfesyen

Bagi pelakon Abby Abadi, pencemaran budaya yang dikaitkan dengan fesyen artis tempatan tidak wajar dijadikan isu. Katanya, fesyen adalah universal dan tidak seharusnya menjadi pertikaian.

“Pada saya, tidak salah untuk artis kita berfesyen. Lagi pula, ke majlis anugerah haruslah memakai pakaian yang cantik dan perlu berhias.

“Cuma, mungkin bukan yang terlalu seksi hingga menjejaskan imej sebagai masyarakat Timur. Mungkin cara setiap artis berbeza. Saya sendiri lebih selesa dengan gaya yang lebih sopan dan tidak mendedahkan sebahagian tubuh. Tapi, ada juga artis kita yang pakai ala kadar tapi tetap nampak seksi.

“Tidak seharusnya isu pakaian kemban itu dijadikan alasan untuk artis kita. Tapi sebagai artis, janganlah terlalu ‘over’ ketika berpakaian. Takut nanti macam-macam cerita timbul. ” ujarnya yang sentiasa tampil sopan dalam setiap majlis anugerah.



Faradhiya – Biar ada pendirian

Faradhiya yang hadir ke majlis anugerah Skrin baru-baru ini mengenakan gaun elegan menampakkan sebelah tangannya mengakui tidak sewenang-wenangnya memakai pakaian yang ditaja untuk ke majlis anugerah.

“Saya memakai pakaian yang saya reka sendiri bersama pereka fesyen. Sejak dulu lagi, kalau mahu ke majlis, saya akan pastikan pakaian yang akan dipakai mengikut cita rasa saya. Seksi atau tidak, bukan saya yang tentukan.

“Saya tak mahu mengambil risiko memakai apa sahaja yang disediakan untuk saya. Nanti orang kata artis ni tahu mengikut sahaja dan tak ada pendirian,” ujarnya.



Julia Ziegler – Jangan terlalu menyekat fesyen

Pelakon dan model Julia Ziegler menyatakan pendiriannya mengenai fesyen artis yang dikatakan mencemar industri itu ada kebenarannya.

“Sebagai artis, ada kalanya kita tersekat dengan permintaan pereka pakaian. Mereka mahu mencuba fesyen mereka dan kita sebagai modelnya.

“Orang di luar boleh kata apa sahaja, tetapi hakikatnya ia hanyala pakaian yang dipakai di anugerah. Bukan sahaja artis yang seksi, malah ramai lagi orang di luar yang lebih seksi daripada artis.

“Sekatan berfesyen untuk artis itu rasanya tidak perlu berlaku. kita orang seni, orang nak tengok perkembangan dunia fesyen sekarang. Bagi saya, berkemban atau tidak, terpulang kepada individu.

“Ia bukan ukuran kepada bakat seseorang artis itu. Saya bersetuju jangan terlalu seksi iaitu dengan ala berkemban. Tapi kalau fesyen yang lain tu tak ada masalah rasanya.”



Eira Syazira – Jaga sensitiviti masyarakat

Pelakon yang sedang meningkat naik, Eira Syazira mengakui akan hal teguran yang telah diberikan. Bersetuju dengan kata-kata pihak kementerian itu, pelakon filem Ngangkung ini mengambil teguran itu secara positif.

“Memang kita tak boleh nak sekat fesyen apa yang mahu dipakai oleh artis. Sebagai artis generasi baru, sewajarnya perkara ini kita pandang berat.

“Mungkin masyarakat kita tidak bersifat terbuka seperti artis luar negara. Jadi, orang kata kalau orang Melayu tu biarlah ikut ada ketimuran.

“Tapi, sebagai artis, itulah risiko yang perlu kita ambil. Pakai apa pun orang akan cakap juga. Tak seksi pun orang cakap, kalau seksi apatah lagi,” katanya.



Datuk Sarimah Ahmad – Seksi itu tidak perlu

Lain pula pandangan yang diutarakan pelakon veteran, Datuk Sarimah Ahmad yang menyokong tindakan pihak kementerian agar di adakan garis panduan.

“Saya lihat artis sekarang semakin seksi dan itu bukan imej yang baik untuk ditunjukkan. Kalau sudah jadi ikon negara, perlulah jaga diri dan imej.

“Lakonan atau nyanyian mesti seiring dengan imej diri. Jangan hanya hebat di surat khabar dengan terpaparnya isu seksi dan berkemban.

“Masyarakat semakin bijak. Biarlah jadi artis yang berilmu. Rasanya tak perlu berkemban untuk ke majlis anugerah. Banyak lagi fesyen terkini yang boleh digayakan. Nanti tidak mahu hanya kerana nila setitik akan merosakkan susu sebelanga. Industri kita pun bukan besar sangat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: