KEDATANGAN tahun baru 2011 diharap mampu membawa tuah dan semangat baru buat atlet Malaysia dalam memartabatkan nama negara di mata dunia.
Rentak kecemerlangan dalam beberapa kejohanan berprestij seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel, Sukan Olimpik Belia (YOG), Sukan Paralimpik dan Piala Suzuki AFF pada tahun lalu pastinya ingin diteruskan sampai bila-bila.
Kegemilangan itu sedikit sebanyak mencetuskan fenomena baru dalam arena sukan negara.
Bagi pemain pelapis badminton negara, Liew Daren, misi utamanya pada tahun ini adalah untuk memperbaiki kedudukannya dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Ekoran prestasi tidak menentu sepanjang tahun lalu, dia sekadar menduduki ranking ke-89 dunia.
Enggan pandang belakang
Mengakui prestasinya pada tahun lalu ada kalanya turun naik, anak jati Kuala Lumpur itu enggan lagi menoleh ke belakang malah berjanji pada diri sendiri untuk bekerja lebih keras bagi menghuni tangga 50 terbaik dunia.
“Selepas mengutip mata demi mata dalam lapan kejohanan terdahulu, saya sekadar menduduki kelompok 80 terbaik dunia. Ternyata saya masih lagi ketinggalan jauh dibelakang pemain lain. Jadi tahun ini menjadi peluang terbaik untuk memperbaiki kelemahan diri,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar selepas selesai sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lebih manis, Daren sudah pun memulakan latihan di bawah bimbingan bekas jaguh badminton negara yang juga jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek sejak tiga bulan lalu.
Sebelum ini, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Kuala Lumpur itu, berlatih di bawah kendalian jurulatih Hendrawan.
Namun selepas beberapa rombakan dilakukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam struktur kejurulatihan dan latihan skuad kebangsaan, jurulatih dari Indonesia itu bertindak sebagai ketua jurulatih pelapis.
“Saya amat gembira dan bangga kerana dapat bekerjasama dengan Misbun. Saya percaya dia sudah mengatur perancangan terbaik untuk saya pada tahun ini. Apa yang perlu saya lakukan adalah untuk mencatat keputusan terbaik dalam setiap kejohanan,” jelas anak bongsu daripada dua beradik itu.
Memandangkan skuad pelapis elit sedia ada sekarang dilihat sebagai prospek negara bagi menggantikan tempat pemain nombor No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei suatu hari nanti, Daren mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki untuk memenuhi tuntutan itu.
“Siapa yang tidak mahu menjadi sehebat Chong Wei. Namun saya belum memikirkan perkara itu. Saya mahu meningkatkan kualiti permainan sedia ada terlebih dahulu. Untuk cemerlang, pemain perlu betul-betul cergas, bersedia dari segi fizikal dan mental, memiliki skil berkualiti dan berbakat.
“Kita memiliki ramai pemain pelapis berbakat seperti Tan Chun Seang, Ariff Latiff dan Misbun Ramdan Misbun tetapi lebih banyak kejohanan diperlukan supaya kualiti permainan setanding dengan pemain lain,” katanya.
Malaysia ramai pemain berbakat
Menurut Daren, andai ramai pemain pelapis diketengahkan dalam lebih banyak kejohanan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa tidak mustahil, impian negara untuk melahirkan lebih ramai pemain seperti Chong Wei akan tercapai.
Berbicara mengenai pembabitannya dalam arena badminton, atlet berbintang Leo itu memberitahu dia mula berjinak-jinak dalam sukan tersebut sejak berusia tujuh tahun lagi.
Minat terhadap sukan badminton mula bercambah selepas menemani abangnya, Liew Gavin yang merupakan bekas pemain kebangsaan menjalani latihan di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.
“Abang sedikit sebanyak mempengaruhi minat saya terhadap sukan ini. Saya sentiasa menemani abang ketika dia mewakili negeri pada ketika itu. Mulanya saya hanya main sekadar untuk suka-suka dan sebagai hobi saja. Tanpa diduga, ia menjadi karier saya sekarang,” ujarnya.
Daren mendapat bimbingan awal daripada jurulatih persendirian ketika berusia sembilan tahun. Hadir sesi pemilihan bakat-bakat muda bersama BAM ketika berusia 16 tahun membuka peluang kepada anak muda itu untuk melebarkan sayapnya.
Sejurus terpilih, Daren ditawarkan bersekolah di SSBJ, Kuala Lumpur dan melakukan penampilan pertama dalam kejohanan Satellite Vietnam pada 2003.
Meskipun beraksi di peringkat antarabangsa buat julung kalinya, atlet yang meminati pasukan Manchester United itu berjaya mara sehingga ke pusingan ketiga.
Galas tugas berat
Menyedari tanggungjawab yang dipikul sebagai pemain pelapis begitu berat, Daren yang baru saja pulang dari Kejohanan Badminton Jemputan Copenhagen Masters di Denmark tidak pernah menyesal dengan jalan kehidupan yang dipilihnya itu.
“Tiada istilah penat dan menyesal dalam hidup saya. Untuk berada pada tahap terbaik, semua pemain perlu berlatih mengikut jadual yang ditetapkan. Biarpun penat, mahu tidak mahu, anda perlu meneruskan latihan seperti biasa,” kata jejaka yang menggemari masakan Cina itu.
Berbeza dengan rakan sebayanya yang menghabiskan masa keluar bersama teman-teman pada hujung minggu, Daren memberitahu dia lebih gemar memanfaatkan masa terluang setiap Ahad bersama keluarganya.
“Setelah penat berlatih dari Isnin hingga Sabtu, waktu hujung minggu akan digunakan untuk berehat di rumah dan melayari Internet. Jika ada filem terbaru menarik saya akan keluar menonton wayang,” ujarnya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: