Wednesday, January 19, 2011

Ciri elegan ruang merokok


PENGUSAHA bar dan kafe di Paris dan Berlin kini menyediakan ruang santai untuk perokok yang lebih bergaya untuk menarik pelanggan.


TENGGELAM di atas sofa kulit sambil menghembus asap rokok yang berkepul-kepul ke siling. Penggunaan tembakau mungkin dilarang di dalam bar dan kelab malam di banyak bandar raya di negara-negara Barat, tetapi ruang santai untuk perokok yang selesa dilihat bakal muncul kembali.

Ketika Sepanyol bersedia memulakan larangan merokok di semua premis bar, tempat tumpuan pada waktu malam di Paris dan Berlin kini membawa trend Eropah yang baru iaitu pembukaan ruang merokok yang dilengkapi piano, meja pool dan laci untuk menyimpan rokok.

Sejak ibu negara Perancis itu melarang aktiviti merokok di bar dan kelab malam tiga tahun lalu, perokok terpaksa berpeleseran di laluan pejalan kaki untuk merokok dan berbual.

Hal tersebut menjadikan bandar raya itu berdepan dengan tekanan untuk melonggarkan larangan undang-undang berkenaan oleh komuniti masyarakatnya yang tidak pernah tidur.

Jadi tidak hairanlah apabila kelab-kelab mahal di Paris kini mempelopori pembinaan ruang-ruang santai untuk merokok.

Di tengah-tengah Latin Quarter iaitu kawasan sebelah lembangan kiri Sungai Seine di Paris, sebuah kelab persendirian bernama Castel telah membuka sebuah ruang santai merokok sebagai sebahagian daripada pengubahsuaian menyeluruh.

Di kelab yang pernah mempopularkan nama-nama seperti Mick Jagger atau Romy Schneider itu, sebuah ruang bersebelahan lantai menari di tingkat bawah telah dijadikan bilik merokok khas.

Ia dilengkapi sebuah piano yang pernah dimainkan oleh perokok tegar, Serge Gainsbourg. Dindingnya pula dihiasi koleksi gambar hitam putih perokok terkenal lain yang masih hidup.

Tarikan pengunjung

Xavier Brunet, ketua perhubungan awam di kelab memulakan operasi pada tahun 1958 itu berkata, bilik merokok itu tidak dibina untuk tarikan pengunjung.

"Kami bukanlah mahu menggalakkan orang ramai merokok, tetapi memberi kemudahan kepada pelanggan yang merokok," katanya.

Undang-undang Perancis masih membenarkan aktiviti merokok di ruang dalam yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan tidak digunakan sebagai ruang bekerja.

Bagi Castel, ruang berkenaan adalah khas untuk pelanggan dari bidang perfileman, fesyen dan kewangannya bagi mengelakkan mereka berpeleseran di laluan pejalan kaki untuk merokok. Ia juga untuk menjaga hubungan baik dengan kejiranan.

"Kami tidak mahu mereka menghabiskan masa berjam-jam di bilik ini bersama minuman mereka. Kami juga tidak memainkan muzik di sini walaupun pengunjung bebas untuk duduk dekat piano itu," kata Brunet.


BILIK merokok di bar-bar sekitar Latin Quarter di Paris ini sarat dihias dengan perabot selesa dan pencahayaan khas.


Atas alasan itu, atmosfera ruang berkenaan direka untuk tampil elegan tetapi tidak terlalu selesa, dengan hanya dua sofa kulit yang diletakkan untuk duduk dan bukannya untuk tidur.

Di seberang Sungai Seine di hotel mewah Royal Monceau, pemiliknya tidak mempunyai keraguan seperti itu.

Pereka terkenal, Philippe Starck, telah membina ruang merokok dengan gaya lama yang dinamakan sebagai La Fumee Rouge yang dibuka pada bulan Januari tahun lalu sebagai sebahagian daripada projek membaik pulih hotel berusia 80 tahun di Champs Elysees itu.

Para pelanggan dijemput menikmati minuman keras selepas makan malam dekat pintu masuk dan membaca akhbar sambil menghisap cerut Havana. Rokok jenama biasa tidak dibenarkan di situ dan ia boleh disimpan di dalam laci peribadi yang disediakan.

Royal Monceau menggambarkan bar dengan warna merah menyala dan dilengkapi 12 tempat duduk itu sebagai tindakan radikal.

Ketika ruang merokok moden waktu siang menyediakan ruang untuk lelaki dan wanita, perekanya jelas mempunyai pemikiran maskulin.

Sebagai contoh, Starck memberitahu, Royal Monceau menyasarkan pembinaan semula kelab peribadi supaya golongan lelaki dapat berkumpul di dalam kumpulan yang kecil dan intim, membaca akhbar dan bertukar-tukar pandangan mengenai hal-hal dunia.

Antara 'syurga' lain bagi perokok di Paris adalah di Cafe Germain yang dilengkapi meja pool dan patung gergasi berwarna kuning berbentuk seorang wanita. Ia direka oleh pereka dalaman Iran, India Mahdavi tahun lalu.

Kelab elektro trendy, Le Pompon, pula mempunyai bilik merokok bawah tanah yang lengkap dengan kertas dinding bercorak, manakala pengunjung di Cubana Cafe boleh membawa koktel mojito mereka sambil duduk di sofa kulit dalam salun merokok di bilik sebelah.

Golongan kaya

Seperti di Paris, Berlin telah melarang aktiviti merokok di dalam bar yang lebih besar yang menyajikan makanan sejak tahun 2008, tetapi masih membenarkan pengunjung merokok di bilik berasingan yang sering diasingkan untuk golongan kaya.

Time Bar yang terletak di Hotel Savoy dekat kawasan Ku'damm misalnya, mempunyai ruang santai untuk perokok yang dilengkapi dinding berpanel kayu dan sofa kulit yang empuk.

Restoran-restoran mewah Berlin turut mempunyai ruang merokok seperti di Grill Royal, yang membolehkan ahli-ahli perniagaan dan personaliti seumpama pengarah tersohor, Oliver Stone, menikmati makanan sambil ditemani gambar aktres Jane Birkin yang separuh bogel.

Newton Bar, sebuah bar koktel kelas atasan di wilayah glamor Gendarmenmarkt di Berlin memaparkan karya bogel hitam putih oleh Helmut Newton pada dindingnya yang dipasang sejak tahun 1998.

"Ia tidak menakutkan sesiapa. Jika anda tidak merokok anda boleh duduk di tingkat bawah dekat bahagian biasa.

"Masih ramai penghisap cerut di luar sana yang mahu menikmatinya bersama minuman yang bagus. Mereka sentiasa mencari tempat untuk meraikannya," kata jurucakap bar berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: